Thursday, October 31, 2013
Antara Darah Haid dan Darah Istihadah
Beberapa bulan ini pening kepala aku memikirkan haid aku yang berpanjangan hampir 2 bulan. Hendak buat pemeriksaan doktor, hati rasa risau pulak kalau doktor mengatakan anda sakit itu, anda sakit inilah. Daripada boleh makan jadi tak boleh makan, daripada hati susah sikit, jadi susah banyak.
Selama ini memanglah aku tahu secara asasnya jika darah yang melebihi jangka waktu kedatangan haid, ia dinamakan sebagai darah penyakit tetapi tidaklah aku tahu macamana yang dikatakan darah penyakit itu. Disebabkan darah yang berpanjangan dan mengikut logik akal aku takkanlah aku tak perlu sembahyang selama itu maka aku buatlah juga sembahyang fardhu dan puasa.
Akhirnya kini terjawablah masalah aku ni....aku sedang melalui pengeluaran darah penyakit atau darah istihadah dalam istilah agama Islam rupanya. Cuma aku tak tahu kenapa ujudnya darah ini.
Apa yang dimaklumkan kepada aku ialah setiap wanita akan menghadapi pengeluaran darah haid pada setiap bulan dalam kitaran waktu yang hampir sama. Kalau tercepat atau terlambat pun adalah dalam beberapa hari sahaja perbezaannya. Pengeluaran darah haid ini pula adalah dalam tempoh 7- 15 hari. Sekiranya masih ada darah yang keluar selepas tempoh itu, ia dinamakan darah penyakit atau darah istihadah.
Satu lagi hendak dibezakan antara darah haid atau darah istihadah ialah darah haid akan berbau tetapi darah istihadah tidak berbau. Darah haid selalunya akan keluar dengan kadar yang banyak dan berwarna merah hitam dan kental. Manakala darah istihadah pula rupanya agak pudar, kecoklatan dan kadar yang sedikit. Dan kita dinasihatkan agar tetap memakai alas/tuala wanita.
Apabila menghadapi situasi pengeluaran darah istihadah ini, kita dibenarkan untuk bersembahyang, berpuasa dan bersetubuh yakni kita bukanlah dalam keadaan berhadas. Cuma kita diwajibkan untuk mengambil wuduk setiap kali hendak bersembahyang. Wuduk perlu diambil selepas masuknya waktu sembahyang yakni setelah selesai azan dan kita hendaklah segera mendirikan sembahyang yakni tidak boleh ditangguh. Contohnya setelah kita selesai sembahyang Maghrib, kita perlu mengambil wuduk semula untuk mengerjakan sembahyang Isyak.
Merujuk kepada hadis berikut : Himnah binti Jahsy radhiallahu 'anha pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w,
"Ya Rasulullah, sesungguhnya saya seorang wanita yang didatangi istihadah yang amat banyak, apakah pandangan engkau berkenaannya? Sesungguhnya ia menegah aku daripada mendirikan solat dan puasa."
Rasulullah menjawab, "Aku akan terangkan untuk kamu (cara menggunakan) al-kursuf (kapas yang diletak di faraj), sesungguhnya ia dapat menghilangkan darah."
Himnah berkata, "Ia (darah saya) lebih banyak dari demikian itu".
Rasullah bersabda, "Sesungguhnya ia adalah hentakan dari hentakan-hentakan syaitan, maka (apabila) kamu didatangi haid selama enam atau tujuh hari pada ilmu Allah Ta'ala, hendaklah kamu mandi apabila kamu lihat bahawa kamu telah suci (dari darah haid), maka hendaklah kamu solat pada 23 malam atau 24 malam dan siangnya dan hendaklah kamu berpuasa." (sunan Abu Daud no. 248 (Kitab Al-Thaharah) dan sunan al-Tirmizi -no. 118 (Kitab al-Thaharah). sumber di sini
Legalah kini hati aku mendapat info ini. Kalau nak tahu lebih mendalam tentang perkara ini, pergilah merujuk kepada yang ahli.
Labels:
Info Agama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment