Monday, January 31, 2011

Makan pizza menopause di Wangsa Maju

Dapat free voucher makan di pizza hut.  Aku ajak Siti Naemah makan pizza hut di Wangsa Maju.  Aku memang suka makan di sini.  Tapi kali ni service diorang punya lah terukkkk.
Pizza pula punyalah liat.  Adakah kerana free voucher, kami diberi pizza yang terlalu liat untuk dimakan.  Sampai jadi cramp jari menekan pisau + garfu.  Rasa macam nak minta gergaji jer.

Kami order chocolate cake top-up ice cream.  Punyalah lama nak sampai.  Bila kami dah bangun nak balik, baru waitress hantar.  Bila tanya kenapa lambat, waitress tu kata "dia orang baru masak cake".  

Hoiiii!  Kalau nak menipu pun, biar bertempat.  Cake tu tak panas pun,  hanya disuam-suamkan dalam microwave jer (sebab memang rasa suam-suam aje cake tu).

Pengajaran untuk aku.....jangan sekali-kali guna free voucher untuk makan2 di Pizza Hut Wangsa Maju.

Jari aku sampai kejang nak potong pizza FREE


Sunday, January 30, 2011

Jus Limau Mandarin




3 biji limau mandarin
20 gm gula batu
1 liter air masak sejuk
sedikit ketulan ais

1.  Kupas limau dan buang serat serta bijinya.


2.  Masukkan limau mandarin dan air separas limau itu ke dalam pengisar.  Kisarkan hingga halus.

3.  Didihkan 1 liter air dan gula batu hingga gula larut.

4.  Kemudian campurkan air gula tadi ke dalam jus limau mandarin tadi.  Tambah gula jika perlu dan masukkan ketulan ais.




Kaswi Pandan



Bahan untuk air pandan :
3 helai daun pandan
1 cawan air

Bahan untuk kuih :
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung sagu
1 1/2 cawan gula pasir
2 cawan air suam
1 st air kapur sirih
sedikit pewarna hijau
garam secukup rasa
kelapa parut putih

1.  Kisarkan bahan untuk buat air pandan hingga halus dan tapiskan hampasnya.  Didihkan air di dalam periuk kukus.

2.  Satukan gula pasir dan air suam.  Kacaukan sehingga gula larut.  Penggunaan air suam adalah supaya gula cepat larut.  Gunakan air sejuk pun boleh juga.


3.  Dalam mangkuk lain, satukan tepung gandum, tepung sagu, air pandan, air gula, kapur sirih, pewarna hijau dan garam.  Kacaukan dengan whisk hingga sebati.  Penggunaan pewarna hijau diperlukan bagi mendapatkan warna yang menarik berbanding hanya menggunakan air daun pandan semata-mata.


4.  Sapukan sedikit minyak masak disekeliling loyang.  Lepas itu tapiskan adunan tadi terus ke dalam loyang.


5.  Tutupkan permukaan loyang dengan plastik wrap dan kukus lebih kurang 30 minit atau sehingga keluar wap di tepi-tepi periuk kukus.

Biarkan kuih betul-betul sejuk, barulah dipotong.  Ia terlalu lembut.




Abuk-Abuk Sagu




1 cawan sagu biji (warna putih dan kecil)
1 1/4 cawan kelapa parut putih
200 gm gula melaka (disagat)
garam
daun pisang


1.  Rendam sagu biji kira-kira 10-20 minit.  Toskan.  Daun pisang dipotong 5" di lap dengan kain dan dilayur atas api supaya lembut.

2.  Gaulkan sagu tadi bersama kelapa parut dan garam.



3.  Daun pisang dibuat kelongsong tigasegi dan masuk 1 sb campuran sagu tadi.  Kemudian masuk 1 sb gula merah dan diikuti dengan 1 sb lagi sagu tadi.



4.  Lipatkan bungkusan kuih tadi menjadi tigasegi.  


5.  Kukus 10 minit atau hingga ada wap keluar dari celah tudung kukusan.





Saturday, January 29, 2011

Sayur Turi Masak Asam Rebus




400 gm sayur turi
2 sb asam jawa 
500 ml air untuk kuah
2 batang serai
3-4 helai daun limau purut
garam secukup rasa

Bahan tumbuk/kisar :
5 ulas bawang merah 
3 ulas bawang putih
10 gm kunyit hidup
1/3 cawan cili kisar
1 st belacan




1.  Rendamkan sayur turi dalam air garam.  Bersihkan betul-betul. Kadang-kadang ada ulat-ulat daun.  Daun turi ini boleh disimpul atau dilurutkan daunnya atau dimasak sekali dengan tangkainya. Apapun kita hanya makan daunnya sahaja.

Toskan dan masukkan daun turi itu dalam periuk dengan air secukupnya.  Rebus hingga nampak layu.  Kemudian toskan.  Asam jawa diperah dengan sedikit air dari 500 ml air untuk kuah tadi.
  
2.  Campurkan bahan kisar, serai, daun turi, air asam jawa dan garam ke dalam periuk.  Masak hingga mendidih.  Kuah ini mestilah cair dan jernih aje.


3.  Akhir sekali masukkan garam dan daun limau purut.  Kacau-kacaukan dan tutup api. 

Masakan ini sedap dimakan dengan ikan masin/ikan goreng/ikan bilis goreng.



Monday, January 24, 2011

Apam Balik



Ini kali kelima aku cuba buat Apam Balik ni.  Yang empat kali buat sebelum ini semuanya tak menjadi.  Rasa tu ada tapi rupanya yang tak memuaskan hati.  
Warna dipermukaannya tidak sekata macam yang dalam gambar ni.  Sebelum memasaknya, aku sapukan planta dalam frying pan tu sebab semua resipi yang aku rujuk semuanya kata sapu planta.  Kalau tengok orang menjual di gerai pun sapu planta.  

Akhirnya untuk kali yang kelima ini aku ambil keputusan untuk tak sapu planta sebab aku guna non-stick pan.  Alhamdulillah, puas hati aku kali ini.


2 cawan tepung gandum
1 biji telur
1/2 cawan gula
1 1/2 cawan air
1 st baking powder
1 st soda bikarbonat
1/2 st garam
sedikit pewarna kuning
sedikit esen vanila
sedikit planta

Bahan Tabur :
1/4 cawan kacang tanah 
1 tin jagung krim
1/4 cawan gula pasir

1.  Satukan tepung, gula, baking powder, soda bikarbonat dan garam.

2.  Telur dipukul sedikit dan masukkan dalam tepung tadi.  

3.  Lepas itu masukkan air, esen vanila dan pewarna kuning.  Pukul adunan itu hingga sebati dan pekat.


4.  Panaskan acuan apam.  Kalau tak ada acuan itu boleh gunakan frying pan biasa aje.  Aku guna pan saiz kecil.  
Masukkan 3/4 cawan adunan ke dalam acuan.  Kalau guna non-stick pan tak perlu guna planta.


5.  Taburkan gula pasir di atasnya.  Bila timbul lubang-lubang dipermukaan apam itu taburkan kacang tanah dan diikuti dengan 
1-2 sb jagung krim.  

Biarkan seketika atau hingga bahagian tepinya nampak lekang dari acuan.   Lipat dua apam itu dan angkat.  Boleh aje sapukan sedikit planta di atas apam itu kalau nak nampak berkilat. 





Sunday, January 23, 2011

Mee Kari



450 gm mee kuning
1 biji kelapa
3 sb rempah kari
10 ekor udang
10 biji fish ball
5 biji tauhu pok - dipotong dua
4 tangkai daun kari
1 keping asam keping
1/3 cawan minyak untuk menggoreng

Bahan hiasan :
20 gm tauge
3 pokok sawi
5 biji limau kasturi
10 biji bawang merah
1 biji timun - dipotong ikut suka
2 pokok daun bawang/sadri
2 biji cili hijau/cili padi
5 biji limau kasturi

Bahan tumbuk :
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1" halia
1/2 " lengkuas
2 sb udang kering

1.  Mee kuning dicelur dalam air mendidih sekejap, jangan sampai kembang dan toskan.

Tauge dibasuh dan rendam dalam ais sejuk kalau nak rangup atau boleh juga dicelur dalam air mendidih dan toskan.

Sawi juga dicelur dalam air mendidih dan toskan.

Kelapa diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat dan diperah lagi dengan 1 1/2 cawan air dijadikan santan cair.

2.  Panaskan minyak dan gorengkan bawang merah dijadikan bawang goreng dan toskan.  Lepas itu goreng tauhu hingga garing dan toskan.

3.  Bekas minyak menggoreng tauhu itu ditumiskan bahan tumbuk hingga kekuningan.

4.  Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air, daun kari, udang dan fish ball.  Bila garing masukkan santan cair.

5.  Akhir sekali masukkan santan pekat, asam keping dan garam. Biarkan mendidih.


6.  Masa menghidang, masukkan mee, tauge dan sawi.  Tuangkan kuah kari tadi.  Taburkan bawang goreng, daun bawang/sadri, tauhu, cili hijau/cili padi dan perahkan jus limau. 




Telur Dadar



2 biji telur
1/2 biji bawang besar (saiz kecil)
1 ulas bawang putih
1/2 biji cili merah
garam secukup rasa
3 sb minyak masak

1.  Bawang besar, bawang putih dan cili merah dihiris. 


2.  Masukkan telur, bahan hiris dan garam dalam mangkuk dan dipukul sedikit dengan garfu.


3.  Panaskan minyak dan tuangkan seluruh bancuhan telur itu. Goreng hingga garing dikedua-dua belah.  Angkat.

Boleh juga kalau dicampurkan hirisan daun bawang.  
Makan dengan kicap aje pun sedap




Saturday, January 22, 2011

Ayam Masak Kicap




1/2 ekor ayam
1 sb serbuk kunyit
1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
2" halia - dihiris halus memanjang
2 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
2" kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
2 sb kicap lemak manis
1 sb kicap pekat
1 cawan air asam jawa
1 biji cili hijau/cili merah - dihiris
1 cawan minyak
garam secukupnya


1.  Ayam dipotong kecil.  Dilumur dengan garam dan serbuk kunyit lalu digoreng separuh masak.



2.  Lebihan minyak menggoreng ayam ditinggalkan sedikit dan di tumis bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, kulit kayu manis, halia, bawang putih dan bawang besar.  Tumis hingga bawang layu.



3. Kemudian masuk air asam jawa, kicap dan garam.  Masak hingga mendidih.




4.  Akhir sekali masuk ayam dan cili hiris.  







Asparagus Goreng Tauhu



150 gm asparagus
1 keping tauhu 
2 ulas bawang putih
1/2 biji bawang besar
1 biji cili merah
1 sb sos tiram
2 sb minyak zaitun
garam secukup rasa

1.  Lenturkan asparagus itu sehingga ia patah sendiri.  Pangkalnya yang keras dibuang.  Buangkan kulit luarnya yang nipis itu. Rendamkan asparagus sekejap dalam air garam.  Toskan.



2.  Bawang putih didadu kecil.  Bawang besar dan cili merah dihiris. Ketepikan.  Tauhu didadu kecil.


3.  Panaskan minyak dan gorengkan tauhu hingga garing. Ketepikan.

4.  Dengan menggunakan lebihan minyak tadi, tumiskan bawang putih hingga kekuningan.  Lepas itu masukkan bawang besar dan cili merah.  Goreng hingga bawang layu.



5.  Ketepikan sedikit bahan yang ditumis tadi.  Masukkan asparagus dan gorengkan hingga asparagus bertukar lebih kehijauan.  


6.  Akhir sekali masuk tauhu, sos tiram dan sedikit garam.  Gaul rata dan tutup api.





Wednesday, January 19, 2011

Air Barli




100 gm bijirin barli
6 sb gula pasir
1 liter air
1 helai daun pandan


1.  Mula-mula basuh dan toskan bijirin barli tu.  

2.  Lepas tu masukkan bijirin barli tu dalam periuk bersama air dan daun pandan.  Masak hingga bijirin barli itu kembang.


3.  Ambil dalam 3sb bijirin barli yang telah kembang itu bersama sedikit air dan kisarkan hingga halus.

4.  Masukkan semula bijirin barli kisar itu ke dalam periuk rebusan bijirin barli itu bersama gula.  Selain gula pasir boleh juga gunakan gula batu. 

5.  Masak hingga gula larut dan bolehlah dihidangkan panas atau sejuk.