Tuesday, June 30, 2015

Nasi Goreng Sambal Belacan Binjai


Apalah agaknya rasa nasi goreng ni ek?  Bukannya masam-masam manis macam nenas tapi binjai kan masam.  Tak salah mencuba kan?  Lepaslah untuk sahur.




Mula-mula tumiskan 2 ulas bawang merah dan 4 ulas bawang putih yang ditumbuk kasar sampai nampak agak keperangan.  Nak kasi pedas, masukkan cili padi yang dikisar dalam 1 sb bersama 3 sb sambal belacan binjai dan udang.  Tumislah sampai garing.



Kemudian masukkanlah apa aje bahan-bahan yang disukai bersama garam.  Masak seketika dan akhirnya masukkan nasi sejuk dalam 300 gm.  Dah tentulah buat nasi goreng kena guna nasi sejuk baru sedap kan!!!



Nak tahu apa rasanya???  Pedas-pedas masam dengan wangi dari belacan bakar dalam sambal belacan tu..makan pulak dengan ikan goreng panas-panas.....licin you, kami berdua makan. Alhamdulillah.





Saturday, June 27, 2015

Sambal Belacan Binjai




1 biji binjai masak 
10 biji cili merah
5 biji cili padi
1 keping kecil belacan bakar
1/2 biji bawang besar
1/2 st minyak 
garam secukup rasa



Buah binjai ni ada 3 jenis.  Masam, manis dan yang tak berapa masam (lemak)..ni menurut kata orang yang jual tu lah.  Nak buat sambal belacan, kena guna binjai yang masam atau yang lemak tapi mesti dah masak.  



Buah binjai dipotong nipis.



Kali ni aku nak buat sambal belacan versi tumbuk pulak...takde lah berair sangat.  Untuk memudahkan kerja menumbuk, cili merah dan cili padi itu aku gorengkan dulu bersama belacan dan bawang bersama 1/2 st minyak masak. Gorengkan hingga naik bau atau hingga cili tu nampak layu sedikit.  Sambal pun akan jadi sedap sebenarnya.



Kalau buat sambal belacan tumbuk ni, cili tu tak berapa lumat pun tak apa....lagi sedap.  

Lepas tu masukkan garam.  Akhir sekali masukkan potongan binjai tadi dan dilenyekkan bersama cili tumbuk tadi.  Gaulkan.  




 

Sicilian Orange Cake



250 gm planta
180 gm gula pasir
4 biji telur
1 sb parutan kulit oren
250 gm tepung gandum
1 st baking powder
4 sb jus oren

Untuk icing glaze :
85 ml jus oren
125 ml gula icing

1.  Panaskan oven pada suhu 170C.

2.  Pukul planta dan gula hingga kembang.



3.  Masuk telur satu persatu diikuti dengan parutan kulit oren.


4.  Masuk tepung yang telah diayak bersama dengan baking powder berselang-seli dengan jus oren.  Kaup dan balik hingga sebati.



5.  Masuk dalam acuan yang telah disapu dengan butter atau dialas dengan baking paper.  Bakar kek pada suhu 170C selama 45-50 minit.


Untuk icing :  Pukulkan jus oren dan gula icing hingga sebati. Tuangkan icing itu ke atas kek semasa menghidang. 


Peringatan :  Icing ini memang terlalu manis.  Boleh aje jika tidak menggunakannya.  Tapi dengan adanya icing glaze tu lah yang nampak beza sikit dari kek oren biasa.



Tuesday, June 23, 2015

Rahsia Surah Al-Kautsar


                       


Bismillahirrahmanirrahim

Inna a'ttoina kal kautsar.  Fadsallili robbika wanhar.  
Innasya niaka hual ab tar.


Surah ini paling pendek dan hanya mengandungi 3 ayat.  Ia diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di Syurga.  Kolam sungai ini diperbuat daripada batu permata nan indah dan cantik.  Rasa airnya lebih manis daripada madu.

Warnanya pula lebih putih daripada susu dan lebih wangi daripada kasturi.  Surah ini disifatkan sebagai penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w  kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian dua orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.

Berbagai khasiat terkandung di dalam surah ini boleh diamalkan :

a)  Baca surah ini ketika hujan turun dan berdoa.
Mudah-mudahan Allah s.w.t memakbulkan doa kita.

b)  Jika kita kehausan dan tiada air.
Bacalah surah ini dan gosokkan di leher.  Insyaallah, hilang dahaga.

c)  Jika sering sakit mata seperti berair dan bengkak.
Sapukan air mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.

d)  Jika rumah dipercayai terkena sihir.
Baca surah ini 10x.  Mudah-mudahan Allah s.w.t beri ilham kepada kita di mana letaknya sihir itu.

e)  Jika membaca 1000x, rezeki kita akan bertambah.

f)  Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan kusyuk ketika menunaikan solat.

g)  Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x, Allah s.w.t akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi.

wallahualam...ini dikongsi dari rakan fb saya.



Monday, June 15, 2015

Lobak Asin Goreng



100 gm lobak asin
1 biji bawang besar
10 biji cili padi
segenggam ikan bilis
2-3 helai daun limau purut




Lobak asin dipotong nipis, direndam dan diperah bagi membuang masinnya.  Ulang 2-3 kali dan toskan.  Tapi menurut petua sorang kawan aku, lobak asin tu perlu dibasuh dengan air garam bagi mengurangkan masinnya.  Lain kali boleh cuba petua ni.


Bawang dihiris.  Cili padi ditumbuk kasar atau boleh juga dipotong kecil.  

Ikan bilis digoreng dan diasingkan.  Kemudian tumiskan bawang besar dan cili padi hingga naik bau.  Kemudian masukkan lobak asin dan daun limau purut.  Gorengkan sekejap.  Akhir sekali masukkan ikan bilis goreng tadi.  Gaul-gaulkan dan tutup api.

Selain ikan bilis, boleh juga digantikan dengan telur.




Sunday, June 14, 2015

Urap Beremi


Lama dah tak makan urap ni.  Hari tu masa balik Melaka singgah kat pasar Melaka, ada pulak 1- 2 gerai yang jual sayur ni tapi tak banyak.  


Selalunya sayur beremi ni dibuat urap aje.  Ada juga yang goreng dan dibuat masak lemak.  Sayur beremi ni rasanya pahit-pahit sikit tapi sedap.  

Ambillah pucuk-pucuk yang lembut batangnya.  Bersihkan betul-betul dan rendam sekejap dalam air garam dan toskan.  Kemudian dipotong kecil-kecil.


300 gm sayur beremi
3/4 cawan kelapa parut putih
1/4 biji bawang besar
1 batang serai
1 biji limau kasturi
1/4 st serbuk kunyit
garam dan gula secukup rasa

Bahan tumbuk :
2 biji cili merah
1 ulas bawang putih
2 sb udang kering

1.  Sayur beremi dipotong atau dipatahkan bahagian yang lembut dalam 1/2" panjang.  Bersihkan dan rendam sekejap dalam air garam. Toskan. 

Serai dihiris bahagian putihnya yang lembut sahaja.  Limau kasturi diambil jusnya.  Bawang besar dihiris.  Boleh juga gunakan bawang merah dan ditumbuk sekali dengan cili.


2.  Masukkan bahan tumbuk, kelapa, bawang besar, serai dan serbuk kunyit dalam kuali.  Sangaikan sekejap sambil digaul hingga sebati.  Masukkan sedikit jus limau kasturi bagi mendapatkan sedikit keharuman kasturi itu.  Kelapa tu janganlah sampai terlalu kering.


2.  Kemudian masukkan sayur beremi, garam dan gula.  Gaulkan hingga sebati dan sayur layu sedikit.  Tutup api.

3.  Masa menghidang tu, taburkanlah sedikit bawang goreng jika mahu.  Urap Beremi ni sedap dimakan dengan asam pedas.








Sunday, June 7, 2015

Doa Pembuka




Doa pembuka apa-apa yang tertutup
- Hati yang tertutup untuk melakukan amal soleh & amal jariah
- Hati yang tertutup untuk menerima nasihat
- Pintu rezeki yang dirasakan seperti tertutup
- Minda@akal yang dirasakan seperti tertutup
- Hati yang tertutup untuk berkahwin


Surah Al Fath
1)  Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.

2)  Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).

3)  Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya).

4)  (Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu)  Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada;  padahal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

5)  (Allah melakukan yang demikian) supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan - ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan adalah yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka).



Saturday, June 6, 2015

Pajeri Mangga



7 biji mangga muda/mengkal
3" kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 biji bunga cengkih
3 sb rempah kari
1 sb cili kisar*
2 sb kerisek
1 sb asam jawa 
1/4  cawan gula - untuk merebus mangga
1 cawan air - untuk kuah
1 sb gula - untuk kuah
garam secukup rasa

Bahan ditumbuk kasar :
8 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1" halia
1 st belacan
2 sb udang kering

1.  Mangga dikupas kulit dan dikelar-kelar hingga ke bahagian dalam tapi jangan sampai terlerai dari biji.  Masukkan mangga ke dalam periuk bersama air separas mangga itu.  Didihkan bagi membuang sedikit rasa masamnya.  Kemudian dibuang air itu.


Masukkan lagi air separas mangga dan didihkan lagi dan dibuangkan lagi air rebusan mangga itu.  

Kemudian dimasukkan lagi air untuk kali ketiga separas mangga bersama 1/4 cawan gula pasir tadi.  Rebus lagi sehingga gula larut atau hampir mendidih tapi jangan lah sampai mangga itu terlalu hancur.  Toskan.


Kalau guna mangga mengkal, rebus sekejap aje.  

2.  Panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga cengkih hingga naik bau.


3.  Masukkan bahan tumbuk dan tumis lagi hingga naik bau.   Lepas itu masukkan rempah kari dan cili kisar.  Gaul-gaulkan dan tumis sekejap.  Kalau tak nak pedas, tak payah masuk cili kisar itu.

4.  Masukkan air bersama air asam jawa dan bila sudah mendidih, masukkan mangga tadi bersama 1 sb gula, kerisek dan garam.


5.  Masak hingga mendidih dan bila kuah sudah nampak pekat sedikit, tutup api.   Masa menghidang, taburkan bawang goreng.



Pajeri mangga ni rasanya memang masam-masam manis.  Selain gunakan mangga muda, boleh juga gunakan mangga separuh masak.  Sedap dimakan dengan ikan masin dan sambal goreng cili kering atau sambal belacan.