Monday, September 30, 2013
Satu Kerugian Semasa Melalui Fasa Pra-menopause
Aku ingin mengongsikan pengalaman aku ini bersama ahli keluarga kaum hawa ku yang semakin meningkat dewasa. Setiap wanita akan melalui fasa pra-menopause dalam hidup mereka. Berbagai cerita yang dimaklumkan sehingga ada ketika menghasilkan rasa bimbang yang amat sangat pada kita.
Dahulu aku selalu menganggap remeh akan perkara ini. Satu sahaja yang telah menjadikan aku banyak berfikir setelah melalui fasa ini. Masalah yang paling ketara adalah waktu kedatangan haid. Mula-mula aku memang takut dan terkejut, mana taknya, sekali dia datang memang banyak gila, macam air paip. Takut ada sebarang penyakit dalam perut yang menyebabkan pendarahan yang banyak sangat. Hati mula berkata-kata, darah haid kah ini atau apa sebenarnya. Dalam tempoh tak sampai 24 jam, sampai 4 kali tukar pad.
Rasanya sungguh tak selesa dan aku fikir boleh habis darah dalam badan kalau macam ni. Dan tempohnya pulak, ya ampun...sampai mencecah 14 hari. Lepas tu ia berhenti. Tak sampai 3 minggu kemudian dah datang balik tapi tak banyak, adalah dalam 4 hari lepas tu dah berhenti. Otak aku mulalah berfikir apakah aku perlu mendapatkan rawatan di hospital? Tapi takutlah pulak.
Sehinggalah aku bertanya pada kakak ipar aku, kak eton. Dia kata dia pun alami perkara yang sama dan itu adalah proses biasa pra-menopause. Barulah hati aku lega sikit. Cuma rasa rimas aje dengan keadaan itu.
3-4 bulan selepas itu, kedatangan haid aku kembali teratur. Tup-tup lepas tu dia datang balik tapi setiap 2 minggu lah pulak. Masa ni aku memang dah rasa kerugian yang amat sangat dalam satu hal. Jika berlaku dalam bulan puasa, memang jenuhlah nak menqada puasa. Amal ibadat kita pun sebenarnya menjadi kurang dalam tempoh ini. Dalam tempoh sebulan tu ada beberapa hari sahaja dapat sujud kepadaNYA.
Jadi aku ingin mengingatkan generasi-generasi aku yang akan datang...beribadatlah kamu pada Allah semasa kamu masih muda dan bertenaga lagi. Jangan tunggu dah berumur baru hendak tumpukan membuat rukun yang dituntut itu.
Kerana aku telah merasakannya. Apabila hati ingin melaku satu-satu amalan dalam keadaan suci, ia jadi terhalang disebabkan kedatangan haid yang panjang dan tidak menentu. Maka sujudlah kamu kepadaNYA sekerap mungkin sementara kamu masih berupaya melakukannya. Keraplah membaca Al-Quran sekerap mungkin kerana sampai masanya keinginan kamu untuk mengaji Al-Quran, memegang dan mencium Al-Quran dalam keadaan suci akan terhalang sedangkan waktu itu hati kamu tidak tertahan-tahan untuk memegang dan mengaji Al-Quran dalam keadaan suci walaupun kamu boleh melakukan amalan-amalan zikir yang lain.
Untuk ahli keluargaku yang lelaki, didiklah isteri dan anak-anak perempuan kamu agar jangan menunggu bila dah berumur baru hendak jadikan mengaji Al-Quran itu sebagai rutin hidup mereka.
Labels:
Gemersik Jiwa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment