Tuesday, October 1, 2013

Patutkah Dibatalkan Puasa Qadha Semata-mata Untuk Menghadiri Jamuan Makan


Aku telah diundang oleh seorang kawan ke jamuan hi-tea di rumahnya petang tadi.  Isu yang bermain dalam kepala aku ini adalah apabila dia meminta aku membatalkan puasa qadha hari ini kerana katanya adalah wajib menghadiri jemputannya.  

Namun aku berkeras mengatakan puasa qadha aku adalah lebih wajib sambil menjawab (dengan hati yang agak jengkel sebenarnya) kalau aku mati atau sakit esoknya nanti tak sempat pulak nak qadha puasa.   Bagi aku sungguh tak masuk akal meminta aku membatalkan puasa yang dah hampir setengah hari aku jalani semata-mata untuk menikmati jamuan makan itu, tambah lagi aku dijemput dalam tempoh masa yang singkat.  Lainlah kalau telah dimaklumkan 2-3 hari lebih awal, bolehlah aku skip puasa aku pada hari ini.   Nampaknya ada kecelaruan fahaman di sini. 


*****Untuk renungan bersama
Memenuhi jemputan kenduri adalah dituntut oleh agama.  Jika jemputan adalah kepada kenduri kahwin, hukum memenuhi jemputan itu adalah wajib kecuali jika ada keuzuran.  Adapun kenduri-kenduri yang lain (dari kenduri kahwin), hukum memenuhi jemputan kepadanya adalah sunat (yakni digalakkan dan diberi pahala oleh Allah).  Dalil tuntutan memenuhi jemputan kenduri (terutamanya kenduri kahwin) ialah sabda Nabi s.a.w. :  إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
"Jika seseorang kamu dijemput kepada walimah (kenduri), maka hendaklah ia menghadirinya".  (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Jika sedang berpuasa, mintalah keuzuran dari orang yang menjemput itu (untuk tidak menghadirinya) dan berdoalah untuknya dengan keberkatan dan keampunan Allah.  Ini sebagaimana diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. :   إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَىَ طَعَامٍ وَهُوَ صَائِمٌ فَلْيَقُلْ: إِنِّي صَائِمٌ

"Jika seseorang dari kamu diajak kepada jamuan makan (yakni kenduri) sedang ia berpuasa, hendaklah ia berkata : "Saya berpuasa".  (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Imam an-Nawawi menjelaskan  ucapan "saya berpuasa" dapat difahami bahawa orang yang dijemput mengucapkannya kepada orang menjemputnya sebagai memohon keuzuran dan sebagai memaklumkan keadaannya (yang sedang berpuasa).  Jika orang yang menjemputnya memberi kelonggaran kepadanya dan tidak menuntutnya hadir, gugurlah kewajipan hadir itu darinya.  Namun jika ia tidak memberi kelonggaran dan tetap menuntut kehadirannya, wajiblah ia menghadirinya.  Puasa tidak boleh menjadi alasan untuk tidak memenuhi jemputan kenduri.  Namun demikian, apabila ia menghadirinya, tidaklah dituntut ia makan kerana puasa menjadi keuzuran baginya untuk meninggalkan makan..." (Syarah Soheh Muslim, juz. 8, Kitab as-Siyam, bab as-Shaim Du'iya Li Tha'amin...)
Adapun berdoa untuknya, maka ia berdasarkan sabda Nabi s.a.w. :
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ فَلْيُجِبْ، فَإِنْ كَانَ صَائِماً فَلْيُصَلِّ، وَإِنْ كَانَ مُفْطِراً فَلْيَطْعَمْ
"Jika seseorang dari kamu diajak kepada suatu jamuan kenduri, hendaklah ia memenuhinya.  Jika ia berpuasa, hendaklah ia mendoakannya dan jika ia tidak berpuasa, hendaklah makan".  (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).
Manakah yang lebih afdhal; meneruskan puasa atau berbuka"  Jawapannya :  Jika ia berpuasa wajib (samada puasa qadha' Ramadhan, puasa nazar atau puasa kifarat),  haram ia berbuka sama sekali.  Jika ia berpuasa sunat, hendaklah dilihat; jika ia merasakan dengan meneruskan puasa tidak mengecilkan hati tuan kenduri (yakni orang yang menjemputnya), maka sunat ia meneruskan puasa.  Namun jika ia merasakan tuan kenduri akan berkecil hati jika tidak menjamah kendurinya, maka sunatlah ia berbuka.
Orang yang berpuasa sunat, harus baginya untuk membatalkan puasanya pada bila-bila masa.  Saidatina 'Aisyah r.a. menceritakan :
دَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- ذَاتَ يَوْمٍ، فَقَالَ: هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ؟ فَقُلْنَا: لاَ. قَالَ: فَإِنِّي إِذَنْ صَائِمٌ. ثُمَّ أَتَانَا يَوْماً آخَرَ فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ أُهْدِيَ لَنَا حَيْسٌ. فَقَالَ: أَرِينِيهِ فَلَقَدْ أَصْبَحْتُ صَائِماً، فَأَكَلَ
"Rasulullah s.a.w. datang kepadaku pada suatu hari, lalu ia bertanya; "Adakah kamu sekalian memiliki sesuatu (untuk dimakan)?".  Kami (yakni isteri-isteri baginda) menjawab :  "Tidak ada".   Baginda berkata, "Oleh demikian, aku akan berpuasa".  Kemudian baginda datang lagi kepada kami pada hari yang lain.  Lalu kami berkata kepadanya, "Ya Rasulullah, kita telah dihadiahkan haisun (sejenis makanan campuran buah tamar dengan lemak dan susu kering)".  Maka baginda berkata, "Tunjukkan kepadaku sesungguhnya aku pagi ini berpuasa", kemudian baginda makan makanan tersebut".  (Riwayat Imam Muslim). 



Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda : اَلصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِيْرُ نَفْسِهِ: إِنْ شَاْءَ صَاْمَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ
"Orang yang berpuasa sunat adalah pemimpin dirinya.  Kalau dia mahu ia boleh meneruskan puasanya dan jika ia boleh berbuka".  (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi, Hakim, an-Nasai dan Abu Daud dari Ummu Hani r.a.).

Namun demikian, membatalkannya dengan sengaja tanpa ada sebarang desakan atau keuzuran hukumnya adalah makruh.  Dan puasa sunat yang telah dimulai kemudian dibatalkan (samada dengan sengaja atau tidak), sunat digantikan semula pada hari yang lain.   
         ******  wallahualam


    

1 comment:

  1. Astaghafirullahaladzhim, kita sepatutnya menghormati orang yang berpuasa bukannya meminta dibatalkan dengan hanya alasan yang remeh itu. Sabarlah suraya.

    ReplyDelete