Saturday, November 24, 2012

Masak Lemak Daging Salai Dengan Betik Mengkal




1 biji betik mengkal
1 biji kelapa
2 cawan air
2 batang serai - diketuk
1 helai daun kunyit
200 gm daging salai - resipi di sini
garam secukup rasa

Bahan Tumbuk :
10 biji cili padi
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2" kunyit hidup

1.  Betik mengkal ni warnanya agak oren sikit.  Tapi isinya masih keras.  Betik dibelah empat dan dipotong dalam 1/2" tebal.



2.  Kelapa parut diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat dan diperah lagi dengan 1 cawan air dijadikan santan cair.
3.  Masukkan bahan tumbuk, daging salai, serai dan santan cair dalam periuk. Biarkan hingga mendidih sambil dikacau selalu.
4.  Kemudian baru dimasukkan santan pekat, daun kunyit dan garam .  Biar mendidih sekali lagi sambil dikacau selalu.  Kuah semestinya pekat dan pastikan guna api perlahan apabila memasak masakan ini.

Jangan sekali-kali gunakan api yang kuat dan jangan biarkan kuah terlalu mendidih, nanti kuah akan menjadi cair.





Daging Salai




1 kilo daging 
sedikit garam
sedikit serbuk kunyit

1.  Daging dipotong nipis lebar-lebar.  Kemudian dilumur dengan garam dan serbuk kunyit.  Biarkan dalam 20 minit.

2.  Selalunya daging salai ni disalai di atas bara api tapi cara yang aku buat adalah daging itu aku aturkan dalam magic pan dan letak atas api dapur.  Masak lama sikit supaya daging itu empuk.  Kalau masak lama sedikit, daging akan ada bekas-bekas hitam macam kena panggang atas bara.



3.  Kalau tak ada magic pan, susunkan daging di atas dulang pembakar dan dibakar di dalam oven sehingga daging empuk. Masa ini harum sungguh bau daging yang dipanggang ini tapi daging tu taklah nampak garing.  Kalau nak nampak garing atau macam ada kesan-kesan sedikit hangus, layurkan sekejap di atas api dapur.




Sambal Tumis Sotong



5 ekor sotong besar
1/2 cawan cili kisar
1 sb asam jawa
1/2 cawan air
1 biji bawang besar - dihiris
1/4 cawan minyak untuk menumis
garam secukup rasa

Bahan tumbuk :
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sb belacan

1.  Sotong dibersihkan dan dikelar-kelarkan.  Boleh juga dipotong-potongkan.  Jika hendak hidangkan sotong itu seekor- seekor, pastikan dibersihkan dibahagian dalam sotong itu betul-betul.


2.  Tumiskan bahan tumbuk hingga garing. 

3.  Masukkan pula cili kisar dan tumis lagi hingga garing.

3.  Bila cili itu dah nampak garing, masukkan asam jawa yang telah dibancuh dengan 1/2 cawan air tadi.

4.  Masak hingga sambal itu pecah minyak dan barulah dimasukkan bawang besar, sotong dan garam.  Tutup api.  Sotong itu jangan dimasak terlalu lama.  Nanti dia jadi liat.



Lempeng Kelapa





Lempeng kelapa memang lemak rasanya.  Lebih-lebih lagi jika gunakan kelapa muda.




1 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan kelapa parut putih
1/2 cawan air 
garam

Campurkan semua bahan dan gaul rata semuanya sehingga sebati. Kalau tak ada kelapa putih tu, hentam ajelah kelapa yang ada kulit ari tu.  Boleh aje.  

Panaskan satu sudu teh minyak dalam kuali.  Ratakan minyak itu merata dalam kuali.  Kalau guna kuali leper lagi senang.  

Ambil satu senduk adunan tepung itu dan masukkan dalam kuali tadi.   Ratakan tepung itu dalam kuali dan biarkan bahagian bawahnya masak.  Buat sederhana nipis lebih sedap.  Kalau hendak garing sedikit, tambah sedikit minyak dan masaklah lama sedikit. Kemudian diterbalikkan lempeng itu dan masaklah lagi hingga elok masaknya.  

Lempeng kelapa ini sedap dimakan dengan sambal atau asam pedas.  Makan dengan gula pasir pun sedap.




Tuesday, November 20, 2012

Lepat Pisang



Kuih lepat pisang ini sebaiknya gunakan pisang emas yang masak ranum atau apa sahaja pisang yang manis.


10 biji pisang emas atau 2 cawan pisang yang telah dilenyek
1/2 cawan tepung gandum
1/3 cawan gula merah
3 sb gula pasir 
1 cawan kelapa parut - putih sahaja
1/4 cawan santan
garam secukup rasa
daun pisang secukupnya

1.  Sediakan dulu daun pisang berukuran kira-kira 7".   Basuhlah dulu daun pisang tu dari apa-apa kotoran dan lapkan biar kering. Lepas tu layurkan atas api supaya ia lembut semasa membungkus kuih nanti.  Ketepikan.

2.  Sementara itu panaskan air di dalam kukusan.



3.  Gaulkan semua bahan hingga sebati dalam mangkuk.  Ambil lebih kurang 2 sb adunan itu dan letakkan atas daun pisang. Kemudian dilipatkan 4 segi tepat. 

4.  Susunkan semua kuih itu dalam kukusan dan kukus lebih kurang 15 minit atau sehingga nampak ada wap keluar dari celah penutup pengukus.  Tutup api.





Monday, November 19, 2012

Sambal Tomato-Kicap




Ini adalah sejenis sambal pencicah/sos.  Sangat sedap.

4 ulas bawang merah - dihiris
1 ulas bawang putih - dihiris
10 biji cili padi
1 sb kicap pekat
1/4 cawan kicap cair
1 biji tomato - belah 4
sedikit belacan bakar
garam, gula pasir

1.  Bawang merah, bawang putih, cili padi dan tomato digoreng dalam minyak yang sedikit hingga agak garing.  Kemudian ditumbuk semuanya bersama belacan.  Berhati-hati semasa menumbuk tomato tu, nanti terpercik di muka.



2.  Masukkan semua bahan tumbuk, kicap cair, kicap pekat, garam dan gula dalam periuk dan dimasak hingga mendidih dan agak pekat.

Kicap pekat dan kicap cair itu boleh digantikan dengan kicap lemak manis.




Sunday, November 18, 2012

Pisang Tumbuk


Pertama kali aku dengar nama pisang tumbuk ni, memang rasa pelik.  Makanan ni adalah makanan orang-orang bugis.  Serius cakap memang sedap dan senang pulak nak membuatnya.  Tak payah nak guna tepung pun.  


Pisang Tumbuk ni kena gunakan pisang abu atau ada juga orang panggil pisang kapok/kepok.  Tapi gunakan pisang yang muda ye. Aku cuba pisang muda dan pisang masak sekali sebab nak tahu mana lebih sedap.  Menggunakan pisang muda lebih sedap dan makan pula panas-panas.  

Mengikut pada resipi yang aku jumpa, Pisang Tumbuk ni dicicah dengan sambal tomato-kicap.  Tapi bagi aku makan begitu sahaja pun dah sedap tambah lagi bila makan panas-panas....garing.

Aku dapat resipi Pisang Tumbuk ini di di sini



1.  Pisang abu/kepok itu dibuang kulitnya.  Rendam sekejap dalam air garam supaya berasa sikit pisang tu.  Toskan.  Boleh juga kalau tak nak letak garam.  

Pada apa yang aku cuba, tanpa garam adalah lebih sedap dan lemak.


2.  Panaskan minyak dan goreng pisang tu tanpa dipotong.  Goreng hingga kekuningan.  Toskan.


3.  Lepas tu, letak pisang yang telah digoreng separuh masak tu di atas papan pencanai.  Kemudian ambil satu lagi papan pencanai dan dipenyekkan pisang itu hingga leper.  Janganlah terlalu leper.  


Tapi asalnya, pisang tu sepatutnya ditumbuk dengan lesung batu sampai leper.  Guna papan pencanai lagi senang.

4.  Panaskan semula minyak menggoreng pisang tadi dan digorengkan pisang yang telah dipenyek/ditumbuk tadi.  Goreng hingga garing.  


5.  Toskan dan makan dengan pencicahnya iaitu Sambal Tomato-Kicap (resipi di sini).



Friday, November 16, 2012

Seafood Tom Yam Putih



5 ekor udang 
2 ekor sotong 
3 ekor ketam
3 batang serai - dititik
4 helai daun limau purut
1" lengkuas - diketuk 
1 pokok daun ketumbar - dihiris 
1 biji tomato
1 st sos ikan
2 biji limau nipis - ambil jus
3 cawan air
garam secukup rasa

1.  Masak air dalam periuk bersama lengkuas dan serai.  
2.  Bila mendidih, masukkan tomato, udang, sotong, ketam, sos ikan dan garam.
3.  Bila mendidih sekali lagi, masuk jus limau dan daun limau purut.  Tutup api dan tabur daun ketumbar.





Wednesday, November 14, 2012

Roti Inti Kacang Merah



Bahan A :
1 sb yeast
1/4 cawan gula pasir
2 1/2 cawan tepung gandum
1/4 st garam

Bahan B : 
1/4 cawan butter - dicairkan
2 biji telur - dipukul sedikit
1/2 cawan susu cair/air suam

Bahan D :
2 1/2  cawan inti kacang merah (resipi di sini)
1 biji kuning telur - untuk sapu
sedikit bijan putih/bijan hitam/walnut cincang


1.  Satukan Bahan A.  Gaul rata.



2.  Masuk butter cair dan telur.  Gaulkan sedikit.

3.  Panaskan susu cair tapi jangan sampai mendidih.  Biarkan ia suam-suam.  



4.  Buatkan lubang di tengah adunan dan tuangkan susu cair/air suam tadi. Gaul dan uli hingga menjadi doh yang lembut.  Sapu sekeliling mangkuk adunan dengan minyak dan letakkan doh itu di tengahnya.  Tutup dengan kain lembab dan biarkan doh itu selama 40 minit.



5.  Bahagi doh kepada 16 bahagian.  Leperkan sedikit doh itu dan letakkan inti kacang merah di tengahnya.  Bulatkan semula dan leperkan sedikit.  Dengan menggunakan gunting, gunting di tepi-tepi kuih roti itu tapi jangan sampai putus.



5.  Akhir sekali sapukan kuning telur di atas permukaan roti dan taburkan bijan/walnut cincang.  Bakar pada suhu 350F / 170C selama 20 minit.





Tuesday, November 13, 2012

Jus Epal Pudina




2 biji epal hijau
2-3 helai daun pudina
4 sb gula perang
1" kulit kayu manis
400 ml air
sedikit serbuk kulit kayu manis
1 st serbuk roti

1.  Masak air, gula perang bersama kulit kayu manis.  Tapiskan air gula dalam jug.

2.  Epal hijau dan daun pudina dikisar halus dan dicampurkan dengan air gula tadi.  Kacaukan.



3.  Semasa menghidang dalam gelas, taburkan serbuk roti dan serbuk kayu manis di permukaan air itu.  

Kalau tak suka sangat dengan aroma kayu manis tu, boleh skip.  Tapi minuman ini memang sedap dan menyegarkan.





Sunday, November 11, 2012

Cheese Sandwich



Crusty Rusty Bread ni makan sekeping pun dah terasa kenyang.  Selain dimakan begitu sahaja dengan butter, boleh juga dibuat cheese sandwich.

Makanan yang simple dan mengenyangkan.  Boleh jadi menu diet TETAPI......dah namanya tekak orang melayu kan,  4 jam selepas tu dah mula mencari-cari makanan yang lain.  

Nak buatnya?  Ambil 2 potong Crusty Rusty Bread (resipi di sini) lalu disapu salted butter di sebelah aje.  Kemudian letak daun salad, 3 keping tomato hiris dan 2 keping keju Chesdale.  Lepas itu letak sedikit lagi daun salad di atasnya dan tutupkan dengan sekeping lagi Crusty Rusty Bread yang juga telah disapu dengan salted  butter. Dah siap.  

Menu ini kalau makan di rumah, memang tak ada selera lah.  Tapi cukup sesuai kalau jadi menu di office terutama kalau memang sentiasa sibuk dan leka buat kerja....gerenti tak rasa lapar.


Ayam Burma



10 helai daun pudina
1/2 cawan air
1 biji tomato - dibelah 4
1/4 st gula pasir
2 batang serai - dititik
1 biji bawang besar - dihiris

Bahan ini digaul bersama dan perapkan dalam 1/2 jam :
1/2 ekor ayam 
1 sb sos tiram
1/2 st serbuk kunyit

Bahan dikisar bersama :
4 biji cili merah
2 ulas bawang putih
1 biji bawang besar 
1/2" halia
1 batang serai
1 sb serbuk kari


1.  Ayam yang diperap tadi digoreng separuh masak.  Ketepikan.



2.  Tumiskan bahan kisar hingga naik bau.



3.  Masuk air, ayam, gula dan serai.  Masak hingga ayam masak dan kuahnya agak pekat.



4.  Akhir sekali masukkan tomato, bawang besar hiris dan daun pudina.



Masak Lemak Telur Pecah



3 biji telur
10 biji cili padi
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
3" kunyit hidup
2 sb udang kering
2 1/2 cawan air

1 biji kelapa
2 batang serai
1 helai daun kunyit
3 biji limau kasturi
garam secukup rasa

1.  Kisar cili padi, bawang merah, bawang putih, kunyit hidup dan udang kering.  Kelapa diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat dan diperah lagi dengan 1 1/2 cawan air dijadikan santan cair.


2.  Masukkan bahan kisar, serai dan santan cair ke dalam periuk. 

3.   Masak hingga mendidih dan pecahkan telur ke dalamnya.  Biarkan telur masak sambil dikacau perlahan-lahan supaya telur tidak hancur halus-halus.


4.  Akhir sekali masukkan santan pekat, daun kunyit, jus limau kasturi dan garam.




Nasi Goreng Sambal Pudina



200 gm nasi putih yang telah sejuk
2 sb minyak untuk menumis
garam secukup rasa

Bahan ditumbuk kasar:
15 helai daun pudina
3 sb ikan bilis goreng
1/4 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
5 biji cili padi

1.  Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga garing.





2.  Kemudian masukkan nasi putih dan gaul hingga sebati.

3.  Akhir sekali masuk garam.  Gaul rata.