Monday, October 13, 2014

Cinnamon Pull Apart Bread


Jam dah pukul 1.00 pagi tapi hati menggelisah aje dah beberapa hari ni.  Otak pun dah buntu berfikir.  Kena buat sesuatu untuk hilangkan resah.  Last-last ternampak resipi ni dan tengok bahan-bahan semuanya ada, aku pun mula lah projek meroti ni pepagi buta ni.  


2  3/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan gula pasir kasar
2 1/4 st yeast
1/2 st garam
4 sb planta 
1/3 cawan susu cair
1/4 cawan air
2 biji telur
1 st esen vanila

Untuk Filling :
1/2 cawan gula pasir kasar
1/2 sb serbuk kayu manis
1/2 st serbuk buah pala
3 sb planta - dicairkan

1.  Panaskan susu dan butter/planta hingga cair.  Tutup api dan masukkan air serta esen vanila.  Kacaukan dan biar suam.

2.  Dalam mangkuk yang besar, satukan 2 cawan tepung gandum, gula, yeast dan garam. 



3.  Pukul telur sedikit dan masukkan di tengah tepung itu.  Gaul-gaulkan.

4.  Lepas itu tuangkan campuran susu suam tadi ke dalam campuran tepung.  Gaulkan.  Adunan ini memang melekit sedikit. 



Tambahkan 3/4 cawan tepung tadi.  Uli hingga menjadi doh.  Ia agak melekit sedikit.  Lumurkan keliling mangkuk doh dengan minyak dan perapkan adunan doh tadi di dalamnya.  Tutup mangkuk doh dengan wrapping plastik dan biarkan adunan naik 2x ganda.

5.  Sementara menunggu doh naik, campurkan bahan-bahan filling kecuali planta.  Untuk filling ni tak perlulah banyak sangat, nanti roti jadi terlalu manis.  Begitu juga dengan serbuk kayu manis, tak perlulah banyak sangat....yang tekak mat saleh aje yang boleh telan kalau terlebih kayu manis.  



6.  Bila doh dah naik 2x ganda, canai doh selebar 12" persegi. Sapukan planta cair di atasnya dan taburkan campuran filling ke seluruh permukaan doh itu.  



7.  Potong doh itu kepada 6 atau 8 bahagian.  Susun bertindih setiap lapisan itu.  Lepas tu, potongkan lagi menjadi 6 atau 8 bahagian. Part ni, kalau nak potong 2 bahagian pun boleh.  Kalau potong 6 bahagian, kepingan roti tu akan jadi kecil sikit.




8.  Ambil potongan-potongan itu dan susunkan ke dalam loaf pan yang telah disapu dengan planta dan ditabur tepung gandum atau alaskan dengan baking paper.  Kalau nak susun cantik-cantik tu boleh aje tapi aku suka pulak tengok kepingan tu macam tunggang-langgang hehe.  


Tutupkan loaf pan itu dengan wrapping plastik dan biarkan ia naik lagi 2x ganda. 



9.  Kemudian barulah dibakar pada suhu 170C selama 30-35 minit. Semasa proses membakar, bahagian atas roti ini akan nampak brown sikit tapi bahagian tengahnya mungkin masih mentah.  Jadi part ni kena beri perhatian sikit.  Biarlah permukaannya berwarna perang sedikit.  Suhu pula ikut oven masing-masing.



10.  Bila dah dikeluarkan dari oven, biarkan ia sejuk 20-30 minit.  Lepas tu keluarkan dari acuan dan sejukkan ia di atas redai kek bagi mengelakkan bahagian bawah roti lembap berwap.

Memang sedap roti ni...kalau filling tu ada lebih, jangan dibuang. Buat teh-o dah masukkan sedikit maka jadilah teh-o perisa kayu manis.


No comments:

Post a Comment