Tuesday, January 30, 2018

Sayur Pucuk Manis Goreng Kelapa



400 gm sayur pucuk manis
1/4 cawan kelapa parut
3 sb minyak untuk menumis
garam secukup rasa

Bahan kisar :
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji cili merah
10 gm kunyit hidup
1 sb udang kering


1.  Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga garing dan pecah minyak.

2.  Masuk pula kelapa dan goreng sekejap.


3.  Kemudian masukkan sayur pucuk manis dan garam.  Gaulkan hingga rata.  Bila sayur dan nampak layu, tutup api.




Masak Lemak Daging Salai & Belimbing Buloh



300 gm daging salai
1 biji kelapa
2 cawan air
2 batang serai
1 helai daun kunyit
5 biji belimbing buloh
garam secukup rasa

Bahan kisar :
10 biji cili padi
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
20 gm kunyit hidup
1 sb udang kering

1.  Kelapa diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat dan diperah lagi sekali dengan 1 cawan air dijadikan santan cair.  Serai dititik.  Belimbing buloh dibelah 2.


2.  Masukkan bahan kisar, daging salai, serai dan santan cair ke dalam periuk.  Masak hingga mendidih.


3.  Kemudian masukkan daun kunyit yang dikoyakkan sedikit, belimbing buloh, santan pekat dan garam.

4.  Biarkan kuah mendidih sedikit tapi pastikan jangan sampai pecah minyak.  Gunakan api perlahan.  Kuah mestilah pekat.  




Saturday, January 27, 2018

Telur Mata Masak Tiga Rasa




3 biji telur
2 sb cili kisar
1 biji bawang besar - dihiris bulat
2 biji cili padi - dihiris
4 helai daun limau purut
3 sb minyak untuk menumis
1 biji tomato - didadu kecil
1/4 cawan air
garam secukup rasa

Bahan ditumbok kasar :
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1" halia
1 biji cili merah

Bahan untuk sos :
1 sb sos tomato
2 sb sos cili
1 sb sos ikan
1 sb gula
1 sb jus limau nipis
1 st kicap lemak manis

1.  Panaskan minyak dan goreng telur mata kerbau sebiji-sebiji dan letakkan dalam pinggan.

2.  Bekas minyak menggoreng telur itu ditumis bahan tumbuk hingga naik bau.  

3.  Lepas itu masukkan cili kisar.  Tumis lagi hingga garing.  

4.  Kemudian masukkan campuran bahan sos dan air.  Bila mendidih sedikit, masukkan bawang besar, tomato, garam dan daun limau purut.  Masak hingga pecah minyak.

5.  Akhir sekali tuangkan di atas telur mata kerbau tadi.  Tabur cili padi.






Melawat Langkawi 2018


Kami buat keputusan ke Langkawi menaiki KTM.  Seronok pulak naik KTM sejak pergi Hatyai tahun lepas.  Cuma perjalanan memakan masa lebih kurang 5 jam dari KL Sentral ke Arau berbanding naik kapalterbang.  Kemudian kena naik bot dari Jeti Arau ke pulau Langkawi.





Sampai di Jeti Arau semasa beli tiket bot memang akan ada orang datang pada kita offer sewa kereta dan hotel di dalam pulau.  

Hotel dah memang siap booking awal-awal lagi.  Disebabkan kami belum booking kereta so kami pun ambil offer sewa kereta tu.  Viva sehari RM50 siap settlekan payment di situ jugak.  Nanti tiba jeti Langkawi akan ada orang yang tunggu dengan kereta yang nak disewa.  

Lepas ambil kereta, kami terus ke hotel T-Star Cottage di Pantai Cenang.  Kami pilih hotel ni sebab dalam picture nampak unik.  Bilik air pun lain dari yang lain.  Berdebar juga hati bila nampak signboard hotel ni dari jalanraya.  Nampak simple sangat.  Mulalah hati berkata, ntah macamanalah rupa biliknya.  Adik aku dah start bersuara "hotel apa ko ambik ni".  Alamak...dup dap dup dap jantung aku sebab aku agak cerewet pasal facilities hotel.  Kereta kena parking dekat tepi jalanraya aje.  Kenalah jalan kaki ikut lorong pejalan kaki yang agak menarik.  


Ni entrance dari jalanraya besar.


Ni walkway ke bilik.

Kawasan sekeliling memang tenang, unik dan cantik.  Sedap mata memandang.  








Bilik memang kecil dan simple.  Muat untuk 2 orang sahaja.  Sesuailah untuk backpackers cam kami.  Aircon dan kipas ada dan berfungsi dengan baik.  Design bilik air cantik dan selesa.  Amenities hanya shower gel dan shampoo.  Telefon, tv tak de ye...hahahaha adik aku dah cam cacing kepanasan sebab dia memang tak boleh hidup kalau tak de tv sebelum tidur.

Ada jugak aku tanya kat reception kenapa tak ada tv dan telefon.  Mereka kata itu memang konsep mereka yang tidak mahu bunyi bising.  Alasan boleh diterima.

Alahai...kalau berjalan tempat orang ni, balik bilik untuk tidor aje.  Dah penat kann.

Lepas siap-siap semua, kami keluar semula untuk makan malam.  Kedai makan memang banyak.  Makanan arab tak usah cakaplah, memang banyak.  Sebelum ke sini kami memang telah dipesan oleh kawan-kawan, harga makanan di sini cekik darah.  Eleh, kami makan biasa-biasa aje, tak de hal lah.  Malam itu kami oder lah Nasi Goreng Kampung, Beehoon Goreng, Air Asamboi yang macam aquarium, Teh O suam semua sekali RM36.00.  Mak ai...terkejut beb.  Kedai pun gerai tepi jalan je.  Bukannya dalam restoran.

Lepas makan kami jalan-jalan di kawasan itu sambil mencari kedai telefon sebab terlupa nak bawa charger phone kereta.  Ada satu kedai phone tapi dah tutup.  Kedai-kedai jual souvenir memang banyak walaupun dah malam.  Terang-benderang jugaklah cenang ni.  Lepas tu kami terus balik tidur.  

Hari pertama memang banyak habis di perjalanan sebab naik train dan bot.  Tak pe lah adik aku nak rasa naik ferry/bot.  

Hari kedua 
Dalam pukul 9.30 pagi kami ikut trip ke Tasik Dayang Bunting yang diatur oleh budak yang bagi sewa kereta tu jugak.  Ramai juga dalam grup ni.  Semua tunggu di tepi jalan depan Aseania.  Kami ramai-ramai bertolak ke jeti ke tasik dengan kenderaan masing-masing.



Walaupun bukan musim cuti sekolah tetap ramai orang.  Beratur menunggu bot.



Dah lama aku tak naik bot.  Tapi pengalaman aku naik bot ni benar-benar mencabar.  Giler babi punya lah laju bot ni.  Menjerit-jerit kitorang dalam bot tapi seronok.  Dengan indahnya air laut yang cantik membiru kehijauan.


Pulau Dayang Bunting dari kejauhan

Kami diberi masa satu jam sebelum bot datang semula menjemput kami.  Sebelum sampai ke tasik dayang bunting, kami kena berjalan agak jauh juga dan penat tak usah cakaplah.  



Risau juga aku tak larat naik tunggu turun tangga kat sini sebab kesihatan aku memang tak berapa bagus sebenarnya.  Aku kuatkan hati dan semangat aje sebab dah sampai kan.  Rugilah kalau separuh jalan aje.  Adik aku pulak muka dah pucat lesi.  Terpaksalah jalan perlahan-lahan.


Cantik dan luas jugak tasik dayang bunting ni.  Boleh berenang dan naik bot yang dikayuh dengan kaki di tasik ni.  Ada 2 jenis bot.  Satu kayuh dengan kaki dan satu lagi otomatik dan mahal sikit sewanya.  Tak payahlah ambil yang otomatik tu, macam tak function je.  Terapung-apung dan kena control stereng aje.  Aku syorkan ambil yang kayuh aje, lebih cepat dan seronok. 



Balik dari Pulau Dayang Bunting, pemandu bot akan singgah sekejap di kawasan banyak burung helang sedang makan di laut.  Kita akan tengok aje dari dalam bot.





Lepas itu kami singgah di Pantai Beras Basah.  Di sini pantainya cantik dan pelawat boleh berenang.  Tak de beras basah ye di sini.  Hanya nama sahaja.  Kami diberi masa 1 jam untuk bersantai di sini.  Sebab kami tak dimaklumkan boleh berenang di sini, makanya duduk sajalah keboringan.  Kedai makan pun tak ada.  Kalau korang satu bot tak suka nak berenang-renang ni sume, cakap je lah tak nak pegi situ buang masa aje.

Lagi bagus kalau ambil pakej Island Hoping, ada lagi tempat-tempat yang boleh dilawat.  Ini pun dah ambil masa sehari.

Waktu dah dekat pukul 3pm.  Kami memang dah lapar giler sebab tak sempat sarapan pun pagi tadi.  Hanya makan makanan ringan di jeti tadi.  Kami terus ke Restoran Laman Padi.  Menarik restoran ni.  Makan mengadap sawah padi.





Cuaca memang panas terik.  Badan dah rasa tak selesa.  Kami ambil keputusan pulang ke hotel untuk mandi dan tukar baju.  Lagipun baju dan rambut dah basah tadi dek air laut yang memercik tadi.

Kemudian kami terus pergi ke Aseania Hotel bertemu dengan kawan kami yang pernah bekerja di Pandanusa Island Resort Pulau Besar Melaka dulu.  

Lepas tu kami pergi ke Idaman Suri suatu tempat yang boleh buat kaum wanita hilang akal sekejap.  Taklah besar sangat tempat ni tapi ada bermacam-macam peralatan dapur.    

Kemudian kami ke Haji Ismail Group yang terletak di Kompleks HIG bersebelahan dengan Hotel Haji Ismail Group.  Syurga coklat yang diperkatakan ramai orang ada di sini.  Barang-barang keperluan rumah pun banyak.  Harga memang murah lah kalau dibandingkan di KL.  Luggage pun murah di sini.

Dah penat shopping dalam pukul 8.30 malam, kami pergi makan di pekan Kuah.  Malam ni kami dapat kedai yang sedap masakannya dan harganya pun murah.  Perut dah kenyang, badan dah penat kami pun balik hotel tidur.

Hari Ketiga
Kami mulakan hari dengan breakfast di Aseania dengan kawan-kawan yang menetap di Langkawi ni.  

Kemudian kami terus ke Gunung Macinchang.  Nak naik cable car.  Aku memang dah tanam azam nak ke Sky Bridge.  



Dalam perjalanan ke Macinchang, kami singgah di Porto Malai.  Cantik tempat ni.  Sini pun ada The Loaf, bolehlah lepak minum-minum kalau nak.

Lepas posing sikit-sikit, kami teruskan perjalanan ke Macinchang.  Tiket naik cable car boleh pilih ikut pakej termasuk entry ke 3D Art Langkawi dan lain-lain.  Pelancung memang ramai.  Jadi sebaiknya pergilah pagi.  Nak naik cable car tu kena berbaris bukan main panjang lagi.  Masa kami pergi ni pelancung arab paling ramai.



Kalau nak ke Sky Bridge kena tambah bayaran sebanyak RM5 seorang tapi dengan berjalan kaki menggunakan tangga yang berjumlah 3000 anak tangga.  Sebenarnya ada kenderaan yang disediakan untuk sky bridge itu tapi rosak pulak waktu itu.  

Adik aku berkeras tak nak ikut tapi aku cakap kita jalanlah perlahan-lahan.  Aku memang bersemangat nak pergi juga walaupun sebenarnya aku taklah sihat sangat.  Dah sampai sini kan, rugilah kalau tak jejak ke Sky Bridge tu.



Dah turun sikit, aku tengok muka adik aku dah pucat lesi macam nak pengsan.  Dengan rasa kecewa terpaksalah kami patah balik.  Dia pun takut apa-apa terjadi pada aku sebab kesihatan aku.  Tak pe lah, nanti kalau nak datang Langkawi lagi aku kena call dulu untuk pastikan kenderaan itu berfungsi.  


Dalam perjalanan balik kami ternampak satu kawasan pantai yang berteluk yang cantik dan bersih tapi tertulis kawasan larangan.  Kami berhenti di tepi jalan aje untuk ambil gambar.

Seterusnya kami ke Makam Mahsuri.  Cantik kawasan sekeliling.  Bentuk rumah zaman dahulu terpelihara baik. 


Petang tu kami ke Dataran Lang.  Lebih kurang 1 jam kami di sini.  Sewaktu ada di sini, aku tiba-tiba teringat pada Tun Mahathir yang bangunkan Langkawi.  



Cuaca memang panas di Langkawi ni.  Badan pun dah rasa melekit.  Tak boleh lama-lama di luar ni.  Lagipun kami kena pindah selera hotel lain pulak.  Jadi sebelum ke Sea Village, kami pergi sekali lagi ke Haji Ismail Group.  Kena beli luggage jugak sebab dah tak muat nak isi barang.  Murahlah luggage kat sini.





Lepas itu kami terus check-in di Sea Village.  Cantik resort ni yang terletak atas air laut.  Resort ni boleh dikatakan 3 serangkai.  Langkawi Lagoon, Ombak Villa dan Sea Village.
  

Registration kena buat di Langkawi Lagoon.  Menginap di Sea Village dan breakfast di Ombak Villa. 


Kemudian kami siap-siap ke Aseania semula.  Ada jemputan makan malam. Happening hotel ni.  Siap ada performance.





Hari Keempat
Aktiviti packing barang dan santai-santai aje di kawasan resort yang indah dan tenang ini.  Tak rugi aku book resort ni.  



Hari ni hari terakhir kami di Langkawi.  Kami check-out awal sebab saje nak pusing-pusing Langkawi ni  sebelum kami pulangkan kereta sewa.  Kereta sewa kami tinggalkan di airport saja.





Siakap Tiga Rasa




1 ekor ikan siakap
3 sb tepung jagung
sedikit garam
3 sb cili kisar
1/2 cawan air
1 biji tomato - didadu
1 kuntum bunga kantan - dihiris
4 helai daun limau purut
3 biji cili padi - dihiris
1 cawan minyak

Bahan ditumbuk kasar :
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
20 gm halia 
2 biji cili merah

Bahan untuk sos :
1 sb sos tomato
2 sb sos cili
2 sb sos ikan
2 sb gula pasir
1 biji limau nipis - ambil jus
1 st kicap lemak manis

1.  Bersihkan ikan.  Lumurkan ikan dengan garam dan tepung jagung.  Lepas itu goreng ikan hingga garing.  Letak atas pinggan.



2.  Tinggalkan sedikit minyak bekas menggoreng ikan tadi.  Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga naik bau.

3.  Masuk cili kisar dan tumis lagi.  Bila cili dah nampak garing, masukkan bahan sos yang telah dicampurkan.



4.  Kemudian masukkan bunga kantan, daun limau purut, air, tomato dan garam.  Masak hingga pecah minyak.



5.  Tuangkan sos itu di atas ikan goreng tadi.  Taburkan dengan cili padi potong.