Selama ini setiap kali kita pecahkan telur, keadaan kuning dan putih telur bermacam-macam rupa. Telur yang boleh digunakan adalah sehingga ia berusia 2 minggu. Kadang-kadang kita tidak boleh terlalu berpandukan pada tag tarikh luput yang tertera sahaja. Tapi macamana kita nak tahu samada telur itu masih sesuai digunakan untuk sesuatu masakan terutama untuk membuat kek ataupun telur goreng separuh masak.
Cuba masukkan sebiji telur ke dalam gelas yang mengandungi air bersih.
1. Sekiranya telur itu tenggelam ke dasar gelas secara melintang, ia menunjukkan telur itu masih baru dan sangat baik untuk digunakan. Apabila telur itu dipecahkan, keadaan kuning telur akan terletak bulat serta cantik membukit dan putih telur akan kelihatan kental mengelilingi kuning telur itu. Kalau hendak masak telur goreng separuh masak, elok gunakan telur baru macam ini.
2. Sekiranya telur itu agak mengapung sedikit serong, ia menunjukkan telur itu masih elok digunakan tapi usia telur itu sudah satu minggu. Apabila dipecahkan, kuning telur itu agak sedikit bulat leper dan putih telur itu sudah agak cair yakni tidak bulat dan kental.
3. Sekiranya telur itu agak menegak, ia menunjukkan telur itu telah berusia dua minggu. Ia adalah usia maksimum telur itu masih boleh digunakan. Telur macam ini mesti segera digunakan dan sesuai direbus.
4. Sekiranya telur itu terapung dipermukaan air, telur itu tidak boleh digunakan lagi.
Tapi kalau difikirkan semula jenuh pulak hendak mengetest setiap biji telur terutama bila digunakan untuk sesuatu masakan yang banyak menggunakan telur seperti kuih bahulu dan sebagainya. Lepas tu nak kena basuh dulu telur itu sebelum dipecahkan pulak. Kemudian kena tos dan keringkan atau dilap telur itu sebelum digunakan. Selama ini setiap kali aku guna telur, inilah kerja remeh yang terpaksa aku buat dulu.
No comments:
Post a Comment