Persoalan corak telekung ini sudah lama bermain di dalam minda aku. Aku tahu perkara ini akan menjadi suatu isu sensitif kepada golongan tertentu.
Dahulu telekung dibuat dari kain cotton yang tidak bercorak. Kemudian telekung ini telah ditambah dengan sedikit lace/renda yang cukup simple. Lama-kelamaan pembuatan telekung hingga kini telah didesignkan dengan sulaman berwarna-warni, penggunaan kain yang juga berbagai warna dan berbagai jenis kain digunakan. Sehinggalah telekung kini ada yang berharga beratus-ratus ringgit.
Seringkali kita semua mendengar komen-komen seperti ini : "Apa salahnya kita menghadap Allah dengan berpakaian cantik sedangkan kita boleh berpakaian cantik dan mahal di luar sana". Setahu aku pakaian semasa menghadap Allah (bersembahyang) hanya memerlukan kita berpakaian menutup aurat, suci dan bersih sahaja sudah memadai.
Pernah perkara ini dibidas oleh seorang rakan aku bila kami berkata telekung yang bercorak itu boleh membuat jemaah yang lain merasa rendah diri dan tidak kusyuk. Dengan bersemangat dia berkata "itu salah jemaah tersebut yang tidak kusyuk bersembahyang. Kita mampu nak beli telekung yang cantik dan apa salahnya menghadap Allah dengan berpakaian cantik."
'Astaghfirullahalazhim' (dalam hati aje) tatkala mendengarkan jawapannya. Teringat aku pada satu hadis yang berkaitan dengan pembacaan al-quran dengan suara yang kuat.
Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang yang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga menganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa'id al-Khudri :
"Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid) baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda : "Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat" (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Bagi aku sama saja hal ini dengan hal telekung itu. Lagipun ditakuti kita termasuk dalam golongan yang riak yakni bermegah-megah tanpa kita sedari. Kita ini adalah hamba yang lemah.
Ada juga orang yang sanggup berhutang untuk membeli telekung yang berdesign-design itu. Bila ditanya, dia jawab "malulah bila sembahyang, tengok orang lain semua pakai telekung cantik-cantik". Aku dengar ajelah jawapannya...tak berani nak komen. Orang-orang macam ni tak boleh nak komen sebarangan sebab bagi dia, dia juga yang betul. Lagipun siapalah kita nak tegur berkaitan dengan bab-bab agama ini.
Aku mempunyai pandangan peribadi sendiri tentang isu ini. Waimah kita mampu membeli telekung berharga ribuan ringgit sekalipun, adalah lebih baik digunakan semasa kita sembahyang bersendirian di dalam bilik. Tapi jika kita bersembahyang di surau/masjid yakni terdapat jemaah-jemaah yang lain, lebih baiklah kita memakai telekung berwarna putih, jenis cotton biasa pun dah memadai dan tidak perlu bersulam-sulam bagai. Cukup sekadar ia menutup aurat, suci dan bersih.
Apapun, tepuk dada tanya akal. Kalau difikirkan bab kain ihram pulak, nasib baiklah kain ihram itu telah ditetapkan rupanya. Kalau tidak, harus berwarna-warni para jemaah semasa berihram.
Singgah baca..
ReplyDeletesaya ada menjual telekung yang selesa dan harga berpatutan sempena ramadhan ini. Boleh jenguk ke blog saya.
salam Ramadhan. :)