Tuesday, December 29, 2015

Bubur Caca dan Keledek



1 cawan bubur caca 
1 biji keledek - dipotong dadu
1 biji kelapa parut
1 helai daun pandan
2 sb gula pasir
secubit garam

1.  Bubur caca direbus hingga masak tapi jangan kembang sangat. Biarlah ia kenyal sedikit (bak kata omputih al-dente).  Rebuskan sekali keledek.  Lepas tu toskan.



2.  Kelapa parut diperah dengan 1 cawan air untuk santan pekat (perahan pertama) dan 1 cawan air untuk santan cair (perahan kedua).   

3.  Masukkan santan cair bersama gula dan daun pandan ke dalam periuk.  Biarkan ia mendidih.

4.  Kemudian masukkan santan pekat dan garam.  Bila mendidih, masukkan bubur caca dan keledek yang direbus tadi.  Biarkan seketika dan tutup api.

Bubur ni boleh dimakan panas ataupun sejuk.  Masukkan dalam peti sejuk kalau nak makan sejuk.  Sedap.  Macam makan cendol pulak rasanya.



Mee Goreng Sayuran



200 gm mee kuning
2 sb cili kisar
2 ulas bawang putih - dicincang halus
1/2 biji bawang besar - dihiris
1 sb minyak untuk menumis
1 keping tauhu goreng - dipotong dadu
garam (jika perlu)

Sayuran yang digunakan :
1 mangkuk kobis cina yang telah dipotong-potong
2 pokok daun bawang - dipotong-potong
1 batang celery - dipotong serong
1 batang carrot - dipotong seperti batang mancis
200 gm brokoli
2 pokok sawi/bok choy
150 gm tauge (bagi peminat tauge, letak banyak-banyak)


Bahan untuk sos :
2 sb kicap cair
1 sb sos tiram
1 sb kicap lemak manis
beberapa titik minyak bijan

1.  Campurkan bahan sos.  Ketepikan.


2.Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga naik bau. Masukkan cili kisar, bawang besar dan tumis lagi hingga cili nampak sedikit garing.


3.  Masukkan celery, kobis cina, carrot dan brokoli.  Masakkan sekejap. Penggunaan sayur-sayuran boleh mengikut kesukaan masing-masing. 




3.  Masukkan mee, tauhu, tauge dan daun bawang. Tuangkan campuran sos dan gaulkan hingga rata.  Bahan sos itu dah cukup masin tapi bolehlah ditambah garam jika perlu.



Kalau nak pedas, taburkan cili padi potong.



Monday, December 28, 2015

Kerepek Telinga Gajah


Di Indonesia kuih ni dipanggil Kerepek Kuping Gajah. 
Di Vietnam disebut Elephant Ears.
Jadi saja aku sebutkan Kerepek Telinga Gajah...:):)



1/2 kg tepung gandum
1 biji telur
1 sb planta
150 gm gula halus
130 gm santan
1/4 st garam
1 sb serbuk koko

1.  Pukul telur dan gula sekejap, tak perlu sampai kembang.

2.  Masuk planta.  Kacaukan sedikit.

3.  Masuk tepung dan garam.  Gaul-gaulkan dibahagi kepada 2 bahagian.

4.  Satu bahagian dicampur santan.  Masukkan santan sikit-sikit sambil diuli hingga menjadi doh.  Doh itu janganlah terlalu lembut. Ketepikan.

5.  Satu bahagian lagi dicampur dengan serbuk koko dan dimasukkan santan sikit-sikit sambil diuli hingga menjadi doh. Sebaiknya doh itu janganlah terlalu lembut.  




6.  Canaikan kedua-dua bahagian doh itu berasingan.  Canai nipis.  Kalau menggunakan mesin pencanai doh itu, gunakan no 5.

7.  Kemudian letakkan lapisan coklat di atas lapisan putih.  Gulungkan rapat-rapat dan dipotong nipis.  Jika doh lembut, gunakan sedikit tepung semasa mencanai supaya tak melekat.



8.  Canai lagi agar nipis sedikit.  Jika menggunakan mesin pencanai, gunakan no 4.

9.  Akhir sekali gorengkan ia dalam minyak banyak.   Semasa proses menggoreng, akan kelihatan banyak buih-buih minyak panas pada kerepek.  Kacau-kacaukan sehingga buih-buih itu berkurang. Tapi kerepek itu akan kelihatan seperti masih lembut atau macam kenyal-kenyal.  Jangan risau.  Angkat dan toskan aje.  Kerepek itu akan mengeras bila ia sejuk.




Sunday, December 27, 2015

Cantonese Crispy Noodles




Bahan A :
100 gm mee kuning/yee mee/mee wantan kering
1 liter minyak masak


Bahan B :
100 gm daging - dipotong nipis
1 ulas bawang putih - dicincang halus
1" halia - dicincang halus
1 st kicap cair


Bahan C :
1 ulas bawang putih
1 pokok sawi/bok choy
1 batang carrot - dipotong saiz batang mancis
1 mangkuk brokoli yang telah dipotong
1 batang celery - dipotong serong
1 pokok daun bawang - dipotong pendek
1 cawan stok ayam
1 sb kicap cair
1 biji telur
secubit serbuk lada sulah
1 sb tepung jagung + 2sb air
1-2 titik minyak bijan


Menyediakan Bahan A :
Mee kuning dibasuh sekejap, ditoskan hingga kering dan digoreng terendam hingga garing.  Pastikan minyak mesti betul-betul panas. 

Kalau nak buat bentuk melengkung, serakkan mee itu ke dalam penapis aluminium.  Lepas tu letakkan satu lagi penapis di atasnya. Tekankan sedikit dan dimasukkan ke dalam minyak panas.  Goreng hingga garing.  


Menyediakan Bahan B :                
Gaulkan daging bersama bawang putih, halia dan kicap cair. Perapkan dalam 20 minit.

Panaskan 1 sb minyak dan gorengkan daging hingga sedikit garing. Ketepikan.


Menyediakan Bahan C :
1.  Dengan menggunakan bekas menggoreng daging tadi gorengkan bawang putih cincang hingga kekuningan.  

2.  Masukkan sawi, carrot, brokoli, celery dan daun bawang. Gorengkan sekejap.

3.  Masuk stok ayam dan kicap cair.  Bila mendidih, masuk telur, bancuhan tepung jagung dan serbuk lada sulah.  Kacau-kacaukan hingga telur masak. 

4.  Akhir sekali titikkan minyak bijan.  Kacau-kacaukan dan tuangkan atas mee yang digoreng tadi.

Makan semasa panas sebelum mee itu kembang supaya dapat menikmati kerangupan mee tersebut.




Adunan Goreng Pisang ala Thai




10 biji pisang nangka
1 cawan tepung beras
1/4 cawan tepung gandum
1/2 cawan kelapa parut
1/4 cawan gula
2 sb air kapur
1/2 cawan air
1 st garam
4 sb bijan putih

1.  Pisang dibuang kulit (mesti le buang kulit ye tak...haha poyo je).  Belah 2 pisang tu biar nipis sikit, baru sedap.

2.  Bahan-bahan yang lain tu disatukan dan digaul hingga sebati. Air tu boleh ditambah jika terlalu pekat.  Sementara tu panaskan minyak dalam kuali atau periuk.  Guna kaedah goreng terendam.






3.  Celupkan pisang itu ke dalam batter tadi dan gorengkan ia sehingga garing.  Toskan.


Selain pisang, boleh gunakan keledek dan yang sewaktu dengannya.


Boleh dimakan begitu sahaja ataupun dicicah dengan sambal kicap.





Saturday, December 26, 2015

Kway Teow Halus Goreng Kering




Kali ni guna kway teow kering.  Tak berminyak.  Cuma perlu direndam sekejap dalam 10-15 minit.  Lepas tu toskan.

Bahan A :
100 gm daging yang dipotong nipis
1 ulas bawang putih - dicincang halus
1 sb sos tiram
1 sb kicap lemak manis
1/4 st serbuk lada sulah

Bahan B :
200 gm kway teow kering
2 sb cili kisar
1/2 biji bawang besar - ditumbuk
1 ulas bawang putih - ditumbuk
150 gm tauge 
10 biji fish ball - dipotong 2
1 batang celery - dihiris
1 batang carrot - dipotong halus
3 sb air rebusan daging
1 sb sos tiram
1 sb kicap pekat
1 sb kicap lemak manis
garam secukup rasa

1. Rendam kway teow dalam 10 minit dan toskan.  Boleh juga didihkan air dalam kuali dan masukkan kway teow kering.  Bila ia lembut, toskan.  Jangan terlalu lembut nanti tak sedap.  



2.  Perapkan Bahan A dalam 20 minit.  Panaskan 1 sb minyak dan gorengkan daging yang diperap itu sehingga garing.  Ketepikan.




3.  Dengan menggunakan kuali yang sama, cuma tambahkan 1 sb minyak dan tumiskan bawang putih dan bawang besar hingga kekuningan dan naik bau. 



4.  Masukkan cili dan tumis lagi hingga garing.  Kemudian masukkan sos tiram, kicap pekat dan kicap lemak manis.  Masak sekejap dan barulah dimasukkan carrot, celery, fish ball, kway teow dan air rebusan daging.    



5.  Akhir sekali masukkan tauge dan garam.  Gaul rata dan tutup api.  Jangan masak lama sangat, nanti hilang kerangupan tauge itu.  

6.  Masa menghidang, taburkan bawang goreng, daun sup dan cili merah.










Friday, December 25, 2015

Insan Yang Tidak Dilupakan Sampai Mati






Masak Lemak Pisang Hati Muda Selalu




5 biji pisang muda
2 batang serai
1 helai daun kunyit
1 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
1 keping asam keping
garam

Bahan tumbuk :
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
5 biji cili padi
1 sb udang kering
1 st lada hitam
2" kunyit hidup / 1 st serbuk kunyit


1.  Pisang dikupas kulitnya.  Buangkan sikit-sikit aje lapisan luar yang tak berapa cantik/bersih tu.  Kulit bahagian dalam tu masih boleh digunakan untuk masak kuah.  Lepas tu potong serong buah pisang tu.  Sambil tu rendam dalam air garam supaya pisang tu tak lebam.  Bilaskan dengan air bersih.


Masukkan pisang dan bahagian kulit yang boleh digunakan itu ke dalam periuk bersama air separas pisang itu.  Masukkan garam sedikit dan rebus hingga empuk.  

2.  Masukkan bahan tumbuk, serai dan santan cair ke dalam periuk yang lain.  Biarkan mendidih sambil dikacau selalu.

3.  Lepas itu masukkan pisang yang telah direbus tadi (toskan dulu airnya) bersama santan pekat, serai, daun kunyit, garam dan asam keping.  Kacau-kacaukan selalu sampai mendidih.



Thursday, December 24, 2015

Doa Angin Ahmar




Pada satu ketika di mana Nabi Allah Sulaiman duduk di singgahsananya, maka datang satu lembaga yang cukup besar, maka bertanya Nabi Allah Sulaiman "siapakah engkau".

Maka dijawab oleh lembaga tersebut bahawa akulah Rihul Ahmar....dan aku bila memasuki rongga anak adam, maka lumpuh, keluar darah dari rongga dan apabila aku memasuki otak anak adam, maka menjadi gilalah anak adam.

Maka diperintahkan oleh Nabi Sulaiman a.s supaya membakar lembaga tersebut, maka berkata Rihul Ahmar kepada Nabi Sulaiman a.s bahawa "aku kekal sehingga hari kiamat, tiada sesiapa yang dapat membinasakan aku melainkan Allah.  Lalu Rihul Ahmar pun ghaib.

Diriwayatkan cucunda Nabi Muhammad s.a.w terkena Rihul Ahmar sehingga keluar darah dari rongga hidungnya.  Maka datang Jibril kepada Nabi s.a.w bertanya kepada Jibril.  Maka ghaib sebentar Jibril lalu kembali mengajari akan doa Rihul Ahmar kepada Nabi s.a.w.  

Kemudian dibaca doa tersebut kepada cucundanya dan dengan sekejap jua sembuh serta merta.  Lalu bersabda Nabi s.a.w bahawa barangsiapa membaca doa Rihul Ahmar ini walau sekali seumur hidupnya, maka akan dijauhkan dari penyakit angin ahmar atau strok.


Wednesday, December 23, 2015

Sup Fish Ball & Suun




Bahan A :
10 ekor ikan bilis besar
2 cawan air

Masukkan ikan bilis dan air dalam periuk dan rebus hingga mendidih.  Tapis airnya untuk dijadikan stok ikan bilis.  Ikan bilis tu dibuang.

Bahan B :
2 ulas bawang putih - dicincang halus
10 biji fish ball
1 cekak suun
1 batang celery - dipotong serong
1 batang carrot - dipotong ikut suka
1sb lobak asin cincang
1 sb minyak masak
1/4 st serbuk lada sulah
1 sb kicap cair
garam (optional)


1.  Suun direndam hingga kembang dan toskan.

2.  Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga wangi dan kekuningan.

3.  Masukkan fish ball dan digoreng sekejap.

4.  Masukkan stok ikan bilis tadi, kicap cair, celery, carrot dan lada sulah.  

5.  Bila mendidih, masukkan suun, daun bawang dan lobak asin. Didihkan sekali lagi.  Jika kurang masin, boleh tambah garam.




Tuesday, December 22, 2015

Crunchy Noodles




Kebiasaannya crunchy noodles ni dibuat menggunakan yee mee ataupun wantan mee (kering).  Tapi kali ini aku gunakan mee kuning.  Memang rangup dan sedap aje pada selera aku.  

Penggunaan bahan-bahan yang lain terpulang pada keinginan masing-masing.  Yang ini aku buat untuk 2 orang makan aje.

1/2 paket kecil mee kuning
2 ulas bawang putih - dicincang halus
1 batang carrot - dipotong seperti batang mancis
100 gm brokoli
6 biji fish ball
1/2 cawan tauge 
1 batang celery - dipotong serong
2 pokok daun bawang - dipotong 1" panjang
1/4 st lada sulah
1/4 st kicap pekat
1 sb kicap cair
1 st sos tiram
1-2 titik minyak bijan
1/2 cawan stok ikan bilis
1 sb tepung jagung + 3 sb air

1.  Mee kuning dibasuh sekejap dan ditoskan.  Panaskan minyak yang banyak dalam kuali dan masukkan mee.  Gorengkan hingga garing di kedua-dua belah.  Letak dalam pinggan.



2.  Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bawang putih hingga kekuningan dan wangi.  

3.  Masukkan fish ball sebiji-sebiji ataupun dipotong-potongkan.  Boleh aje masukkan udang, daging atau sotong.

4.  Kemudian masukkan sayur-sayuran dan gorengkan sekejap. Lepas itu masukkan stok ikan bilis.  Boleh juga digunakan stok ayam tapi kali ini aku saje menggunakan stok ikan bilis.

Gunakan 1 cawan ikan bilis besar, rebuskan hingga mendidih dan diambil stoknya sahaja.  Lebihan stok ini boleh disimpan untuk kegunaan lain.



4.  Akhir sekali masukkan lada sulah, kicap pekat, kicap cair, minyak bijan, sos tiram dan bancuhan tepung jagung.  Masakan ni tak perlu letak garam.  Biarkan seketika dan tuangkan ia ke atas mee yang telah digoreng tadi.  Taburkan sedikit lagi daun bawang.




Kalau nak pedas, taburkan cili padi hiris.
Makan panas-panas. 
Krak kruk krak kruk...




Saturday, December 19, 2015

Kerepek Pisang Nangka




Semalam dapat 2 sisir pisang nangka.  Muda lagi.  Tak tahu apa nak buat...akhirnya buat keputusan buat kerepek pisang.  

Hazab nak kupas kulit pisang muda ni.  Bergetah-getah.  Kena sapu minyak pada pisau dan tangan untuk elak bergetah.  Kulit pisang tu kena buang bersih-bersih.  Kalau tak, akan nampak lebam walaupun direndam dalam air garam.  



Satu sisir dapat sikit aje.  Jadilah...rasa pengalaman buat kerepek pisang.




Kemudian barulah pisang-pisang tu disagat sambil direndamkan lagi dalam air garam bagi mengelakkan pisang tu jadi lebam sementara menunggu untuk digoreng sekaligus.

Ada orang yang sagat terus pisang tu ke dalam minyak panas itu. Huuhh....tak sanggup aku nak buat macam tu.




Panaskan 1 liter minyak dalam kuali atau periuk.  Cedokkan sikit pisang tadi dengan penapis.  Toskan sikit airnya dan masukkan dalam minyak panas tadi.  Kacau-kacaukan sikit supaya pisang-pisang itu terlerai.  

Gorengkan dan bila ia hampir garing, taburkan sedikit garam di dalam kuali.  Itupun kalau nak rasanya lebih masin sikit.  Akan kedengaran bunyi berdesir dan teruslah menggoreng hingga garing atau hilang bunyi berdesir itu.







Friday, December 18, 2015

Kerepek Udang Kering Pedas




Bahan untuk Doh A :
1 cawan tepung gandum
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1/2" lengkuas
1 batang serai
2 sb udang kering
1 sb cili kisar / 5-6 tangkai cili kering
sedikit air

Kisarkan bawang merah, bawang putih, lengkuas, serai, udang kering dan cili kisar/cili kering.  Kemudian digaulkan dengan tepung.  Masuk air sedikit-sedikit sambil diuli hingga menjadi doh. Doh janganlah terlalu lembut.  Biarlah liat sikit...senang nak potong-potong nanti.  Kemudian canai nipis doh itu.


Bahan untuk Doh B :
1 cawan tepung gandum
1 sb majerin
1/4 st garam 
sedikit air

Campurkan tepung gandum, majerin dan garam.  Masukkan air sedikit-sedikit sambil diuli hingga menjadi doh.  Canaikan doh ini nipis mengikut lebih kurang saiz Doh A tadi.



Lepas tu letakkan lapisan B atas lapisan A.  Gulungkan sepadat yang boleh lalu dipotongkan nipis-nipis.  Kalau gulungan doh itu terlalu lembut dan sukar dipotong, biarkan ia terdedah seketika dalam 1 jam.  Nak letak dalam fridge pun boleh.




Canai lagi kepingan yang dipotong itu supaya nipis.  Bila digoreng ia akan jadi lebih ringan dan rangup.  Ada juga yang tak canai tapi terus digoreng selepas dipotong nipis-nipis.



Thursday, December 17, 2015

Wadeh Ulundu




1 cawan / 200 gm kacang ulundu 
2 biji cili hijau
1/2" halia
1 biji bawang besar
2 tangkai daun kari
2 tangkai daun ketumbar
1 st jintan putih
garam




1.  Kacang ulundu direndam 3-4 jam.  Toskan.  Masukkan dalam blender bersama lebih kurang 1/4 cawan air dan halia.  Kisarkan hingga menjadi pes.  Perapkan ia selama 1 jam.  Untuk mengetahui adunan ini sudah boleh dimasak, ambil 1 st dan masukkan ke dalam segelas air.  Apabila ia terapung ke permukaan air, itu bermakna ia sudah boleh dimasak.  


2.  Cili hijau, bawang besar, daun kari dan daun ketumbar dicincang halus.  Masukkan semua bahan ini ke dalam pes kacang ulundu yang telah diperap tadi.


3.  Akhir sekali masukkan jintan putih dan garam.  Gaul hingga sebati.  

4.  Sediakan semangkuk air bagi membasahkan tapak tangan.  Ambil sedikit adunan tadi, dibulat-bulatkan.  Celupkan satu jari ke dalam air dan dibuat lubang ditengah adunan yang dibulatkan tadi. 

5.  Kemudian dimasukkan ia ke dalam minyak panas (goreng terendam) dan digoreng sehingga garing kekuningan.