Sunday, March 31, 2013

Pengat Nangka



10 ulas nangka masak
1 biji kelapa putih
2 cawan air
2 sb sagu mata ikan - hijau
4 sb gula pasir
3 sb tepung jagung
2 helai daun pandan
garam

1.  Nangka disiat memanjang.  Kalau nak sebiji-sebiji pun boleh.  Kelapa diperah dengan 2 cawan air itu diambil santan pekat.

2.  Sagu mata ikan direndam lebih kurang 15 minit dan ditoskan. Kemudian direbus hingga sagu nampak jernih.  Lepas tu rendam dalam air sejuk supaya sagu tak melekat.  Ketepikan.

3.  Satukan santan dan tepung jagung dalam periuk.  Kacau biar tepung larut.  Kemudian masukkan garam dan daun pandan.  

4.  Bila dah mendidih, masukkan nangka.  Nangka ni akan mudah lembut jadi masukkan bila dah hampir pekat pun boleh juga.  Masak lagi sambil dikacau selalu hingga pekat.

5.  Tutup api dan masukkan sagu tadi.  






Tuesday, March 26, 2013

Tempe Goreng Berempah



2 keping tempe
3 sb tepung gandum
2 sb tepung beras
1 st serbuk kunyit
1/2 st air kapur
2/4 cawan air
garam secukup rasa

Bahan tumbuk :
1 sb jintan manis
1 st jintan putih
1 sb ketumbar biji
1 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah

1.  Campurkan tepung, bahan tumbuk dan air sehingga menjadi beter yang tidak terlalu cair atau terlalu pekat.  Agak-agak boleh menyalut tempe itu.   Kemudian dimasukkan garam, air kapur dan serbuk kunyit.  Gaul hingga sebati dan biarkan sekejap.


2.  Potong tempe ikut suka dan celupkan tempe itu ke dalam beter tadi lalu digoreng di dalam minyak panas.


Sedap dimakan semasa hangat dengan sambal kicap.  Resipi di sini



Sambal Kicap



100 gm cili padi
5 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
1/4 cawan air suam
1 sb minyak
gula pasir secukupnya
kicap secukupnya

1.  Gorengkan cili padi, bawang merah dan bawang putih bersama 1 sb minyak hingga bawang putih kekuningan.  


2.  Tumbuk atau kisar bahan yang digoreng tadi bersama kicap, air suam dan gula pasir hingga halus.







Sunday, March 24, 2013

Cucur Udang Stail Mamak



1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung beras
1 1/2 sb tepung jagung
secubit baking powder
garam secukup rasa
1/2 st yis
1/2 st gula pasir
1 cawan air suam
10 ekor udang (saiz besar)
- boleh juga kalau nak letak 1 st serbuk kunyit
- boleh ditambah daun bawang dan tauge.

1.  Satukan yis, gula pasir dan air suam.  Biarkan lebih kurang 5-10 sehingga berbuih.  Jika masih tidak nampak berbuih, buat lain.

2.  Satukan tepung gandum, tepung beras, tepung jagung, baking powder, serbuk kunyit dan garam.  Gaul rata.

3.  Masukkan campuran yis yang berbuih tadi.  Gaul hingga sebati.  Adunan ini nampak cair pada mulanya.  Tapi selepas diperap 1-2 jam ia akan memekat sedikit.  Bila adunan itu telah nampak berbuih, barulah boleh digoreng.



4.  Panaskan minyak (goreng terendam).  Minyak kena betul-betul panas.  Masukkan senduk sekejap dalam minyak panas tadi. Kemudian ambil sesenduk adunan tadi, letakkan udang, tauge dan daun bawang lalu digoreng hingga garing.

Cucur macam ni lah yang selalu digunakan untuk dicampurkan dalam mee goreng mamak.





Cucur Ubi Keladi Dan Ikan Bilis



1/2 biji keladi
1 cawan ikan bilis (saiz besar)
1 tangkai daun bawang - dihiris
1/2 st ketumbar - ditumbuk
1/2 st jintan manis - ditumbuk
1/2 biji bawang besar - dihiris
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung beras
1 st air kapur
1 st serbuk kunyit
3/4 cawan air
garam secukup rasa

1.  Keladi dikupas dan dipotong halus memanjang.  Ikan bilis dicuci bersih dan toskan kedua-duanya.


2.  Campurkan semua bahan kecuali air dimasukkan sedikit demi sedikit agar adunan beter tidak terlalu cair.  Agak-agak bahan-bahan lain boleh melekat bila digoreng.  

3.  Kemudian barulah dicampurkan keladi dan ikan bilis tadi.  Gaul rata.  

4.  Panaskan minyak dalam kuali (goreng terendam).  Ambil sejemput adunan tadi dan digoreng hingga garing.  


Sedap dimakan semasa panas dengan sos cili.


Saturday, March 23, 2013

Majlis Perkahwinan Masyitah di Oakleaf Club Bukit Antarabangsa (Poolside)


Satu lagi majlis perkahwinan telah diadakan di Oakleaf Club pada 15/03/2013 (Jumaat).  Mula-mula tu memang seriau jugak kot-kot aku ni salah dengar ke pasal date tu.  Ramai yang bertanya sampai aku sendiri jadi confuse.  

Sampai berkali-kali wedding planner Kak Syidah dari BAYU WEDDINGS menyakinkan aku.  Ini disebabkan saudara-mara pengantin perempuan ramai yang datang dari Terengganu dan Kelantan.  Jumaat kan cuti umum kat sana.

Tu kereta yang dinaiki oleh pengantin...
Plan asal mereka nak buat platform kat atas swimming pool tu tapi terpaksa dibatalkan atas sebab2 tertentu.  Kalau tidak, mesti cantik.

Di tempat aku ni, kalau wedding waktu malam memang aku syorkan ambil Bayu Weddings uruskan segalanya.  Bukan apa, dorang ni "dengar cakap" hehehe.  Kerjasama tu penting.  Tak kiralah majlis tu kecil atau besar.  

Aku memang tak ambil sebarangan wedding planner atau caterer untuk event malam.  Masa setting dan masa nak mengemas tu penting.  Hanya wedding planner tertentu sahaja dibenarkan dan Bayu Weddings memang dalam senarai kami.

Tentang harga tu boleh dibawa berunding, kalau budget sikit baik cakap terus-terang.  Senang nak plan.  Almaklum lah majlis perkahwinan sekarang bukan main mahal lagi.  





Canapes


Roti sandwich adalah lebih beberapa keping.  Tak tahu nak buat apa.  Tiba2 aku teringat akan satu wedding reception yang aku organize masa kerja di hotel dulu.  Antara menu yang diminta adalah Canapes.  Cute aje aku tengok yang Chef kami buat masa tu. Mulalah rasa nak buat canapes.

Nak buat Canapes ni memanglah nampak simple aje tapi bahan yang nak guna sikit-sikit tu lah yang renyah.  Yang ni aku hanya gunakan apa yang ada aje, ikut tekak aku je pun.  Bahan dan penyediaan pun main tangkap muat jugak.  




Selalunya dasarnya digunakan roti panggang, timun, kepingan keju, biskut cracker bulat, avocado dll.    Ikut creativiti masing-masing. Buat pun kecil-kecil aje, untuk sekali ngap aje.

Untuk paste selalunya digunakan butter, kentang lecek yang telah diperisakan, cream cheese atau apa saje yang disukai.  



Untuk ini, bahan yang aku gunakan adalah roti, butter, cheese slice, baby tomato, daun pudina, inti sandwich tuna dan toothpick.





Pucuk Pakis Goreng Belacan




500 gm pucuk pakis
1 biji bawang besar 
1 ulas bawang putih 
1 biji cili merah 
1 sb belacan
1 sb air
1 sb minyak untuk menumis
garam secukup rasa


1.  Pucuk pakis diambil daun dan batang-batang yang lembut.  Adalah yang tinggal dalam 200 gm aje.  


Rendam dalam air yang banyak yang telah dibubuh garam.  Tukar dan rendamkan lagi dengan air garam beberapa kali.

Pucuk pakis ni banyak ada ulat-ulat halus.  Kalau rendam akan timbul ulat-ulat itu.  Sebab itu kena rendam dan toskan berkali-kali.



2.  Bawang besar dan bawang putih dihiris.  Kemudian diramas dengan belacan.  Cili merah dihiris.


3.  Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang-bawang tadi bersama cili merah hingga naik bau. 


4.  Akhir sekali masukkan pucuk pakis, air dan garam.  Masak hingga sayur lembut. 




Thursday, March 21, 2013

Abuk-Abuk Sagu Dwi Warna




1 cawan sagu biji - putih
1 cawan sagu biji - hijau  
1 cawan kelapa parut putih
1 helai daun pandan
gula merah/gula melaka hiris secukupnya
garam secukup rasa



1.  Rendamkan sagu biji berasingan dalam 10 minit.  Toskan.

2.  Sagu-sagu tadi digaulkan bersama kelapa dan garam hingga rata.



3.  Kalau gunakan daun pisang, kenalah dibuat bentuk kon (lihat sini) dahulu kemudian barulah dimasukkan sagu putih dan sagu hijau berselang dengan gula merah/gula melaka.  Dikukus lebih kurang 10 minit atau hingga nampak ada wap keluar dari celah-celah tudung periuk kukus tu.



Masa mengukus tu, masukkan daun pandan dalam air kukusan supaya berbau harum.



                Tapi di sini aku juga gunakan mangkuk kecil.  




Popia & Roti Gulung



8 keping kulit popia
8 keping roti putih 
1 st tepung gandum + 1 sb air (dijadikan gam)

Bahan untuk inti :
10 ekor udang 
1 biji bawang besar 
2 ulas bawang putih 
1 st serbuk jintan manis
1 biji cili merah 
1 pokok daun bawang 
1 sb minyak
garam secukup rasa

1.  Udang dipotong kecil.  Bawang besar didadu kecil.  Bawang putih dan cili merah dicincang halus.  Daun bawang dihiris.


2.  Panaskan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih, cili merah dan jintan manis hingga naik bau.  

3.  Masuk udang, daun bawang dan garam.  Masak hingga kering dan tutup api.  Sejukkan.


4.  Gelekkan roti supaya sedikit leper.  Letak roti di atas kulit popia. 


Letak inti di atas roti dan gulung roti dulu.  Kemudian barulah digulungkan dengan kulit popia dibahagian luarnya. 


 Dipenghujung kulit popia sapukan gam tepung tadi dan lekatkan.  Gorengkan dalam minyak panas hingga kuning.



Masak Lemak Pucuk Pakis




500 gm pucuk pakis
1 biji kelapa
1 helai daun kunyit
2 batang serai
1 biji limau kasturi
garam secukup rasa

Bahan dikisar halus :
5 biji cili padi
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
2 sb geragau kering
2" kunyit hidup

1.  Pucuk pakis diambil bahagian yang lembut sahaja.  Walaupun asalnya 500 gm tapi setelah diambil yang lembut sahaja adalah tinggal dalam 200 gm.  Basuh bersih dan direndam sekejap dalam air garam dan toskan.


2.  Kelapa diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat. dan diperah lagi dengn 1 1/2 cawan air dijadikan santan cair.

3.  Daun kunyit disiat-siat dan serai dititik.   

4.  Masukkan bahan kisar, santan cair dan serai ke dalam periuk dan masak hingga mendidih sambil dikacau-kacau.  

5.  Kemudian dimasukkan pucuk pakis dan biarkan sayur masak.


6.  Akhir sekali barulah dimasukkan santan pekat, daun kunyit  dan garam.  Bila mendidih perahkan jus limau kasturi.  Kacau-kacau dan tutup api.






Pengat Keladi




400 gm ubi keladi
1 biji kelapa
2 cawan air
1/2 cawan gula merah/melaka
3 sb gula pasir
2 sb tepung jagung
3 sb sagu mata ikan (direndam dalam 10 minit)
secubit garam
2 helai daun pandan

1.  Potong keladi dalam bentuk dadu.  Pastikan tangan tidak basah ketika memotong keladi bagi mengelakkan tangan gatal-gatal.   Kemudian dibasuh keladi dan direbus hingga empuk.  Toskan.



2.  Masak gula merah/melaka bersama air dan gula pasir hingga gula larut.  Tapiskan.  Kelapa diperah dengan 2 cawan air diambil santannya.



3.  Kemudian masukkan larutan gula tadi bersama santan, garam, tepung jagung yang telah dibancuh dengan sedikit air, sagu mata ikan dan daun pandan dalam periuk.  



4.  Bila hampir mendidih, masukkan keladi.  Masak lagi hingga pekat dan sagu mata ikan nampak jernih/kembang sambil dikacau selalu.


Saturday, March 16, 2013

Popia Jejari Ketam



1 paket kulit popia
1 paket jejari isi ketam
1 batang carrot - dipotong memanjang
1 sb tepung gandum + 2sb air (dijadikan pelekat)

Bahan untuk sambal :
3 sb cili kisar
2 ulas bawang putih
3 sb gula pasir
1/4 cawan cuka
garam secukup rasa

1.  Ambil sehelai kulit popia.  Susunkan 1 jejari ketam, 1 potongan carrot.

2.  Gulungkan dan sapukan dihujungnya dengan bancuhan tepung tadi dan lekatkan.  



3.  Panaskan minyak dalam kuali dan goreng popia hingga garing kekuningan.  Toskan.


4.  Untuk membuat sambalnya, panaskan minyak dan tumis bawang putih serta cili hingga garing.  Masuk gula, garam dan cuka.  Masak hingga pekat.  Tutup api dan masukkan popia yang digoreng tadi.  Gaul rata.