Tuesday, January 31, 2017

Sambal Tumis Telur Mata Kerbau




3 biji telur
1 cawan cili kisar
1 biji bawang besar - dihiris
1 sb asam jawa
1/2 cawan air
1/3 cawan minyak untuk menumis
garam secukup rasa

Bahan ditumbuk kasar :
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sb belacan

1.  Panaskan sedikit minyak dan pecahkan sebiji telur ke dalamnya. Goreng dikedua-dua belah telur itu hingga garing.   Goreng lagi telur yang lain.  Ketepikan.  Asam jawa dibancuh dengan air dan ketepikan.

2.  Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga kekuningan.

3.  Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga garing.

4.  Kemudian masukkan air asam jawa dan tumis lagi hingga pecah minyak.  Tambah air biasa jika terlalu pekat dan biarkan mendidih.

5.  Akhir sekali masukkan bawang besar dan garam.  Bila bawang dah layu tutup api dan masukkan telur goreng mata kerbau tadi.


Saturday, January 28, 2017

Kuih Tepung Gomak



Bahan untuk inti :
1 cawan kacang hijau
2 cawan air
2/4 cawan gula merah
1 sb gula pasir
secubit garam
1 helai daun pandan

Bahan untuk kulit :

1 cawan tepung pulut
2/4 cawan air
sedikit garam

Bahan untuk salut :
2 cawan tepung kacang hijau
1 helai daun pandan

1.  Untuk buat inti masukkan kacang hijau, daun pandan dan air dalam periuk.  Masak sampai kacang lembut dan hancur sedikit. Masuk garam dan tambah air jika perlu.  Inti jangan terlalu lembik. Bila dah masak, sejukkan.  

Lepas itu bolehlah dibulat-bulatkan dan diketepikan.  Lebihan inti kacang hijau ini boleh disimpan atau dibuat kuih lain pula seperti Kuih Kasturi, Kuih Bidaran dan macam-macam lagi.

2.  Untuk buat kulit kuih tepung gomak ini pula, campurkan tepung, garam dan air sedikit demi sedikit.  Uli hingga menjadi doh.  Jangan lembik sangat.  


3.  Ambil sedikit doh itu, bulat-bulatkan.  Leperkan sedikit dan letak inti kacang hijau.  Lepas itu bulatkan semula.  Kuih ni memangnya agak besar saiznya jika gunakan inti yang banyak.  

Kalau doh tepung itu terlalu nipis pula, kuih agak susah dibulatkan dan akan pecah semasa dibulatkan.



4.  Bila kuih semua dah siap, didihkan air dalam periuk bersama daun pandan.  Air kena betul-betul mendidih.


5.  Lepas itu masukkan kuih-kuih itu ke dalam air mendidih itu. Tunggu sehingga kuih itu terapung.  Biarkan lama sedikit semasa terapung itu supaya kulit kuih tepung gomak itu betul-betul masak.



6.  Kemudian toskan kuih itu hingga tidak berair lagi.


7.  Tepung kacang hijau dan daun pandan disangai hingga naik bau harumnya dan tepung itu jadi ringan.  Tepung sangai ini boleh disediakan awal-awal lagi.

8.  Kemudian masukkan kuih yang ditos tadi ke dalam tepung kacang hijau tadi.  Salutkan semuanya dan bolehlah dihidangkan.



Thursday, January 26, 2017

Sambal Tumis Ikan Gelama Mak Iloi-Iloi




4 ekor ikan gelama
1 sb serbuk kunyit
1 cawan cili kisar
1 biji bawang besar - dihiris bulat
1 cawan air
1 sb asam jawa
1/3 cawan minyak
garam secukup rasa

Bahan tumbuk :
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sb belacan

1.  Ikan gelama dibersihkan dan digaram-kunyitkan.  Air digaulkan dengan asam jawa dan ditapiskan airnya.  Ketepikan.



2.  Panaskan minyak dan goreng ikan hingga garing.  Ketepikan.  

3.  Bekas minyak menggoreng ikan tadi ditumiskan bahan tumbuk hingga kekuningan.  

4.  Masuk pula cili kisar dan tumis lagi.  Bila dah nampak garing sedikit, masukkan air asam jawa dan bawang besar.  Masak hingga mendidih dan pecah minyak.  Sambal tumis ni jangan terlalu cair atau terlalu pekat.

5.  Akhir sekali masuk garam dan ikan yang digoreng tadi.  Biar sekejap sambil digaul rata hingga ikan itu bersalut dengan sambal tumis itu.  Tutup api.



Wednesday, January 25, 2017

Ikan Mabong Sambal Mak Kau Ijau


4 ekor ikan mabong
1 sb serbuk kunyit
10 biji cili hijau
1 sb belacan
4 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih 
garam secukup rasa
1/3 cawan minyak

Bahan dikisar kasar :
10 biji cili hijau
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 st belacan

1.  Ikan dibersihkan dan digaram-kunyitkan.  Panaskan minyak dan goreng ikan itu hingga garing.  Ketepikan.




2.  Cili hijau dan belacan dikisar kasar.  Bawang merah dan bawang putih ditumbuk.

3.  Bekas minyak menggoreng ikan tadi ditumiskan bawang merah dan bawang putih hingga kekuningan.  



4.  Masukkan cili hijau dan gorengkan hingga cili nampak layu. Kuatkan sedikit api dan masuk pula garam.  Tak perlu digoreng hingga garing.

5.  Akhir sekali masukkan ikan yang telah digoreng tadi.  Balik-balikkan supaya ikan itu bersalut dengan cili hijau tadi.  Tutup api.




Saturday, January 21, 2017

Masak Lemak Kobis




300 gm kobis 
1 biji cili merah
1 biji kelapa parut
3 cawan air
garam secukup rasa

Bahan tumbuk :
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 sb udang kering
4" kunyit hidup

1.  Kobis dibelah 4 dan direndam dengan air garam sekejap.  Cili merah juga dibelah 4.  Kelapa diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat dan diperah lagi dengan 2 cawan air dijadikan santan cair.



2.  Masukkan bahan tumbuk, kobis dan santan cair ke dalam periuk.  Masak hingga mendidih dengan menggunakan api perlahan.  

3.  Kemudian barulah dimasukkan santan pekat, cili merah dan garam.  Masak lagi sambil dikacau-kacau sampai mendidih.  
Jangan sampai pecah minyak.




Wednesday, January 18, 2017

Puding Karamel Kasih Sejati





Bahan A :
1/3 cawan gula pasir
1 st esen vanila

Bahan B :
10 gm serbuk agar-agar
4 cawan air
1 cawan gula pasir
1/2 cawan susu pekat
400 ml susu cair
3 sb tepung kastad


















1.  1/3 cawan gula pasir itu dimasukkan dalam kuali dan dimasak 
hingga cair menjadi gula hangus.  Kalau nak gelap sikit warnanya, masak lama sikit tapi jangan sampai hangus.  Nanti pahit pulak rasanya.  Lepas itu tuangkan ke dalam acuan.  Ketepikan.



2.  Satukan semua Bahan B dan kacaukan sehingga semua bergaul rata tidak ada berketul-ketul.  Lepas itu masak dengan api perlahan hingga mendidih.  Akhir sekali masukkan esen vanila dan kacau hingga sebati.



3.  Tuangkan adunan itu ke dalam acuan yang telah diisi dengan karamel tadi.  Sejukkan.




Saturday, January 14, 2017

Bombay Dhal Mixture





1 cawan dhal gram
1 cawan kacang hijau
1 cawan bertih beras
5 tangkai daun kari
1 sb cili flakes
2 cawan minyak untuk menggoreng
garam secukupnya

1.  Rendam dhal gram semalaman atau lebih kurang 10 jam. Kemudian toskan hingga kering.

2.  Rendam kacang hijau 3-4 jam.  Jangan rendam lama sangat nanti jadi tauge pulak.  Toskan hingga kering.


3.  Panaskan minyak dan goreng kacang dhal dan kacang hijau berasingan.  Masa menggoreng itu masukkan bersama daun kari dan 1 st garam.  Kemudian toskan minyaknya.

4.  Akhir sekali campurkan kacang dhal, kacang hijau, bertih beras dan cili flakes.  Gaul rata.  Kalau hendak lebih masin, tambahlah sedikit garam.  



Friday, January 13, 2017

Snack Bendi




10 biji bendi
1 sb asam jawa
1 liter air
2 sb tepung beras
1 sb tepung gandum
1 st serbuk kunyit
1 st cili flakes
2/4 cawan air
garam secukup rasa
1 cawan minyak untuk menggoreng

1.  Bendi dibuang hujung dan pangkalnya dan dibelah dua.  Asam jawa diramas dengan air dan rendamkan sekejap bendi itu ke dalamnya bagi mengurangkan sedikit lendir bendi itu.  Lepas itu toskan.



2.  Satukan tepung beras, tepung gandum, serbuk kunyit, cili flakes, air dan garam.  Gaulkan hingga sebati.



3.  Panaskan minyak.  Celupkan bendi ke dalam adunan tepung tadi dan gorengkan hingga garing.  Toskan minyaknya.



Wednesday, January 4, 2017

Asam Pedas Ikan Tenggiri dan Sayur Asin



3 keping ikan tenggiri
2 pokok sayur asin
3/4 cawan cili kisar
5 helai daun limau purut
1/3 cawan minyak untuk menumis
2 sb asam jawa
2 cawan air
garam jika perlu

Bahan tumbuk :
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2sb belacan

1.  Sayur asin dipotong-potong dan dibasuh dengan air supaya hilang sedikit masinnya.  



2.  Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga kekuningan.

3.  Masuk cili kisar dan tumis lagi hingga garing dan pecah minyak.


3.  Lepas itu masukkan air yang telah dibancuh dengan asam jawa tadi bersama ikan dan sayur asin.

4.  Biarkan kuah mendidih.  Letaklah sedikit garam jika perlu sebab sayur asin itu dah cukup masin.

5.  Akhir sekali masukkan daun limau purut dan tutup api.