Friday, February 22, 2013

Kuih Lompat Tikam

Kuih ini terdiri dari 2 lapisan iaitu hijau dan putih.  Kemudian diletakkan diatasnya dengan pulut merah dan disiramkan dengan air gula melaka.

Terdiri dari 2 cara dalam penyediaannya.  
a)  Cara pertama :  masukkan terus larutan tepung ke dalam loyang dan dikukus 2 lapis hingga masak seperti kuih talam.
b)  Cara kedua : larutan tepung dimasak hingga likat berkilat dan dimasukkan ke dalam acuan.

Sukatan kuih ini memerlukan 1 biji kelapa parut (bahagian putih sahaja).  Ia memerlukan 3 cawan santan pekat dari perahan pertama dan 3 cawan santan cair dari perahan kedua.  




Lapisan Hijau
1 cawan tepung beras
3 cawan santan cair (perahan kedua) - campur sekali air pandan jika gunakan air pandan
1 st air kapur
air daun pandan ataupun pewarna hijau
garam

Kacaukan semua bahan sehingga larut.  Kemudian dimasak dengan api perlahan sehingga larutan menjadi likat, berkilat dan meletup-letup sedikit.  Bila diangkat, senduk yang digunakan, adunan itu tidak meleleh. 

Tuangkan adunan itu di dalam acuan dan sejukkan.



Lapisan Putih
1 cawan tepung beras 
3 cawan santan pekat (perahan pertama)
1 st air kapur
garam

Kacaukan semua bahan sehingga larut.  Kemudian dimasak dengan api perlahan sehingga larutan menjadi likat, berkilat dan meletup-letup seperti lapisan hijau tadi.  

Tuangkan adunan itu di atas lapisan hijau tadi dan sejukkan.



Pulut Merah
1/2 cawan pulut
1/2 cawan santan cair
pewarna merah
garam

Pulut direndam semalaman bersama pewarna merah.  Kemudian ditoskan.
Pulut itu kemudiannya dimasukkan ke dalam loyang bersama santan cair dan garam lalu dikukus hingga pulut masak.  Semasa mengukus itu, pulut perlulah dikacaukan sekejap supaya santan bergaul rata.

Untuk menyediakan pulut ini, ia boleh juga dimasak seperti memasak nasi biasa sehingga pulut masak dan kering.

Bila pulut ini telah siap, letakkan ia sedikit di atas kuih tadi dan disiramkan dengan air gula melaka.




Air Gula Melaka
1 ketul gula melaka 
1 cawan air 

Masak gula melaka dan air hingga gula larut.  Tapiskan dulu larutan gula itu semasa ia masih cair bagi mengasingkan segala habuk2.  Kemudian dimasak semula larutan gula hingga sedikit pekat.


No comments:

Post a Comment