Sunday, January 27, 2013

Agar-Agar Santan Pandan


10 gm serbuk agar-agar
1 cawan gula pasir
4 cawan air
1 cawan santan pekat
1 biji telur
2 helai daun pandan
1/4 st garam

1.  Masak air, gula, serbuk agar-agar dan daun pandan hingga gula larut.

2.  Santan dicampur dengan telur sambil dipukul sedikit.  Tuangkan campuran santan ke dalam larutan agar-agar tadi bersama sedikit garam.

3.  Kuatkan api sambil dikacau-kacau hingga mendidih dan nampak santan berbintil-bintil.  Berhati-hati mengawal api bagi mengelakkan adunan membuak.

4.  Bila telah mendidih, tuang separuh adunan ke dalam acuan. Biarkan agar-agar mengeras sedikit.

5.  Adunan yang separuh lagi dibiarkan hangat dengan api kecil supaya tidak membeku.

6.  Kemudian dicucuk-cucukkan agar-agar yang telah keras sedikit itu dengan garfu.  Tuangkan pula adunan yang separuh lagi dan biarkan hingga sejuk barulah disejukkan ke dalam peti ais. Kemudian dipotong ikut suka.



Bubur Nasi



1/2 cawan beras
1 batang serai
2 helai daun salam
1/2" lengkuas / halia
air secukupnya
garam secukup rasa

Lauk-lauk dimakan bersama :
kacang tanah goreng
bawang goreng
daun bawang - dihiris
ikan bilis goreng

1.  Beras dimasak seperti memasak nasi biasa.  Bila nampak dah agak kering atau pekat, tambahkan air.  Kena ditambah-tambahkan air selalu.  


Kalau terus dimasukkan air dalam sukatan yang banyak, alamat akan jadi berjam-jam nak tunggu jadi bubur.  Boleh juga digunakan nasi sejuk, cuma tambah-tambahkan air aje sampailah ia jadi bubur.

2.  Bila dah hampir menjadi bubur, masukkan serai, daun salam, lengkuas/halia dan garam. 


3.  Bila siap, masuk dalam mangkuk dan makanlah bersama lauk-lauk yang kita suka.  




Saturday, January 26, 2013

Ayam Goreng Berempah



1 ekor ayam
3 tangkai daun kari
2 batang serai
500 ml minyak
garam secukup rasa

Bahan kisar :
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sb ketumbar biji
1 sb jintan manis
1 st jintan halus
4 batang serai
3" kunyit hidup

1.  Ayam dipotong ikut suka.

2.  Gaulkan bahan kisar bersama ayam, daun kari dan garam. Perapkan sekurang-kurangnya 1 jam.


3.  Serai dipotong 1" panjang.  Lepas tu tumbuk dengan bawang merah dan bawang putih.  Gaulkan dengan sedikit garam.


4.  Panaskan minyak dan goreng campuran serai yang ditumbuk tadi hingga garing.  Toskan dan ketepikan.  

5.  Kemudian gorengkan pula ayam hingga garing.  Gorengkan sekali rempah-rempahnya.  Toskan.  

Masa menghidang taburkan serat serai yang digoreng tadi.  






Friday, January 25, 2013

Nasi Uduk


Nasi Uduk adalah sejenis masakan dari Indonesia.  Beras dikukus dengan santan bersama ramuan-ramuan tertentu dan disaji bersama tempe goreng, ayam goreng, tauhu goreng, telur dadar yang dihiris, bawang goreng, timun, dan sambal.  Ini adalah lauk-lauk asasnya yang wajib ada.


Kalau diperhatikan bahan yang digunakan untuk memasak Nasi Uduk ni berbagai-bagai.  Kebanyakan resipi Indonesia yang aku explore, bahan yang wajib ada ialah semestinya beras, santan, daun salam dan serai.  Bahan-bahan tambahan yang lain tu ada berbagai-bagai seperti lengkuas, ketumbar biji, bawang merah hiris, lada hitam, halia dan bawang putih hiris.  Ikutlah selera masing-masing ataupun gunakan apa saja bahan yang kita ada.  Kalau yang tak suka halia tu, tak payahlah guna halia.


Bolehlah dikatakan Nasi Uduk ni macam Nasi Lemak kalau di Malaysia ni.  Hari ini teringin pulak nak mencuba masakan ini. 

2 cawan beras
3 cawan santan (dari 1 biji kelapa putih sahaja)
2 helai daun salam
2 batang serai - dititik
1 hiris lengkuas - diketuk
2" halia - diketuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk kasar
2 ulas bawang merah - ditumbuk kasar
garam secukup rasa

1.  Kukus beras dalam 10 minit.
2.  Sementara itu masak santan bersama garam, lengkuas, daun salam, halia dan serai hingga mendidih.  Harus dikacau selalu supaya santan tidak pecah minyak.  
3.  Kemudian masukkan beras yang masih panas tadi ke dalam santan yang juga masih panas.  Kacau-kacaukan sehingga beras itu menyerap semua santan.
4.  Masukkan semula beras bersantan itu ke dalam pengukus dan dikukus lagi 20 minit atau hingga nasi masak.


Lauk-lauk yang dihidangkan bersama Nasi Uduk ini adalah 
a)  Sambal Kacang
b)  Ayam Goreng
c)  Kacang Goreng (skip)
d)  Tauhu Goreng
e)  Telur Dadar - dihiris
f)  Tempe Goreng
g)  Bawang Goreng
h)  Timun



Untuk menyediakan Sambal Kacang :
7 tangkai cili merah
2 ulas bawang putih
1/4 cawan kacang tanah goreng
3 biji limau kasturi 
1-2 titik minyak masak
gula pasir dan garam secukup rasa

1.  Cili merah, bawang putih dan kacang tanah digoreng dengan 1-2 titik minyak.  Kacang tanah tu boleh digoreng berasingan.  
2.  Tumbuk atau dikisar kering bahan yang digoreng tadi.  Masukkan jus limau kasturi, gula dan garam.  Kacaukan hingga sebati.








Thursday, January 24, 2013

Sup Tulang



1/2 kg tulang lembu

1 bunjut rempah sup 
1 biji kentang - dibelah 4
1 sb rempah kurma
1 pokok daun sup - dihiris
1 biji tomato - dibelah 4
1 sb minyak masak
500 ml air
garam secukup rasa
sedikit bawang goreng 

Bahan rempah tumis :
5 ulas bawang merah - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
10 gm halia - diketuk
3" kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga  

1.  Tulang dipotong kecil.  Selalunya dah siap dipotong kecil-kecil. Kalau tak, masa beli tu mintalah tolong penjual tu potongkan. Masukkan tulang lembu dan air ke dalam dan rebus hingga daging kelilingnya lembut.


2.  Panaskan minyak dan tumis rempah tumis hingga naik bau.


3.  Masukkan tulang bersama air rebusannya, kentang, tomato dan rempah sup. Tambah air jika perlu.


4.  Bila sup mula mendidih masukkan rempah kurma, garam, daun sup dan bawang goreng.





Sunday, January 20, 2013

Kuih Lompang

Kuih lompang ni selalu buat kita keliru tentang bezanya dengan kuih kaswi.  Kadang-kadang kuih lompang ni diwarnakan cuma dari segi penggunaan tepung sahaja yang berbeza.  

Ada kawan aku yang memang membuat kuih jualan memberitahu aku yang kuih kaswi menggunakan tepung gandum dan dimasak di dalam loyang manakala kuih lompang menggunakan tepung beras dan dimasak menggunakan acuan kecil-kecil dan bila masak ia akan lompang di permukaan kuih.  




1 cawan tepung beras
1 st air kapur
1/2 cawan gula merah
4 sb gula pasir
2 cawan air
1 cawan kelapa parut - putih sahaja.
garam

1.  Masuk gula merah, gula pasir dan air dalam periuk.  Masak 
     hingga gula hancur.  Tapis dan sejukkan.
2.  Kemudian masukkan air gula ke dalam tepung.  Gaul 
     hingga sebati dan dimasukkan air kapur.  
3.  Panaskan kukusan bersama acuan yang telah disapu sedikit 
     minyak.
4.  Dengan menggunakan bekas yang bermuncung seperti jag atau 
     teko, lebih memudahkan untuk menuang adunan ke dalam acuan 
     dan kukus selama 20 minit.  
5.  Bila masak, sejukkan dan keluarkan dari acuan. 
6.  Hidangkan bersama kelapa parut yang telah digaulkan dengan 
     sedikit garam.


Kuih lompang ni dia mesti berlompang sedikit di bahagian tengahnya.


Aku tak gunakan acuan kuih lompang tapi aku gunakan 
cawan teh cina.  Aku cuma masukkan adunan 1/2 paras 
cawan tu aje.  Cawan-cawan ni arwah emak aku dulu selalu gunakan untuk buat kuih apam.

Dulu cawan ni ada 50 biji tapi sekarang ni tinggal sikit aje.  
Tak tahulah mana perginya.  Nak kata pecah pun tak juga 
sebab cawan ni memang aku simpan kat dalam almari baik-baik.  Cuma tak perasan macamana boleh tinggal sikit.


Masak Lemak Sayur Asam




2 ikat sayur asam
1 biji kelapa parut
1 biji kentang - dipotong 4
2 batang serai - dititik
1 helai daun kunyit - dikoyak-koyakkan
garam secukup rasa

Bahan kisar :
10 biji cili padi
8 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
3" kunyit hidup
3 sb udang kering

1.  Sayur asam tu diambil daun dan batang dibahagian pucuk sahaja.  Jangan diambil batang-batangnya di bahagian lain, ia liat dan keras jika dimasak.  



Sayur asam ni rasanya agak masam-masam.  Kalau nak kurangkan rasa masam tu, didihkan air dalam periuk dan rebuskan sayur tu sekejap.  Lepas tu toskan.



Kalau tidak, masak aje terus sayur tu dengan bahan-bahan yang lain.

2.  Kelapa diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat dan diperah lagi dengan 1 1/2 cawan air dijadikan santan cair.  



3.  Masukkan bahan kisar, kentang, serai, daun kunyit dan santan cair dalam periuk. Masak hingga mendidih.

4.  Kemudian masukkan sayur asam, santan pekat, serai, daun 
kunyit dan garam.  Masak dengan api perlahan hingga mendidih sambil dikacau selalu supaya tidak pecah minyak atau kuah menjadi cair.




Friday, January 18, 2013

Sambal Tumis Kerang



1 kilo kerang
1/2 cawan cili boh
1 biji bawang besar - dihiris
1/4 cawan air asam jawa
1/4 cawan minyak untuk menumis
garam secukup rasa

Bahan tumbuk :
5 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih
1" belacan

1.  Masukkan kerang, air, serai dan garam kasar ke dalam periuk.  Air rebusan itu biarlah lebih 1" dari paras kerang itu.  Rebus kerang hingga mendidih atau hingga bila ada kerang yang telah terbuka. Bila masak, toskan dan keluarkan isinya. 
2.  Tumiskan bahan tumbuk hingga naik bau dan masukkan cili boh.  
3.  Bila cili sudah pecah minyak, masukkan isi kerang, air asam 
jawa dan garam.
4.  Bila mendidih dan sambal hampir pekat, masukkan bawang 
besar.  Didihkan sekejap dan tutup api.  





Wednesday, January 16, 2013

Kerabu Labu Siam


Sayur labu siam.....rupa bentuknya kalau 
sekali pandang macam buah jambu  
dua kali pandang macam penumbuk tinju
tiga kali pandang macam mulut popeye
Hissshhh...


Dari luaran labu siam ni nampak keras tapi bila dipotong lembut aje.  Masa nak kupas kulitnya, agak licin dan begetah sikit lah tangan.  Sayur labu siam ni rangup.  Sedap juga masa aku makan macam tu aje.

1 biji sayur labu siam 
3 ulas bawang merah 
2 batang serai
1/4 cawan biji gajus
2 biji limau nipis
1 biji cili padi
garam dan gula secukup rasa

1.  Sayur labu siam itu dibuang kulitnya.  Dibelah dua dan dibuang bijinya.  Kemudian disagat atau dihiris halus memanjang.  


2.  Bawang merah dan cili padi dihiris.  Serai juga dihiris tapi gunakan bahagian putihnya aje.  Kalau serai tu kurus aje macam tak cukup baja, gunalah 3 batang.  

Cili padi tu guna 1 biji pun dah cukup terasa kepedasannya bila dah dicampur dengan jus limau.


4.  Satukan semua bahan dan digaul rata.  Kalau nak masuk bunga kantan atau daun limau purut pun boleh.



Saturday, January 12, 2013

Nasi Goreng Ikan Rebus



300 gm nasi sejuk
2 ekor ikan rebus
3 pokok sawi
1 pokok daun bawang
4 sb minyak untuk menumis
garam secukup rasa

Bahan tumbuk :
5 biji cili merah
5 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah

1.  Nasi sejuk digaul rata dengan bahan tumbuk dan biarkan dalam 20 minit.


2.  Ikan rebus diasingkan tulang dan isinya.  Hancurkan isinya.  Sawi dipotong dan daun bawang dihiris.

3.  Panaskan minyak dan masukkan isi ikan dan sayur.  Masak sekejap dan masukkan nasi tadi.  Tambah minyak jika perlu.  Masak hingga naik bau dan nasi masak.

4.  Akhir sekali masuk garam dan gaul rata.  Tutup api dan tabur daun bawang.


Hidangkan bersambal sambal belacan dan ikan rebus goreng.



Friday, January 11, 2013

Bubur Chacha


Arwah emak aku dulu kerap jugaklah buat bubur chaca ni.  Yang lemah tu bila masuk bab nak menggunting tepung tu.   Mula-mula cantik kecik-kecik aje tepung tu.  Lepas tu guntingan tepung tu jadi besar sikit.....dengan alasan cepat siap.  Emak aku sekali buat memang banyak.  Selalunya emak aku buat yang biasa aje, tak ada bahan-bahan tambahan seperti keledek atau labu.  


1/2 cawan tepung gandum
sedikit garam
air secukupnya  
1 st sagu mata ikan - rendam dalam 10 minit
2 cawan santan
1/4 cawan gula merah atau gula melaka yang dihiris
2 sb gula pasir
2 helai daun pandan

1.  Gaulkan tepung gandum bersama garam.  Masukkan air sedikit demi sedikit sambil diuli sehingga menjadi doh yang lembut. Kalau nak warnakan pun boleh jugak.



2.  Kemudian dicanai doh itu dalam 1cm tebal.  Potongkan dalam jaluran memanjang dan digunting menyerong tepung itu.  



3.  Gunting kecil-kecil ke dalam bekas yang telah ditabur tepung. Gaul-gaulkan sedikit dengan tepung supaya guntingan tepung itu tidak melekat.


4.  Didihkan air dalam periuk bersama sehelai daun pandan.  Masukkan guntingan tepung itu.  Masak hingga guntingan tepung itu masak.  Toskan.



5.  Masukkan santan, gula merah/gula melaka, gula pasir, daun pandan dan garam dalam periuk.  Bila hampir mendidih, masukkan tepung chacha tadi dan sagu mata ikan.  Masak lagi hingga sagu kembang.  Tutup api.

Nota :  Kalau suka, boleh juga dimasukkan keledek, keladi atau labu atau apa aje ikut selera masing-masing.  



Bubur ni kalau dah sejuk, dah tak nampak rupa bubur.  Dia jadi pekat.  Jadi kena cepat masak cepat makan.  Kalau tak pun standby lah sikit santan cair dan campurkan ke dalamnya.




Thursday, January 10, 2013

Pi Manjakaki & Ikan Bilis Goreng Kicap


Sejak malam semalam lagi dah plan nak pi pasar beli lauk sikit esok pagi.  Konon-konon nak masak..



Nasi Uduk


Ayam Goreng Berempah


Sambal Tumis ......


Kek .....


Kuih ........


Bangun pagi...pagilah sangat tu..dah pukul 9.30 pun.  Badan aku rasa sakit-sakit....tengkok macam susah nak pusing.  Salah bantal kot....tak tau lah aku, bantal yang salah atau orang yang salah.

Akhirnya plan bertukar jam dah dekat 12 pm.  Dalam sakit-sakit tu larat lagi pegi Isetan Bukit Bintang dengan Suzana.  Kalau bab berjalan memang hidup...tetiba je tak rasa lak sakit badan.  Dasar pompuan memang pantang kalau nak bershopping.  Tulang belakang bengkok pun terus tegak.   Aku pun tak sedar tengkok aku boleh pusing kiri-kanan ke tadi, tak perasan plak.  Sempat lagi tu pegi H&M sebab tak pernah pegi pun.  Asyik dengar orang bercerita aje.  Murah-murah baju sejuk kat sini.

Bila time nak balik, dah masuk dalam kereta, baru perasan badan dan tengkuk sakit balik....cehhhh....tak boleh jadi ni, kena pi urut jugak.  Lepas hantar Suzana kat Jalan Kg Attap, fikir pulak mana nak pi urut.  Akhirnya aku pergi urut di Manjakaki.  

Tiba di Manjakaki, ingatkan boleh urut bahu ngan belakang aje. Budak yang urut tu kata aku kena urut satu badan.  Bahu aku keras.  Terfikir pulak aku tadi masa shopping tak pulak aku rasa badan aku keras....ok je aku belek baju, bag, kasut dan segala mak nenek.

Mahu tak mahu kenalah urut satu badan.  Mak oi, punya lah sakit setiap inci badan aku bila diurut.  Rasa nak sepak terajang aje budak yang urut tu.  Hoi...sakitlah, tolong perlahan sikit boleh tak?  (tapi dalam hati aje).  Dari 1 jam dah jadi 2 jam.  Almaklumlah, urat dan tegang, angin dalam badan dah keras macam batu.

Aku tahu, esok mesti badan aku cramp.  Tu biasalah kalau lepas kena urut.  Apa pun, aku lebih prefer kalau Kak Na Bukit Antarabangsa yang urut.  Walaupun sakit sampai terjerit-jerit sampai keluar airmata, memang confirm lepas urut badan kita akan terus rasa rileks.  Tempat yang sakit pun takkan rasa sakit lagi.  

Tapi yang ini, tengkok aku masih sakit lagi bila pusing.  Apa nak buat.  Kak Na Bukit Antarabangsa tu susah nak dapat booking sekarang ni.  Dah ramai orang kenamaan yang panggil dia.  

Lepas urut, terus drive balik rumah.  Badan pun dah bau minyak angin.  Sungguh tak menyelesakan.  Tiba rumah dalam pukul 9.00 malam.  Tetiba rasa lapar lah pulak.  Adoi, tak beli makanan pun.  Nak makan apa pulak ni. 

Ok ok...Lepas masak nasi, aku goreng ikan bilis sampai garing.  Toskan.  Hiris pulak bawang besar dan bawang putih.  Gunakan minyak yang sama, tumiskan bawang besar dan bawang putih sampai naik harum.  Masukkan cili merah hiris dan ikan bilis goreng tadi.  Tutup api, masukkan kicap secukupnya.  Makan time.

Pagi tadi macam-macam nak masak.  Hah...ni akhirnya dinner aku.



Sunday, January 6, 2013

Ayam Bakar Berempah


Resipi ini tidak menggunakan bawang dalam rempahnya.
Mula-mula baca resipi macam tak percaya je, takde guna bawang tapi tak salah kalau mencuba.


1/2 ekor ayam
1 cawan santan
1/4 cawan bawang goreng
sedikit air asam jawa**
garam secukup rasa

Bahan kisar :
3 sb cili boh
2 sb ketumbar biji
20 gm lengkuas
3 batang serai
10 gm halia
2" kunyit hidup
2 biji buah keras

1.  Tumis bahan kisar hingga garing.
2.  Masukkan santan, ayam, air asam jawa dan garam.  Masak 
hingga kuah pekat.

3.  Kemudian diambil seketul ayam bersama sedikit sambalnya 
dibungkus dengan aluminium foil.  Satu ketul ayam satu bungkus.  Lalu dibakar dalam oven selama 30 minit pada suhu 180C.  


Kalau tidak masukkan aje ayam dan sambalnya ke dalam magic-pan dan panggang hingga masak.


4.  Semasa menghidang, taburkan dengan bawang goreng.  

**Untuk masakan ini aku tak gunakan air asam jawa atau asam keping  sebab cili boh jenama "Cili Giling" yang aku guna ni dah memang ada asam dalam campurannya.  

Kerangupan bawang goreng memberikan rasa yang enak pada resipi   ini.