Monday, September 30, 2013

Satu Kerugian Semasa Melalui Fasa Pra-menopause


Aku ingin mengongsikan pengalaman aku ini bersama ahli keluarga kaum hawa ku yang semakin meningkat dewasa.  Setiap wanita akan melalui fasa pra-menopause dalam hidup mereka.  Berbagai cerita yang dimaklumkan sehingga ada ketika menghasilkan rasa bimbang yang amat sangat pada kita.

Dahulu aku selalu menganggap remeh akan perkara ini.  Satu sahaja yang telah menjadikan aku banyak berfikir setelah melalui fasa ini.  Masalah yang paling ketara adalah waktu kedatangan haid.  Mula-mula aku memang takut dan terkejut, mana taknya,  sekali dia datang memang banyak gila, macam air paip.  Takut ada sebarang penyakit dalam perut yang menyebabkan pendarahan yang banyak sangat.  Hati mula berkata-kata, darah haid kah ini atau apa sebenarnya.  Dalam tempoh tak sampai 24 jam, sampai 4 kali tukar pad.  

Rasanya sungguh tak selesa dan aku fikir boleh habis darah dalam badan kalau macam ni.  Dan tempohnya pulak, ya ampun...sampai mencecah 14 hari.  Lepas tu ia berhenti.  Tak sampai 3 minggu kemudian dah datang balik tapi tak banyak, adalah dalam 4 hari lepas tu dah berhenti.    Otak aku mulalah berfikir apakah aku perlu mendapatkan rawatan di hospital?  Tapi takutlah pulak.   

Sehinggalah aku bertanya pada kakak ipar aku, kak eton.  Dia kata dia pun alami perkara yang sama dan itu adalah proses biasa pra-menopause.  Barulah hati aku lega sikit.  Cuma rasa rimas aje dengan keadaan itu.    

3-4 bulan selepas itu, kedatangan haid aku kembali teratur.  Tup-tup lepas tu dia datang balik tapi setiap 2 minggu lah pulak.  Masa ni aku memang dah rasa kerugian yang amat sangat dalam satu hal.  Jika berlaku dalam bulan puasa, memang jenuhlah nak menqada puasa.  Amal ibadat kita pun sebenarnya menjadi kurang dalam tempoh ini.  Dalam tempoh sebulan tu ada beberapa hari sahaja dapat sujud kepadaNYA.    

Jadi aku ingin mengingatkan generasi-generasi aku yang akan datang...beribadatlah kamu pada Allah semasa kamu masih muda dan bertenaga lagi.  Jangan tunggu dah berumur baru hendak tumpukan membuat rukun yang dituntut itu. 

Kerana aku telah merasakannya.  Apabila hati ingin melaku satu-satu amalan dalam keadaan suci, ia jadi terhalang disebabkan kedatangan haid yang panjang dan tidak menentu.  Maka sujudlah kamu kepadaNYA sekerap mungkin sementara kamu masih berupaya melakukannya.  Keraplah membaca Al-Quran sekerap mungkin kerana sampai masanya keinginan kamu untuk mengaji Al-Quran, memegang dan mencium Al-Quran dalam keadaan suci akan terhalang sedangkan waktu itu hati kamu tidak tertahan-tahan untuk memegang dan mengaji Al-Quran dalam keadaan suci walaupun kamu boleh melakukan amalan-amalan zikir yang lain.

Untuk ahli keluargaku yang lelaki, didiklah isteri dan anak-anak perempuan kamu agar jangan menunggu bila dah berumur baru hendak jadikan mengaji Al-Quran itu sebagai rutin hidup mereka.



  

Rendang Pucuk Ubi


Ini masakan Negeri Sembilan.  Ada yang sebut rendang, 
ada yang sebut serunding.


300 gm pucuk ubi  
2 biji kelapa 
2 sb cili kisar
2 sb rempah kari
1/2 cawan ikan bilis
2 batang serai - dititik
garam secukup rasa

Bahan tumbuk :
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2" kunyit hidup

1.  Kelapa diperah untuk lebih kurang 600 ml santan.  Daun ubi diceraikan selai-selai.  Sebaiknya dikerat-kerat.  Serai disiat-siatkan.





2.  Masukkan bahan tumbuk, rempah kari, cili, serai, ikan bilis, santan dan garam dalam kuali.  Masak hingga pekat sambil dikacau-kacau.





3.  Akhir sekali  masukkan daun pucuk ubi.  Masak lagi hingga kering dan pucuk ubi serta ikan bilis itu garing.




Saturday, September 28, 2013

Teh Kurma


Minuman ini diberi nama Teh Kurma tapi ia langsung 
tidak menggunakan teh.  Rupanya nampak seperti teh 
hasil dari rebusan buah kurma itu. 


10 biji buah kurma
1/2 biji epal (hijau/merah pun boleh)
2 cawan air
gula secukup rasa jika mahu

Buah kurma dibuang biji dan dibelah dua.  Buah epal didadu ataupun dihiris.


Masuk semua bahan dalam periuk dan rebus hingga mendidih. 


Aku tidak gunakan gula untuk minuman ini.  Rasa manis kurma itu sudah memadai.  Terpulang pada citarasa masing-masing.  Tapiskan airnya.



Pucuk Ubi Masak Lemak Cili Padi



300 gm pucuk ubi
1 biji kelapa 
3 cawan air untuk perah kelapa
2 batang serai
1/4 st minyak 
garam secukup rasa

Bahan tumbuk/kisar :
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
5 biji cili padi
3" kunyit hidup
3 sb udang kering/geragau kering


1.  Pucuk ubi diambil pucuknya yang lembut.  Basuh dan toskan.  Masak air dalam periuk bersama sedikit garam dan minyak.  Bila mendidih, masukkan daun pucuk ubi dan rebus hingga lembut.


Lepas itu toskan pucuk ubi itu dan digenggam kuat untuk memerah airnya hingga kering bagi membuang getah dan pahitnya.  Ketepikan.


2.  Kelapa diperah dengan 1 cawan air untuk santan pekat dan 2 cawan untuk santan kemancar.  Serai dititik.


3.  Masukkan santan kemancar, bahan tumbuk/kisar dan serai ke dalam periuk.  Masak hingga mendidih.   

4.  Kemudian masukkan pucuk ubi dan santan pekat.  Kacau-kacaukan sampai mendidih lagi tapi jangan sampai pecah minyak.
Akhir sekali masukkan garam dan tutup api.



Agar-Agar Lapis Milo


Tergoda pulak tengok agar-agar milo tu kat blog azie kitchen.  Tu yang teringin nak buat untuk minum petang hari ni.  Tapi aku adjust sikit sukatannya dan aku guna agar-agar tali.


10 gm agar-agar tali 
1 liter air
400 gm susu cair
100 gm gula batu
1 cawan milo
1 st esen vanila
secubit garam

1.  Masak agar-agar, air, susu cair dan gula pasir hingga mendidih sambil dikacau.  Tutup api dan masukkan esen vanila.  Gaul rata.

gula batu

2.  Agar-agar yang dimasak tadi dibahagi 2.  Satu bahagian dimasukkan serbuk milo dan satu bahagian lagi dibiarkan pada warna asal.


3.  Basahkan acuan dengan air dan masukkan 1/2 cawan agar-agar warna putih.  Bila lapisan putih itu telah keras,  masukkan 1/2 cawan agar-agar milo pula.  

Biarkan ia keras sedikit.  Buat lagi untuk lapisan selebihnya hingga habis.  Jadikan 4 lapisan.  Sejukkan dalam peti ais.




Bubur Biji Salak



400 gm ubi keledek 
1/2 cawan tepung ubi 
200 gm gula melaka
1 cawan air
1 cawan santan pekat dari 1/2 biji kelapa
1 helai daun pandan
garam secukupnya

1.  Ubi keledek dikukus hingga lembut dan dilecek hingga halus semasa panas-panas.


2.  Ambil 3/4 bahagian dari ubi keledek yang dilecek itu, dicampurkan dengan tepung ubi kayu dan garam.  Gaul rata dan bulat-bulatkan.  Tepung ubi itu jangan terlalu banyak nanti ia jadi terlalu kenyal dan menghilangkan rasa keledek itu.


2.  Didihkan air dalam periuk dan masukkan tepung biji salak tadi. Masak seperti memasak kuih buah melaka.  Bila biji salak itu telah terapung, angkat dan toskan.


3.  Masak gula melaka dengan air hingga larut.  Masukkan lebihan keledek yang dilecek tadi ke dalam air gula melaka itu dan biarkan ia larut.  Tutup api dan masukkan tepung biji salak tadi. 


4.   Santan pekat tadi dimasak dengan daun pandan dan garam hingga santan agak pekat.  


5.   Masa hendak makan, tuangkan sedikit santan pekat tadi.



Kacang Botol & Tauge Goreng



200 gm tauge
4 batang kacang botol - dipotong serong
1 biji cili merah - dihiris
4 ulas bawang besar - ditumbuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk 
1 sb minyak untuk menumis
garam secukup rasa


1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih dan cili merah hingga kekuningan.


2.  Masuk tauge dan garam.  Gaul-gaulkan.  Masak gunakan api besar.  Masak sekejap aje supaya tauge tak terlalu lembik.


3.  Tutup api dan cepat-cepat masukkan kacang botol.  Gaul-gaulkan dan masukkan dalam pinggan.



Thursday, September 26, 2013

Crunchy Oat Delight


A :
240 gm planta
2 sb shortening
160 gm gula castor
2 st cappucino 
1 st soda bikarbonat

B :
60 gm oats (aku guna rolled oats) - dikisar
60 gm kokocrunch - dikisar

C :
260 gm tepung gandum
60 gm tepung jagung
2 sb tepung beras

Bahan Hiasan :  
1 biji putih telur
1.5 cawan rolled oats

1.  Pukul A hingga sebati.  Masukkan B dan C.  Gaul rata.  

2.  Ambil sedikit adunan dan bentukkan ikut suka.  Susunkan dalam dulang pembakar yang telah disapu dengan planta ataupun shortening.  Buat hingga habis.  

3.  Mengikut resipi asal, dicelupkan doh yang telah dibentuk itu ke dalam putih telur dan digolekkan dalam oats. 



4.  Tapi di sini, aku bentukkan dulu doh itu hingga habis.  Lepas tu sapukan putih telur di atas permukaan doh yang telah dibentuk itu sebab tak mahu tangan aku bersememeh dengan putih telur dan oats itu nanti.   Kemudian barulah digolekkan dengan rolled oats itu.   Walaupun bahagian bawah biskut tu tak disapu dengan putih telur, oats itu masih boleh melekat sebab doh ini agak lembut.
   
5.  Bakar pada suhu 170C selama 20-25 minit.  



Monday, September 23, 2013

Masala Telur



3 biji telur rebus
1 biji bawang besar - dihiris
2 tangkai daun kari
1 cawan santan
2" kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
4 sb minyak
garam secukup rasa

Bahan kisar :
3 ulas bawang putih
1 sb jintan putih
1/2 st jintan manis
1 1/2 sb serbuk cili
1 sb ketumbar
1 st lada hitam
1/2" halia
1/2 biji buah pala
1/2 st garam masala

1.  Panaskan minyak dan goreng telur rebus hingga kekuningan disekeliling bahagian putihnya.  Ketepikan. 


2.  Minyak lebihan goreng telur tadi ditumiskan kulit kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang hingga naik bau.

3.  Kemudian masukkan bahan kisar bersama daun kari dan tumis lagi.  Bila garing, masukkan santan.  Masak hingga pecah minyak.  Masuk sedikit air jika terlalu pekat dan masih belum pecah minyak.

4.  Akhir sekali masukkan bawang besar dan bila bawang nampak layu sedikit masukkan telur dan garam.  Biarkan hingga kuah pekat sedikit.



Sunday, September 22, 2013

Biskut Kurma


2 cawan tepung gandum
1/2 cawan planta
3/4 cawan gula castor
1st baking powder
20 biji buah kurma (lebih kurang)
1 biji telur
1/4 st garam
1 biji kuning telur untuk sapu

1.  Buah kurma dibuang biji dan dibelah dua.  Kalau buah kurma tu kecil, gunakan sebiji.

2.  Ayak tepung, baking powder dan garam.

3.  Masukkan gula ke dalam tepung tadi dan gaul rata.

4.  Masuk pula telur.  Gaul dan ramas hingga rata. 

5.  Kemudian baru dimasukkan planta sedikit demi sedikit.  Gunakan kaedah gaul dan ramas.  Sukatan planta itu boleh ditambah atau dikurangkan sehingga mendapat doh yang lembut.

6.  Bahagikan doh kepada 2 bahagian supaya senang dicanai.


Canaikan doh itu di atas plastik dalam bentuk 4segi dengan ketebalan lebihkurang 0.5 cm.  Potongkan doh yang dicanai itu berukuran 2" setiap keping.  

Letakkan 1 kurma di atas doh yang dicanai itu di bahagian tepi lalu digulung macam buat tat gulung. Potongkan dan susun atas dulang pembakar yang telah disapu dengan planta.  Buat lagi cara tadi sehingga habis.   

Kalau guna acuan semperit pun boleh juga.  Sapukan permukaaannya dengan kuning telur dan dibakar selama 25 minit pada suhu 160C.

Saturday, September 21, 2013

Leek/Daun Bawang Cina Goreng Telur




Dah lama nak cuba masak sayur leek atau dipanggil daun bawang cina ni tapi takut tak reti nak makan.  Hari ni cuba juga masak sayur leek ni.  



2 batang daun bawang cina atau leek
1 tangkai cili merah - dicincang kasar
1 biji telur
1 ulas bawang putih - dicincang kasar
1/2 biji bawang besar - dihiris
1 sb sos tiram
1 sb minyak masak
garam secukup rasa

1.  Siat-siatkan helaian luar leek/daun bawang cina itu untuk dibersihkan kekotoran yang melekat dicelah-celahnya.  Kemudian dipotong serong. 



2.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bawang putih cincang
bersama cili merah dan bawang besar hingga kekuningan.



3.  Masuk leek/daun bawang cina dan gaulkan sekejap.  Lepas itu tolak ke tepi sedikit sayur itu dan pecahkan telur ke dalamnya. Biarkan seketika hingga telur itu sedikit masak kemudian cepat-cepatkan digaulkan supaya bersatu dengan leek itu.   

4.  Akhir sekali masukkan sos tiram dan garam.  Balik-balikkan sehingga sayur masak.



Dah aku duga, akhirnya aku sorang aje yang makan sayur ni. Orang kat rumah ni tak minat sayur ni siap bagi 'warning' jangan masak sayur ni lagi.  Tapi bagi aku, sedap juga sayur ni, tambah lagi dimakan dengan kuah asam pedas.  Sayur ni sedap dilawankan dengan lauk yang pedas-pedas.


Jus Kurma




10 biji buah kurma
700 ml air


Mula-mula keluarkan biji kurma.  Kemudian masukkan air dan buah kurma ke dalam periuk.  Rebus hingga buah kurma kembang dan lembut.  Sejukkan air rebusan bersama kurma itu.  Kemudian dikisar hingga halus.  


Tapis jus itu untuk diasingkan hampasnya.  Minuman ini tak perlu dicampur gula.  Rasa manis dari buah kurma itu sudah mencukupi. Sungguh nyaman jika diminum sejuk.  



Friday, September 20, 2013

Pelajari Rahsia Penyakit Melalui Jari Anda



Asas 5 jari
Jari Telunjuk  :  Usus
Jari Tengah  :  Jantung
Jari Manis  :  Imuniti
Jari Kelingking  :  Rahim/Tulang Belakang

Cuba anda lihat pada ruas jari-jari anda.  Kalau ruas jari kehitaman, itu maknanya badan kita penuh dengan racun dan toksik.  Perkara tersebut boleh menyebabkan kita mengalami sembelit.


Seterusnya seseorang wanita boleh lihat sistem dalaman perempuan pula adalah dengan melihat pada jari kelingking.  Jika jari kita meruncing atau bengkok maknanya haid tidak teratur, mengalami keputihan, senggugut dan berkemungkinan rahim jatuh.

Kalau tapak tangan berbintik maknanya masalah angin dalam badan.  Kalau yang selalu marah-marah tu mungkin banyak angin dalam badan sebab itulah selalu rasa nak marah dan naik angin aje.

Selain itu, pernah tak anda mengalami masalah tapak tangan berpeluh atau lembab?  Jika ya, itu tandanya badan kita mudah diserang sel-sel kanser.

Jika perut ibu jari berwarna biru kehijauan, itu tandanya seseorang itu mengalami masalah resdung, alergi dan penyakit paru-paru.  Sekiranya perut ibu jari terdapat urat hijau kebiruan, itu tandanya anda mengidap gastric.

Selain itu, urat biru/hijau ada pergelangan tangan, tapak tangan, sepanjang jari dan betis kaki, itu tandanya seseorang itu mengalami stress atau tekanan dalam kehidupan sehariannya.

Seterusnya bagi seseorang wanita itu, jika terdapat warna putih berbentuk bulat sabit di setiap kuku jari tangan anda, itu tandanya anda mengalami hormon yang tidak seimbang.  Tapi berlainan pula, sekiranya terdapat warna putih berbentuk bulan sabit di kuku ibu jari sahaja, itu menunjukkan anda sihat.

Wallahualam...ini hanyalah sebagai panduan.  Apapun lebih baik pergi buat medical check-up.

sumber : apodahjadi.blogspot

Coconut Shake


1 biji kelapa muda
2 sb aiskrim vanila 
1 biji air kelapa muda sahaja


1.  Masukkan kelapa muda bersama air kelapa muda tu sekali bersama 1 sb aiskrim vanila ke dalam blender.  


2.  Kisarkan hingga berbuih halus dan boleh juga ditambahkan air kelapa muda itu jika terlalu pekat.  Itupun bergantung pada kuantiti isi kelapa itu. 


3.  Kalau nak tambah guna air biasa pun boleh juga tapi kalau guna air kelapa muda, rasanya lebih sedap dan tak perlu tambah gula.


4.  Tuang dalam gelas dan scoopkan 1sb aiskrim vanila.  Nak lebih menarik, taburkan parutan coklat di atasnya.


Aku beli kelapa tu kat Tesco Ampang aje, dah ada kelapa yang dah siap dikupas.  Dalam satu bekas tu dah memang ada 1 biji kelapa + air kelapa extra lagi.  Yang bestnya beli di situ, kelapa mudanya gerenti lembut.  Tak macam kalau kita beli kelapa muda sebiji kat tepi-tepi jalan tu, isinya kadang-kadang sikit sangat dan kadang-kadang tebal giler.  Kelapa dah tua dikatakan kelapa muda.