Saturday, December 8, 2012

Serimuka



Dulu-dulu di kampung kami panggil kuih ni kuih gading galoh. Sekarang aje lebih popular dipanggil serimuka. Dulu-dulu mak aku selalu buat kuih ni warna kuning bahagian atasnya.  Hanya gantikan warna pandan itu dengan pewarna kuning.






Untuk Lapisan Bawah :
1 cawan beras pulut 
1 cawan santan cair  
1 helai daun pandan
sedikit garam

1.  Rendam pulut 3 jam ataupun semalaman.  Toskan.

2.  Alaskan loyang dengan daun pisang.  Masukkan pulut, santan, garam dan daun pandan.  Kukuskan pulut itu hingga masak lebih kurang 20 minit.  Pulut akan menjadi jernih dan berkilat.                

3.  Keluarkan pulut itu dan kacau-kacaukan sedikit.  Lepas itu alaskan loyang itu dengan daun pisang atau plastik dan masukkan pulut itu dan tekan-tekankan pulut itu dengan daun pisang supaya padat dan rata. 



Jika menggunakan acuan/bekas kecil, letakkan sepotong kecil daun pisang atau daun pandan di dasar acuan/bekas kecil itu.  Masukkan pulut yang telah dimasak itu ke dalamnya dan ditekan-tekan dengan daun pisang biar padat dan rata lalu dikukus hingga masak.

Untuk Lapisan Atas :
2 cawan santan pekat
1 cawan tepung gandum
1 sb tepung ubi
2 biji telur 
150 gm gula pasir
1 st garam
2 helai daun pandan
sedikit pewarna hijau

1.  Daun pandan dikisar halus bersama 1/2 cawan santan tadi. Tapiskan jusnya.  

2.  Satukan santan, jus pandan, tepung gandum, telur, gula pasir dan garam.  Dipukulkan dengan whisk hingga sebati.

3.  Masukkan sedikit pewarna hijau bagi mendapatkan warna yang cantik. Whiskkan hingga sebati.  Tapis adunan supaya tidak ada tepung yang bergentel.

4.  Tuangkan adunan itu ke atas pulut dimasak tadi.  Kukus semula selama 30 minit atau hingga masak kalau guna loyang.  Jika guna acuan/bekas kecil, sekejap aje dah masak.



Semasa mengukus lapisan atas itu, boleh ditutup bahagian atas kuih dengan wrapping plastik atau aluminium foil bagi mengelakkan wap jatuh ke atas kuih.  Jika tidak ditutup, pastikan penutup periuk kukus dibuka setiap 5-10 minit dan dilapkan bahagian dalam penutup itu.  

Jika permukaan kuih nampak sedikit basah walaupun kuih dah masak, tutup api dan bukakan penutup periuk kukus.  Biarkan kuih itu terus berada didalam periuk kukus hingga permukaannya nampak kering sedikit. 



Biarkan kuih betul-betul sejuk barulah dipotong atau dikeluarkan dari acuan. 












No comments:

Post a Comment