Friday, February 25, 2011

Bee Hoon Soto


Bee Hoon Soto kena ada
bee hoon, begedil, daging ayam,
daun bawang/daun sup, tauge, soo hoon goreng, 
bawang goreng dan sambal kicap.


200 gm bee hoon - dicelur
1 mangkuk tauge - disiram dgn air panas aje
1/2 cawan bawang goreng
2 pokok daun sup/daun bawang - dihiris

A)  Cara Membuat Sup :
2 keping ayam
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1" halia
2" kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
1 liter air
garam secukup rasa

1.  Tumbuk bawang merah, bawang putih dan halia. 
2.  Tumis bahan tumbuk bersama bunga lawang dan kulit kayu manis hingga wangi.
3.  Masuk ayam, air dan garam.  Bila mendidih, toskan ayam.



B)  Cara Membuat Soohoon Goreng :
2 paket soohoon
sedikit serbuk kunyit
1 cawan minyak 

1.  Panaskan minyak dalam kuali besar sebab soohoon akan mengembang.  
2.  Soohoon jangan dibasuh, nanti akan jadi lembik bila digoreng.  Masukkan sedikit serbuk kunyit ke dalam minyak supaya soohoon berwarna kuning. 
3.  Bila soohoon telah kembang, toskan.  Proses menggoreng itu sekejap aje.



C)  Cara Membuat Ayam Goreng :
Bekas minyak menggoreng soohoon tadi dibuat menggoreng ayam yang telah dibuat sup tadi tapi jangan terlalu garing.  Carik-carikkan isi ayam.

D)  Cara Membuat Begedil :
300 gm kentang
1/2 cawan daging cincang
1 biji telur - dipukul
1 pokok daun bawang / daun sup
sedikit serbuk lada sulah
garam secukup rasa

1.  Kentang dipotong nipis dan digoreng.  Lecek hingga hancur.
2.  Daging cincang digoreng sekejap tanpa minyak.  
3.  Campurkan semua bahan begedil.  Bulat-bulatkan dan leperkan sedikit. 
4.  Celup dalam telur yang telah dipukul sedikit dan digoreng hingga garing.



E)  Cara Membuat Sambal Kicap :
50 gm cili padi
1/4 cawan kicap lemak manis
1/2 cawan air
gula secukup rasa

Cili padi dikisar atau dihiris halus.  Campurkan semua bahan.



F)  Cara Menghidang :
1.  Letak bee hoon, tauge, nasi himpit, begedil, ayam dan soohoon goreng dalam mangkuk. 
2.  Tuangkan sup ayam tadi.
3.  Taburkan daun bawang/daun sup, bawang goreng dan sambal kicap.






Wednesday, February 23, 2011

Cincuan Ikan Bilis


                                                      

1 biji bawang besar - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
1/2" halia - diketuk/dihiris halus
1 sb belacan
1 1/2 cawan air asam jawa
1/4 cawan ikan bilis
1 sb minyak masak
1 biji cili merah - dihiris serong
garam secukup rasa




1.  Gaul bawang besar dan bawang putih dengan belacan.
2.  Panaskan minyak dan tumis bawang tadi hingga bawang layu.
3.  Masuk air asam.
4.  Bila mendidih masuk ikan bilis, halia, cili merah dan garam.
5.  Biar mendidih sekali lagi dan tutup api.

Boleh juga masukkan cili merah / cili hijau / cili padi hiris.  Makan dengan sambal goreng...memang sedap.  Selain ikan bilis, boleh juga gunakan ikan goreng atau telur mata kerbau.




Sambal Goreng Ikan Bilis




100 gm cili kering
8 ulas bawang merah
3-4 ulas bawang putih
2" belacan
1 biji bawang besar - dihiris
100 gm ikan bilis 
1 cawan minyak 
garam secukupnya



1.  Cili kering dipotong pendek dan direbus sehingga cili nampak kembang.  Toskan dan bilas dengan air bersih.  Toskan semula dan dikisar.  

Bawang merah, bawang putih dan belacan ditumbuk kasar.  Lebih sedap jika nampak kepingan bawang-bawang yang ditumbuk itu.



Boleh juga jika dikisar semua sekali.  Tapi aku lebih suka jika -bawang-bawang itu ditumbuk kasar sahaja.


2.  Panaskan minyak.  Minyak kena betul-betul panas.  Tumiskan bahan yang telah ditumbuk tadi.  Goreng hingga naik bau dan bawang nampak sedikit garing.   

3.  Masukkan cili kisar tadi dan gorengkan ia sehingga sambal itu mula mengering.

4.  Masukkan ikan bilis yang telah dicuci dan ditoskan.  Goreng lagi hingga sambal dah nampak sedikit garing.  Perlu dikacau selalu supaya tidak hangit dibahagian bawahnya.  Tambah minyak jika perlu kerana minyak yang cukup boleh membuatkan sambal akan garing dengan baik.

5.  Akhir sekali masukkan bawang besar yang telah dihiris dan garam.  Gorengkan lagi sehingga sambal betul-betul garing.  Proses ini agak memakan masa yang agak lama jugak.





Tuesday, February 22, 2011

Pajeri Nenas



1 biji nenas     
3 sb serbuk kari + sedikit air
1 sb asam jawa
1 cawan air
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
3" kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
1 sb kerisek 
4 ulas bawang merah - dihiris dan dibuat bawang goreng
1 st gula pasir
1/4 cawan minyak untuk menumis
garam secukup rasa                                 

Bahan tumbuk :
4 ulas bawang merah                             
2 ulas bawang putih                               
1" halia
1 st belacan                           
2 sb udang kering 

1.  Nenas dipotong 1" tebal dan dipotong 4 tapi tidak putus.   Ketepikan.

2.  Panaskan minyak dan tumis bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga hingga naik bau.

3.  Masuk bahan tumbuk dan tumis lagi hingga kuning sedikit dan naik baunya.

4.  Masuk pula rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air. Tumis lagi hingga garing dan wangi baunya.

5.  Masuk nenas dan air yang telah dibancuh dengan asam jawa tadi.  Masak hingga nenas lembut dan kuah menjadi pekat sedikit. Boleh tambah air jika perlu.

6.  Akhir sekali masuk kerisik, gula dan garam.

Bila menghidang, taburkan bawang goreng.  Sedap dimakan dengan nasi dan ikan masin.



Sunday, February 20, 2011

Sembilan Jenis Syaitan Laknatullah

dari : norzailina's ponderings

ZALITUUN : Duduk di pasar/kedai supaya manusia hilang sifat jimat cermat. Menggoda supaya manusia berbelanja lebih dan membeli barang-barang yang tidak perlu.

WATHIIN :
Pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya bersangka buruk terhadap Allah.

A'AWAN : Menghasut sultan/raja/pemerintah supaya tidak mendekati rakyat. Seronok dengan kedudukan/kekayaan hingga terabai kebajikan rakyat dan tidak mahu mendengar nasihat para ulama.

HAFFAF :
Berkawan baik dengan kaki botol. Suka menghampiri orang berada di tempat-tempat maksiat ( i.e. disko, kelab malam & tempat yang ada minuman keras )

MURRAH : Merosakkan dan melalaikan ahli dan orang yang sukakan muzik sehingga lupa kepada Allah. Mereka ini tenggelam dalam keseronokan dan glamour dll.

MASUUD :
Duduk dibibir mulut manusia supaya melahirkan fitnah, gosip, umpatan dan segalaapa sahaja penyakit yang mula dari kata-kata mulut.

DAASIM
( Berilah Salam sebelum masuk ke rumah ) : Duduk di pintu rumah kita. Jika tidak memberi salam ketika masuk ke rumah, Daasim akan bertindak agar berlaku keruntuhan rumahtangga. (suami-isteri bercerai-berai, suami bertindak ganas, memukul isteri, isteri hilang pertimbangan menuntut cerai, anak-anak didera dan perbagai bentuk kemusnahan rumahtangga).

WALAHAAN :
Menimbulkan rasa was-was dalam diri manusia khususnya ketika berwudhuk dan solat dan menjejaskan ibadat-ibadat kita yang lain.

LAKHUUS :
Merupakan sahabat orang Majusi yang menyembah api dan matahari.

Kaedah untuk mengelaknya dan seterusnya menjadi pendinding untuk mempertahankan diri.
1.  Melaksanakan seluruh perintah Allah dan Rasul
2.  Tidak melakukan dosa dan Maksiat

3.  Melakukan banyak amal ibadah dengan ikhlas seperti membaca al-Quran,solat 

     berjemaah,solat malam dsb.
4.  Membaca al-Fatihah, ayatul kursiy dan surah al-Ikhlas,al-Falaq dan al-Nas (3 Qul) 
     diulang sebanyak 3 kali sebelum tidur.
5.  Mengamalkan ayat yang ke 115-118 surah al-Mu'minun setiap kali selepas bersolat.
 
6.  Mengamalkan "ruqyah Jibril" iaitu doa jibril yang diajar kepada Rasul s.a.w ketika 
     malam Isra' Mi'raj iaitu : 
   أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ الله التَّامَّاتِ الَّتِي لاَ يُجَاوِزُهُنَّ بَارٌّ وَ لاَ فَاجِرٌ مِنْ شَرِّ مَا يَلِجُ فِي الأَرْضِ وَ مَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَ مَا يَعْرُجُ فِيْهَا وَمِنْ فِتَنِ اللَّيْلِ وَ النَّهَارِ وَ مِنْ طَوَارِقِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ إِلاَّ طَارِقًا بِخَيْرٍ يَا رَحْمَنُ  

 

Thursday, February 17, 2011

Kuih Bakar

Resipi asal : myresipi

Arwah mak aku dulu selalu buat kuih ni.  Kami panggil Kuih Bombai.  Kami bakar guna arang dan sabut kelapa (api atas dan bawah).  Masaknya rata aje dan garingnya pun sekata aje.  Sayangnya aku tak pernah simpan resipinya.  2 hari lepas bila terjumpa dimyresipi , teringin plak nak mencubanya.  Aku cuba ingat-ingat semula cara mak aku buat dulu.




1 cawan gula
1 cawan air pandan
2 cawan tepung gandum
2 1/4 cawan santan
3 biji telur
2" kulit kayu manis - ditumbuk
1 sb jintan manis - ditumbuk
sedikit pewarna hijau
garam dan bijan secukupnya

1.  Gaul sebati semua bahan kecuali bijan.  Kemudian tapiskan.

2.  Masuk 2 sb minyak dalam acuan dan panaskan atas api dapur ataupun terus dalam oven.  Panaskan acuan atas api dapur lebih memudahkan untuk tuang adunan.



3.  Tuangkan adunan ke dalam acuan panas itu tapi jangan sampai penuh.  Taburkan bijan di atasnya.

4.  Kalau nak masak sekejap atas api dapur, biarkan sekejap sehingga nampak tepi-tepinya seperti berkerinting sedikit.  Kemudian pindahkan ke dalam oven dan bakar hingga masak.  Kalau nak terus bakar dalam oven pun boleh jugak.  Bakar pada suhu 170 C hingga masak.





Masak Lemak Nenas & Ikan Sepat Masin




1 biji nenas masak (600 gm)
2 ekor ikan sepat masin
2 batang serai - dititik
1 biji kelapa parut
3 cawan air
2 sb cili kisar
1 st serbuk kunyit
1 biji limau nipis 
garam secukup rasa

Bahan tumbuk :
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 sb udang kering
2 biji cili merah

1.  Kelapa diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat dan diperah lagi dengan 2 cawan air dijadikan santan cair.  


2.  Masukkan nenas yang telah dipotong nipis ke dalam periuk bersama bahan tumbuk, cili kisar, serbuk kunyit, serai dan santan cair.  Masak dengan api perlahan sampai mendidih sambil dikacau-kacau.

3.  Bila kuah sudah mendidih, masukkan ikan sepat masin, santan pekat dan garam.  Didihkan lagi dengan api perlahan sambil dikacau-kacau.  Jangan masak terlalu lama, nanti ikan itu akan hancur.  

4.  Akhir sekali perahkan jus limau.  Tutup api.

Selain ikan sepat masin, tulang ikan kurau atau udang juga sedap.





Jelatah



1 biji nenas 
1 biji timun
1 batang carrot
1 biji bawang besar
1 biji limau nipis
garam dan gula secukup rasa


1.  Nenas, timun, carrot dan bawang besar dihiris nipis.  Limau nipis diambil jusnya.


2.  Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk dan digaul rata.  



Sambal Ayam




1/2 ekor ayam
1 cawan cili kisar
1 sb sos tiram
1 sb asam jawa + 1/2 cawan air
2 biji bawang besar - dihiris
2 pokok daun ketumbar - dihiris
2" kulit kayu manis
3/4 cawan minyak 
1 sb serbuk kunyit
garam secukup rasa

Bahan tumbuk :
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 sb belacan
4 biji buah keras

1.  Ayam digaram-kunyit dan digoreng separuh masak.




2.  Tumis bahan tumbuk dan kulit kayu manis hingga garing.



3.  Masuk cili kisar dan tumis lagi hingga garing dan pecah minyak. Tambah air jika terlalu kering sementara ia pecah minyak.



4.  Masuk sos tiram dan air asam.  Tumis lagi.

5.  Akhir sekali masuk ayam goreng, garam dan bawang besar.

6.  Biar sambal nampak pekat sedikit dan masukkan daun ketumbar.  Tutup api.  






Nasi Minyak dulu-dulu



2 cawan beras - basuh dan toskan
2 sb minyak sapi
1 sb minyak masak
4 ulas bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
3" kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
1/3 cawan susu cair
air secukupnya
garam secukupnya
2 helai daun pandan
sedikit gajus yang disangai
sedikit bawang goreng

1.  Panaskan minyak sapi bersama minyak masak.

2.  Tumis kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga hingga naik bau.

3.  Masukkan bawang merah dan bawang putih.  Tumis lagi hingga naik bau.  Penggunaan bawang merah itu boleh juga digantikan dengan bawang besar.

4.  Masuk beras, susu cair, air, garam dan daun pandan.

5.  Tutup periuk dan biarkan nasi masak seperti biasa.  Balik-balikkan nasi sekali-dua aje supaya nasi tak hancur.

6.  Semasa menghidang, taburkan bawang goreng dan gajus.  Kalau suka, boleh tambah kismis.






Tempahan


Last minute ada orang order Nasi Minyak untuk 20 orang makan.  Pukul 5 pagi dah bangun hari ni.    Nak kena hantar pukul 10 pagi. 


Nasi Minyak

Ayam Masak Sambal

Tauhu Sumbat

Jelatah


Tuesday, February 15, 2011

Kuih Buah Melaka aka Ondeh-Ondeh






1 cawan tepung pulut
2/4 cawan air
1/4 st pewarna hijau
sedikit garam
20 gm gula melaka
1 cawan kelapa parut putih



1.  Tepung pulut digaul dengan air garam hingga menjadi doh.  Jangan terlalu lembik, nanti susah nak dibulat-bulatkan.


2.  Ambil sedikit doh, bulat-bulatkan dan leperkan sedikit.  Letak hirisan gula melaka.  Untuk inti gula melaka ini, boleh dicampurkan dengan gula merah.  





3.  Sementara itu didihkan air dalam periuk.  Bila kuih telah siap berisi inti,  masukkan ke dalam air mendidih itu.  Bila kuih itu sudah timbul ke permukaan air, itu tandanya ia sudah masak dan sudah boleh diceduk dan ditoskan sekejap.  Lepas itu golekkan ke dalam kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam halus.









Saturday, February 12, 2011

Roti Canai & Inti Karipap


Hari ini, inti karipap yang berbaki kami buat 
makan dengan roti canai segera.  Sedap.
Aku makan sekeping je.
Sibola-bola 2 keping.


Kenyang untuk makan malam kami malam ni.  

Aku kan tak makan nasi buat masa niii. 

Aku berjaya 
TIDAK 
memakan nasi + lauk-pauk yang sedap beberapa hari ni.

esok tak tau lah!!!

TAPI
memang tidak ku nafikan, 
berat badan aku menurun selepas mengamalkan  
  
OLIVE OIL



Karipap Inti Kentang



Bahan untuk Inti :
300 gm kentang
1 biji bawang besar
2 sb rempah kari
2 sb udang kering
3 tangkai daun kari
1 keping asam keping
1/3 cawan air
1/4 cawan minyak untuk menumis
garam secukup rasa

1.  Kentang didadu kecil.  Bawang besar juga didadu kecil.  Rempah kari dibancuh dengan sedikit air supaya menjadi pes.

2.  Panaskan minyak.  Tumis bawang besar, kulit kayu manis dan bunga lawang hingga bawang layu dan naik bau.  

3.  Masuk daging cincang dan tumis lagi hingga daging bertukar warna.

4.  Kemudian masukkan pes rempah kari dan tumis lagi hingga garing.

5.  Masuk pula kentang, asam keping dan air.  Masak hingga kentang empuk.  Jika terlalu kering dan kentang belum empuk, boleh tambah air sedikit-sedikit.

6.  Akhir sekali masukkan garam.  Masak lagi tapi jangan terlalu kering.  Angkat dan sejukkan.





Bahan untuk karipap :
2 cawan tepung gandum
1/3 cawan mentega cair/minyak hangat
1 cawan air garam 


1.  Gaul mentega cair/minyak dan tepung.
2.  Masuk air garam sedikit demi sedikit sambil diuli adunan itu
hingga menjadi doh yang lembut.
3.  Canai nipis dan terap bentuk bulat.


4.  Letak inti di tengah kepingan karipap dan kelimkan.

5.  Panaskan minyak dan gorengkan karipap itu hingga garing kekuningan.


Aku goreng karipap itu setengah masak dan frozenkan untuk kami makan bila-bila masa.