Saturday, January 30, 2016

Bangkit Sagu / Santan




450 gm tepung sagu
50 gm tepung gandum
200 gm gula ising
250 ml santan (2 biji kelapa parut putih)
3 biji kuning telur
2 helai daun pandan
sedikit pewarna hijau (jika hendak)

1.  Tepung sagu dan tepung gandum disatukan, diayak dan disangai bersama daun pandan yang telah dipotong pendek.  Sangai sehingga tepung menjadi ringan dan agak kesat bila digesek dengan jari.  Boleh juga dibakar di dalam oven, cuma kena kerap dikacau-kacau tepung itu.  Lepas itu sejukkan dan ayak sekali lagi. Ketepikan.


2.  Kelapa mestilah diperah tanpa menggunakan air.  Tapi memang tak laratlah nak perah macam tu.  Jangan risau, masih ada cara yang mudah.  Kelapa dicampurkan dengan 1 cawan air dan diperah seperti biasa.  Lepas itu dibiarkan santan itu beberapa jam.  Pati santan itu akan terasing.  Jadi kita hanya perlu mencedok perlahan-lahan pati santan yang terapung itu.  Aku biarkan semalaman dalam fridge barulah diambil patinya keesokkan harinya.



3.  Pukul gula dan telur.  Masukkan pewarna (jika menggunakan pewarna) dan santan. Tinggalkan santan dalam 1 sb untuk ditambah jika adunan menjadi kering semasa proses mencanai.  

4.  Kemudian masukkan pati santan sedikit demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh yang lembut.

5.  Canaikan doh dan diterap dengan acuan.  Jika doh menjadi kering, tambahkan pati santan setitik-setitik sambil diuli semula. Susun biskut yang telah diterap ke dalam dulang pembakar yang telah dialas dengan baking paper.  Bakar pada suhu 160C selama 15 minit.




Friday, January 29, 2016

Jejari Keledek Dan Udang Goreng




250 gm keledek kuning
10 ekor udang saiz besar

Bahan untuk batter :
1/2 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
1.5 cawan air
1/4 st garam
1/4 st gula pasir
1/4 st serbuk kunyit
1 biji telur


1.  Keledek dipotong halus memanjang.

2.  Udang dibersihkan, dibasuh dan ditoskan.

3.  Satukan semua bahan untuk batter.   Kemudian masukkan keledek yang telah dipotong tadi.  Batter ini tidak boleh terlalu pekat.  Cukup sekadar keledek dan udang itu boleh melekat.

4.  Ambil sejemput atau sesudu keledek itu dan letakkan seekor udang di atasnya.  Jika menggunakan sudu, pastikan tidak ada adunan yang tebal dibawah jejari keledek.  Celupkan udang di dalam batter tadi supaya ia boleh melekat dengan baik pada jejari keledek.

5.  Lepas itu, gorengkan ia di dalam minyak yang banyak sehingga garing.

6.  Semasa hendak makan, celupkan ia ke dalam Sos ala Vietnam. Resipi di sini.   Boleh juga diletakkan jejari keledek & udang yang telah digoreng itu diatas daun salad lalu dicelupkan ke dalam sos.


Keledek tu kalau disagat, boleh dibuat kecil2, tapi aku saje potong kasar macam ni.
Ini yang kecil


Sos Pencicah ala Vietnam






1 cawan air
1/2 cawan gula pasir
1/4 cawan fish sauce
1 biji limau nipis
3 biji cili padi merah
2 ulas bawang putih

1.  Cili padi dibuang bijinya dan dicincang halus.  Bawang putih juga dicincang halus.

2.  Didihkan air bersama gula sehingga gula larut.

3.  Masukkan pula fish sauce.  Masak lagi hingga mendidih.  Fish sauce ini mempunyai bau yang agak kuat.  Setelah dididihkan, baunya tidaklah kuat sangat.  Tutup api.

4.  Kemudian masukkan cili padi dan bawang putih yang dicincang tadi.

5.  Akhir sekali perahkan jus limau nipis ke dalamnya.

Sos ini sememangnya cair dan jernih.  Sos inilah yang digunakan untuk mencicah popia vietnam dan lain-lain.

Mula-mula tengok sos ni dulu pun aku macam tak minat.  Tapi bila dah cicah dengan popia atau apa saja....haishh memang sedap.










Tuesday, January 26, 2016

Nasi Bawang Putih



2 cawan beras basmathi
1 sb planta
1 ulas bawang putih - dihiris
1/2 biji bawang besar - dihiris
3 cawan air
garam
3 ulas bawang putih - dicincang halus


1.  Panaskan planta dalam periuk.

2.  Tumis bawang putih dan bawang besar hingga naik bau.

3.  Masuk beras dan goreng sekejap.

4.  Masuk air, garam dan masaklah seperti masak nasi biasa.



5.  Sementara itu, gorengkan bawang putih cincang hingga kekuningan.  Toskan.  Semasa menghidang, taburkan bawang putih goreng itu di atas nasi.




Salad Epal Kasih Bertaut




3 biji epal hijau
10 biji anggur hitam tanpa biji
250 ml yogurt
1/4 cawan kacang/badam/biji gajus
1/4 cawan kismis


1.  Epal didadu kecil.  Nak buang kulit pun boleh, tak buang kulit pun boleh.

2.  Anggur hitam dibelah dua.

3.  Kacang/badam/biji gajus disangai dulu.

4.  Masukkan semua bahan dalam mangkuk dan gaul hingga rata.

5.  Sejukkan dalam fridge sebelum dimakan.




Monday, January 25, 2016

Sup Cendawan Berjagung




1 tin mushroom cream
1/4 cawan isi jagung yang telah direbus/dikukus
sedikit parmesan cheese yang diparut
sedikit serbuk lada hitam
sedikit air

Masukkan mushroom cream bersama air ke dalam periuk.  Biarkan ia mendidih dan pekat sedikit.  Masukkan jagung.  Biar ia mendidih sekali lagi dan tutup api.  Taburkan sedikit lada hitam dan parmesan cheese jika suka.

Sedap dihidangkan dengan garlic bread.






Daging Goreng Daun Bawang





1/2 kg daging lembu - dihiris nipis
1 biji bawang besar - dihiris
1 ulas bawang putih - dicincang halus
1" halia - dihiris halus
2 sb air
7 pokok daun bawang - dipotong 1"
1 sb kicap cair
1 sb kicap pekat
1 sb sos tiram
beberapa titik minyak bijan
1 st bijan putih - disangai sekejap
garam
2 sb minyak 

1.  Panaskan minyak dan tumis bawang putih, separuh bawang besar dan halia hingga naik bau.

2.  Masuk daging dan air.  Biarkan hingga daging bertukar warna dan empuk.

3.  Lepas itu masukkan kicap cair, kicap pekat, sos tiram, daun bawang dan baki bawang besar tadi.

4.  Akhir sekali titikkan sedikit minyak bijan.  Gaul rata.  Masuk garam jika perlu.  Masa menghidang, taburkan bijan.



Sunday, January 24, 2016

Nasi Goreng Lemon




1 mangkuk nasi sejuk
1 st biji sawi
1/2 biji bawang besar
1 biji cili hijau - dihiris
1 sb kacang dhal - direndam dahulu
1" halia - diparut/dihiris halus
1 tangkai daun kari
1/4 st serbuk kunyit
2 sb kacang tanah - digoreng tanpa minyak
1/2 biji lemon - diambil jusnya
1 sb daun ketumbar yang dihiris
2 sb minyak 
garam

1.  Panaskan minyak dan tumis bawang sehingga layu.  Tolak ke tepi sedikit bawang itu dan masukkan biji sawi.  Goreng biji sawi sehingga dengar bunyi biji sawi pecah.  Gaulkan dengan bawang tadi.

2.  Masuk cili hijau, halia, kacang dhal dan daun kari.  Goreng sekejap dan masukkan serbuk kunyit dan garam.  

3.  Barulah dimasukkan nasi sejuk.  Gaulkan sehingga rata.  Tutup api.

4.  Kemudian masukkan kacang tanah, jus lemon dan daun ketumbar.  Gaulkan dan siap untuk dihidang.





Sambal Belacan Nenas




8 biji cili merah
2" belacan bakar
1/2 biji nenas masak
2 biji limau kasturi
garam secukup rasa

1.  Nenas itu dipotong nipis atau kecil-kecil.


2.  Tumbuk cili merah dan belacan.  Lepas tu tumbuk sekali nenas tapi jangan terlalu hancur.  

3.  Masukkan garam dan perahkan jus limau.  Gaulkan hingga rata.





Saturday, January 23, 2016

Bee Hoon Sup Vietnam Style






200 gm bee hoon
100 gm tauge
1/2 biji bawang besar - dihiris nipis dan direndam dalam ais
1 pokok daun bawang - dipotong 1"
1 cawan daun selasih
1 biji limau nipis - diambil jusnya

Bahan untuk sup :
2-3 ketul tulang lembu
100 gm daging lembu
3" halia
2 kuntum bunga lawang
3" kulit kayu manis
1 biji bawang besar - dibelah 2
1 pokok akar ketumbar


Cara untuk menyediakan sup :
1.  Masukkan tulang dan daging lembu ke dalam periuk bersama air separas tulang atau daging lembu itu.  Masak hingga mendidih. Lepas itu, asingkan sup dari isinya.  Hanya ambil sup yang jernih sahaja, yakni dibuang segala lemak-lemak yang timbul.  Tulang lembu dibilas dengan air/ais hingga bersih, manakala daging pula dipotong nipis dan diketepikan.  Sup dari rebusan pertama ini boleh disimpan untuk kegunaan masakan yang lain.


2.  Masukkan semula tulang ke dalam periuk bersama air secukupnya.  Sebelum itu, halia, bunga lawang, kulit kayu manis, isi buah pala, bawang besar dan akar ketumbar dipanggang sehingga naik aromanya.


3.  Setelah itu dimasukkan kesemua bahan-bahan yang dipanggang itu ke dalam periuk berisi tulang tadi bersama garam.  Rebus lagi tulang itu hingga mendidih dan sedia untuk dihidang.



Cara untuk menghidang :
1.  Masukkan bee hoon, tauge dan daging hiris ke dalam mangkuk.

2.  Tuangkan air rebusan tulang yang kedua itu.

3.  Masukkan hirisan bawang besar, daun selasih dan daun bawang dan garam.  Selain daun selasih boleh digunakan daun ketumbar atau daun pudina.

4.  Perahkan jus limau.


Jika hendak pedas, tambahkan cili padi potong atau sedap juga dimakan dengan 'vietnam shrimp sauce'.   Resipi di sini






Thursday, January 21, 2016

Sambal Belacan Vietnam




4 sb belacan
1 cawan air
1 biji nenas saiz kecil - diparut
2 sb gula pasir
2 sb minyak masak
garam

Bahan dikisar kering :
4 batang serai
2 biji cili padi merah
2 ulas bawang putih




1.  Belacan di bancuh dengan 1 cawan air.  Kemudian ditapis. Hanya gunakan airnya sahaja.

2.  Nenas diparut.  Lebih kurang 1 cawan nenas parut diperlukan, termasuk jusnya.




3.  Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar bersama garam hingga garing.

4.  Masukkan nenas dan biarkan seketika.

5.  Akhir sekali masukkan pula air tapisan belacan itu.  Masak hingga pekat.  Tambah garam jika perlu.  



Sambal ni sedap dicampurkan ke dalam mee sup pedas ala vietnam atau sedap juga dimakan dengan nasi.



Bee Hoon Sup Pedas stail Vietnam




200 gm bee hoon - rendam/celur hingga lembut
100 gm tauge
2 biji cili hijau - dihiris
1 biji bawang besar - dihiris nipis dan direndam dalam air ais
1 biji limau nipis - dipotong nipis
daun selasih/daun ketumbar
daun pudina

Bahan Rebusan Daging :
200 gm tulang lembu
100 gm daging lembu
1 biji bawang besar
2 batang serai
1 st garam
air secukupnya

Bahan Untuk Sos Pedas :
2 ulas bawang putih 
2 ulas bawang merah
2 batang serai
1/2 cawan air rebusan daging (rebusan kedua)
1 sb cili flakes / serbuk cili
1 sb fish sauce
2 sb minyak

Bahan untuk air rebusan shrimp paste :
1 sb vietnamese shrimp paste / belacan
1 1/2  cawan air

Cara menyediakan air rebusan daging :
1.  Masukkan tulang dan daging ke dalam periuk.  Masukkan air separas kedua-dua bahan itu.  Didihkan sehingga timbul lemak-lemak putih dan daging empuk.  



2.  Kemudian toskan tulang dan daging itu, tulang itu dicuci bersih sekali lagi. Air rebusan pertama itu tidak digunakan, jadi boleh disimpan untuk kegunaan masakan yang lain.  Manakala daging dihiris nipis dan diketepikan.

3.  Masukkan semula tulang itu ke dalam periuk beserta air, bawang besar, serai dan garam.  Masak hingga mendidih. Buangkan bawang, serai dan lemak-lemak yang timbul.  Sup ini semestinya jernih.  Ketepikan.

Cara menyediakan sos pedas :
1.  Bawang putih, bawang merah dan serai ditumbuk atau dikisar halus.

2.  Panaskan minyak.  Tumiskan bawang putih, bawang merah dan serai hingga kekuningan.  Tutup api.

3.  Semasa masih panas, masukkan cili flakes dan air rebusan daging. Masak semula hingga mendidih dan masukkan ia ke dalam air rebusan tulang tadi.  Ketepikan.

Cara menyediakan air rebusan shrimp paste :
1.  Masukkan 1/2 cawan air ke dalam mangkuk bersama shrimp paste/belacan. Kacau-kacaukan dan biarkan ia mendak sebab hanya air yang dibahagian atas sahaja yang diperlukan.   

2.  Sementara itu didihkan 1 cawan air di dalam periuk yang lain. Masukkan air yang jernih dari rendaman shrimp paste tadi.  Masak lagi hingga mendidih.  Tutup api dan biarkan ia suam. Rebusan itu akan kelihatan jernih.  Jika ada buih-buih putih dipermukaannya, buangkan.   

3.  Kemudian dimasukkan air itu ke dalam air rebusan tulang tadi, bahan mendakkan dibawahnya jangan dimasukkan.  Masukkan garam, gula dan fish sauce ke dalam air rebusan tulang itu. Didihkan semula sup itu dan ia sudah boleh digunakan untuk dihidang bersama mee.

Shrimp paste ni kira macam belacan kalau di Malaysia.  



Cara Menghidang :
1.  Masukkan beehoon ke dalam mangkuk bersama daging dan tuangkan sup pedas tadi.  

2.  Letakkan bawang besar hiris, daun pudina, daun selasih, tauge, cili hijau dan perahkan jus limau nipis.  Untuk lebih sedap, campurkan sedikit sambal belacan vietnam/shrimp sauce.  Resipi di sini

Sebenarnya masakan ini menggunakan banyak daun-daunan.   Daun selasih semestinya ada tapi boleh digantikan dengan daun ketumbar kalau tak ada stok.  Orang Vietnam juga menggunakan kobis yang dihiris dan juga jantung pisang yang dihiris halus dan direndam dalam air batu.

Tuesday, January 19, 2016

Beef Chow Mein





450 gm mee kuning 
100 gm tauge
2 ulas bawang putih - dicincang halus
1 sb cili flakes
1 keping fish cake - dipotong nipis
2 keping tauhu - digoreng dan didadu
3 pokok sawi/brokoli
1 batang carrot - dipotong ikut suka
2 pokok daun sup/bawang - dihiris

Bahan Sos :
1 sb kicap cair
1/4 st kicap pekat
1 sb sos tiram
1/4 cawan stok ayam/daging
secubit gula pasir

Bahan Perapan Daging :
100 gm daging - dipotong nipis
1 sb kicap cair
1 st sos tiram
sedikit serbuk lada sulah 
sedikit garam

1.  Gaulkan semua bahan perapan daging dan biarkan lebih kurang 20 minit.  Panaskan sedikit minyak dan gorengkan ia hingga daging garing.  Keluarkan daging dan ketepikan.



2.  Dalam bekas minyak menggoreng daging tadi, tumiskan bawang putih hingga keperangan.

3.  Masukkan tauhu, fish cake dan cili flakes.   Goreng sekejap dan barulah dimasukkan carrot, sawi dan campuran bahan sos.  Biarkan seketika.

4.  Masukkan pula mee dan daun sup/bawang.  Gaul-gaulkan sehingga nampak kering sedikit.

5.  Akhir sekali masukkan tauge, daging goreng tadi dan tambah garam jika perlu.


Sunday, January 17, 2016

Bebola Keledek Mata Hatiku



250 gm keledek 
1 sb tepung ubi
3 sb tepung gandum
1 sb gula pasir
1 cawan minyak untuk menggoreng
garam secukup rasa

1.  Keledek direbus ataupun dikukus.  Toskan, dibuang kulit dan dilecek atau dikisar hingga halus.
2.  Masukkan tepung ubi, tepung gandum, gula pasir dan garam. Gaulkan hingga menjadi doh.
3.  Buatkan bebola.  Besar ikut suka.  
4.  Panaskan minyak dan goreng hingga kekuningan.  



Kalau suka, boleh digolekkan ke dalam bijan dan digoreng hingga garing.




Tuesday, January 12, 2016

Mee Rebus Johor



A : Bahan Asas
450 gm mee kuning 
150 gm tauge
2 biji telur
4 keping tauhu
2 biji cili hijau
4 biji limau kasturi
3 tangkai daun sup
10 ulas bawang merah

1.  Mee kuning dan tauge dicelur sekejap dan toskan.  Telur direbus
2.  Tauhu digoreng dan dipotong nipis atau didadu.  
3.  Cili hijau dan daun sup dihiris.
4.  Bawang merah dihiris dan dibuat bawang goreng.


B : Cara Membuat Keropok Udang Kering :
1/4 cawan udang kering - dikisar
4 sb tepung gandum
air secukupnya
2 cawan minyak
garam secukup rasa

Campurkan semua bahan dan digaul hingga sebati.  Panaskan minyak dalam kuali atau periuk.  Ambil satu sudu bancuhan tadi dan taburkan/renjiskan dalam minyak panas.  Goreng hingga garing.  Toskan dan simpan dalam bekas kedap udara.







C :  Cara Membuat Kuah Mee Rebus
* 4 ulas bawang merah
* 2 ulas bawang putih
* 1/2" halia
* 1/4 cawan udang kering
200 gm daging - dipotong nipis dan kecil
200 gm keledek
1" lengkuas
3 batang serai
4 sb rempah kari
3 sb taucu
500 ml air
3 sb minyak untuk menumis
garam secukup rasa

1.  Bahan bertanda * dicampur dan dikisar halus.  Keledek dan taucu juga dikisar bersama sedikit air rebusan daging.  Rempah kari dibancuh dengan sedikit air.  Lengkuas dan serai diketuk.
2.  Panaskan minyak dan tumis bahan * yang dikisar hingga pecah minyak.  Masukkan sekali lengkuas dan serai.
3.  Masuk pula rempah kari dan tumis sekejap.
4.  Lepas itu masuk daging, tauchu dan keledek yang dikisar tadi.  Akhir sekali masuk air dan garam.  Masak hingga kuah mendidih dan pekat.



Cara Menghidang :
1.  Letakkan mee ke dalam mangkuk.
2.  Letak tauge dan siramkan kuah mee rebus di atasnya.
3.  Hiaskan dengan tauhu, telur rebus, cili hijau/cili padi, daun sup, bawang goreng dan keropok udang kering.  Perahkan jus limau kasturi.