Saturday, October 27, 2012

Ibadah Qurban dan Aqiqah

sumber :  www.al-azim.com,  tanbihul_ghafilin.tripod.com


Ibadah Qurban dilakukan pada Hari Raya Qurban juga disebut sebagai Hari Raya Haji dan juga Hari Raya Aidil Adha.


Hukum Melakukan Qurban
Hukum melakukan qurban ialah sunnah muakkadah bagi sesiapa yang mampu melakukannya.  Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :  "Aku diperintahkan agar menyembelih qurban dan ia sunat bagi kamu".  (Riwayat Tirmizi)


Hikmah dan Fadhilat
1.  Menghidupkan sunnah Nabi Allah Ibrahim a.s.
2.  Mendidik jiwa ke arah takwa dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
3.  Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati ke jalan Allah s.w.t.
4.  Menghapuskan dosa dan mengharap keredhaan Allah s.w.t.
5.  Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutama antara golongan berada dengan golongan
     yang kurang bernasib baik.
6.  Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim di akhirat kelak.
     Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud "Muliakanlah qurban kamu kerana ia menjadi
     tunggangan kamu di titian pada hari kiamat".


Hukum Melakukan Aqiqah
1.  Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan
     menjadi wajib.
2.  Penyembelihan aqiqah ialah pada hari ke7 dari kelahiran bayi atau pada hari ke14 atau ke21.  Jika tidak
     dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baliqh.
3.  Jika anak telah baliqh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunnat bagi dirinya (individu yang
     berkenaan) mengaqiqahkan untuk dirinya sendiri.  Hal ini berdasarkan hadis dari Ahmad, Abu Dawud
     dan al-Tabrani, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengaqiqahkan dirinya sendiri sesudah baginda
     diangkat menjadi Rasul.
4.  Anak zina, aqiqahnya sunnat atas ibunya kerana nafkah hidup anak zina itu tanggungan ibunya bukan
     bapanya.
5.  Anak lelaki disembelihkan 2 ekor kambing (tetap sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan
     seekor kambing.  Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat
     agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki 2 ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak
     perempuan 1 ekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi).

Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing.  (Riwayat Abu Dawud).


Cara berniat semasa melakukan ibadah Qurban dan Aqiqah
1.  Jika menyembelih qurban sendiri hendaklah berniat :  "Aku jadikan binatang ini qurban untuk diriku
     kerana Allah Taala.  Jika menyembelih aqiqah pula, hendaklah berniat "Aku jadikan penyembelihan
     binatang ini sebagai aqiqah untuk anakku kerana Allah Taala".

2.  Sekiranya menjadi wakil kepada orang lain, hendaklah berakad iaitu dengan 2 cara :
     a)  Orang yang mewakilkan berkata "Aku wakilkan atas diriku untuk menghasilkan penyembelihan
          qurban untuk diriku (atau aqiqah untuk anakku) kerana Allah Taala".

         Orang yang menerima wakil menjawab "Aku terima sebagai wakil untuk menghasilkan penyembelihan
         qurban untukmu (atau aqiqah untuk anakmu) kerana Allah Taala".  PERINGATAN :  Orang yang
         menerima wakil hendaklah melaksanakan penyembelihan dan tidak boleh diserahkan tanggungjawab
         menyembelih kepada orang lain.

     b)  Secara menyerahkan tanggungan dengan berkata, "Saya meletakkan atas zimmah tanggungan tuan  
          untuk menghasilkan penyembelihan qurban untukku (atau aqiqah untuk anakku).  PERINGATAN :
          Penerima jika tidak dapat menyempurnakan tanggungjawab yang diterima, boleh diserahkan kepada
          orang lain untuk menyempurnakan penyembelihan untuk orang-orang yang berakad tadi.



Pembahagian Ibadah Qurban
Terdapat 2 jenis qurban iaitu :

1.  Qurban Wajib / Nazar
Contohnya :  apabila seseorang menyebut,  "Kerana Allah wajib ke atasku berqurban seekor kambing atau seekor unta ini"  ataupun dengan menyebut, "Aku jadikan kambing ini sebagai qurban".  Tidak kira samada yang menyebutnya itu seorang yang kaya ataupun yang fakir.

Apabila seorang fakir membeli seekor kambing dengan niat untuk diqurbankan, maka ia menjadi wajib.  Ini kerana membeli dengan tujuan berqurban oleh seseorang yang tidak wajib melakukannya dikira wajib kerana perbuatan ini dikira sebagai satu nazar.

2.  Qurban Sunat
Qurban sunat ialah qurban yang dilakukan oleh seseorang yang berkemampuan melakukannya samada miskin ataupun musafir, yang tidak berniat nazar atau membeli dengan tujuan qurban.



Syarat Sah Qurban
1.  Hendaklah binatang yang diqurbankan itu tidak mempunyai sebarang kecacatan yang menyebabkan
     kekurangan kuantiti dagingnya ataupun menyebabkan kemudaratan terhadap kesihatan.  Contohnya cacat
     yang teruk pada salah satu matanya, berpenyakit yang teruk, tempang atau kurus yang melampau.

2.  Hendaklah qurban itu dilakukan dalam masa yang tertentu iaitu selepas sembahyang Hari Raya Haji pada
     10 Zulhijjah hingga sebelum terbenam matahari pada akhir Hari Tasyrik iaitu pada 13 Zulhijjah.

3.  Hendaklah disembelih oleh orang Islam.

4.  Orang yang berkongsi mengorbankan unta atau lembu tidak lebih dari 7 orang dimana masing-masing
     menyumbang 1/7 bahagian.



Syarat Mereka Yang Dituntut Berqurban
a)  Islam.
b) Merdeka.
c)  Aqil baliqh.
d)  Bermukim atau Musafir.
e)  Berkemampuan.



Waktu Pelaksanaan Ibadah Qurban
1.  Waktu bagi menyembelih qurban bermula setelah selesai sembahyang Hari Raya dan bacaan khutbahnya
     iaitu setelah naik matahari sekadar segalah (waktu dhuha) sehingga Hari Tasyrik yang akhir, 13 Zulhijjah,
     sebelum terbenam matahari pada hari tersebut.


     Dari Jundub r.a :  "Rasulullah melaksanakan solat Aidil Adha di hari penyembelihan lalu beliau
     menyembelih".
     Kemudian beliau bersabda 'Barangsiapa menyembelih sebelum solat maka hendaklah ia mengulangi
     penyembelihan sebagai ganti.  Barangsiapa yang belum menyembelih maka hendaklah ia menyembelih
     dengan menyebut nama Allah'.  (H.R. Bukhari dan Muslim).

     Dari Barra' bin Azib, bahwa bapa saudara beliau bernama Abu Bardah menyembelih qurban sebelum
     solat, lalu sampailah hal tersebut kepada Rasulullah s.a.w.  lalu beliau bersabda "Barangsiapa  
     menyembelih sebelum solat maka ia telah menyembelih untuk dirinya sendiri dan barangsiapa
     menyembelih setelah solat maka sempurnalah ibadahnya dan sesuai dengan sunnah kaum muslimin".
     (H.R. Bukhari dan Muslim)

     Menurut Imam Syafie "Menyembelih haiwan qurban pada malam hari hukumnya makruh.  Dan menurut
     Imam Malik dan Ahmad pula 'Menyembelih pada malam hari hukumnya tidak sah dan menjadi
     sembelihan biasa, yakni bukan qurban.




Binatang Qurban
Ia meliputi 4 perkara :
1.  Jenis binatang yang diqurban.
     Ibadah qurban tidak sah kecuali dengan menggunakan binatang an'am, iaitu binatang jinak yang berkaki
     empat seperti unta, lembu dan kerbau, kambing biri-biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya,
     samada jantan atau betina.  Oleh itu tidak sah berqurban dengan kerbau atau kijang.

     Adapun binatang yang lebih afdhal diqurban ialah unta diikuti dengan lembu kemudian biri-biri atau kibasy
     kemudian kambing.  Ini memandangkan kuantiti dagingnya yang lebih banyak bagi maksud pengagihan
     yang lebih meluas untuk fakir miskin.

2.  Umur Binatang Qurban
     Umur binatang yang hendak diqurbankan berbeza-beza mengikut jenis binatang iaitu :

     a)  Unta disyaratkan telah berumur 5 tahun dan masuk ke umur 6 tahun.
     b)  Kambing dan lembu disyaratkan telah berumur 2 tahun dan masuk ke umur 3 tahun.
     c)  Kibasy disyaratkan telah memasuki umur 2 tahun.
     d)  Bagi anak unta, lembu, kambing dan kibasy yang telah berumur 2 tahun lebih (yang telah bersalin gigi)
          harus dijadikan qurban.

3.  Kadar Binatang Yang Disembelih
     Seekor kambing atau kibasy hanya mencukupi sebagai qurban untuk seorang sahaja.  Seekor unta atau
     lembu pula mencukupi untuk menjadi qurban bagi 7 orang.  Ini berdasarkan hadis Jabir "Kami berqurban
     bersama Rasulullah s.a.w. di Hudaybiyah dengan seekor unta atau seekor lembu untuk tujuh orang".

     Dalam riwayat Muslim pula menyebut "Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w. dan kami berniat Haji.
     Maka Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan kami supaya berkongsi mengurbankan seekor unta atau
     seekor lembu.  Setiap tujuh orang berkongsi seekor unta".

4.  Sifat-Sifat Binatang Qurban
     Sifat-sifat binatang qurban samada betina atau jantan yang digariskan oleh syara' adalah seperti berikut :

     a)  Terang penglihatannya iaitu tidak buta.
     b)  Sempurna sifatnya.  Tidak cacat seperti kudung kaki, putus ekornya, terpotong hidungnya atau
          sebagainya.
     c)  Gemuk pada keseluruhan anggotanya, tidak harus pada binatang yang terlalu kurus.
     d)  Bertanduk.
     e)  Putih warna bulunya (pada kibasy).
     f)  Jantan.



Perkara Sunat Ketika Berqurban
1.  Sunat menambat binatang yang hendak diqurbankan itu beberapa hari sebelum disembelih.
2.  Digantung tanda pada binatang yang hendak diqurbankan.
3.  Dibawa dengan baik dan ihsan ketika ke tempat penyembelihan.
4.  Disunatkan juga orang yang berqurban menyembelihnya.
5.  Sunat dihadapkan ke arah qiblat ketika menyembelih qurban.
6.  Sunat memilih binatang yang paling gemuk, terelok dan terbesar untuk dijadikan qurban.
7.  Sunat digunakan alat yang paling tajam dan diperbuat daripada besi.
8.  Setelah selesai disembelih maka sunat ditunggu sehingga binatang yang disembelih itu sejuk dan semua
     anggota tidak bergerak lagi.
9.  Sunat bagi mereka mahu melakukan qurban tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba
     bulan Zulhijjah sehingga telah selesai berqurban.
10.  Binatang qurban sunat dibaringkan di atas rusuk kiri  sebelum dilakukan penyembelihan.
11.  Sunat ketika sembelihan qurban dilakukan adalah seperti berikut :
       a)  Membaca basmalah.
       b)  Bersalawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
       c)  Binatang diarahkan ke qiblat.
       d)  Bertakbir sebelum atau selepas membaca basmalah.
       e)  Berdoa.
12.  Orang yang berqurban hendaklah membaca doa seperti berikut :
       "Ya Allah, ini adalah nikmat yang datang dariMu dan dengannya aku mohon untuk dapat
         mendampingiMu".
13.  Sunat wakil yang melakukan sembelihan menyebutkan orang yang mewakilkannya seperti :  "Dengan
       nama Allah dan Engkau Yang Maha Besar, ini daripadaMu dan untukMu.  Terimalah Ya Allah daripada
       si pulan, si pulan...."


Perkara Makruh Ketika Berqurban
a)  Berlaku kasar kepada binatang yang hendak diqurbankan seperti mengheret atau memukul semasa
     membawa ke tempat sembelihan atau seumpamanya.
b)  Memerah susu atau menggunting bulu atau mengambil sebarang faedah dari binatang yang hendak
     dijadikan qurban.
c)  Tidak menghadapkan ke arah qiblat semasa sembelihan dilakukan.
d)  Bercukur atau memotong kuku setelah tiba bulan Zulhijjah hingga penyembelihan qurban selesai
     dijalankan.
e)  Binatang yang telah dibeli untuk tujuan qurban adalah makruh dijual kerana ia telah ditentukan untuk
     qurban.



Hukum Daging Qurban
1.  Qurban Wajib / Nazar
     Qurban yang wajib iaitu yang dinazarkan ataupun yang ditentukan samada dengan menyebut, "Ini adalah
     qurban", maka orang yang berqurban tidak boleh memakannya.  Dia wajib menyedekahkannya
     semuanya sekali.

     Anak kepada binatang qurban yang ditentukan juga, perlu disembelih seperti ibunya, tetapi bezanya ia
     boleh dimakan kesemuanya oleh tuan yang mengurbankannya kerana disamakan dengan hukum susu,
     kerana tuannya harus meminum susu binatang qurban yang selebih daripadanya walaupun perbuatan itu
     makruh.

2.  Qurban Sunat
     Bagi qurban sunat, maka tuannya sunat memakannya, iaitu yang afdhalnya dia hendaklah memakannya
     beberapa suap sebagai mengambil berkat.  Ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t. bermaksud
     "Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah makan
     kepada orang yang susah, yang fakir miskin" (Surah Al-Hajj, 22:28)

     Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi pula ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. telah memakan
     sebahagian daripada hati binatang qurbannya.  Hukum memakan daging qurban pula tidak wajib.  Ini
     berdasarkan firman Allah s.w.t. bermaksud "Dan kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir
     miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada penyembelih unta yang tersebut
     ada kebaikan bagi kamu". (Surah Al-Hajj, 22:36)

    1.  Orang yang berqurban juga boleh menjamu kepada kalangan yang kaya, tetapi tidak boleh diberi milik
         kepada mereka.  Yang boleh cuma dihantar kepada mereka sebagai hadiah yang mana mereka tidak
         akan menjualnya atau sebagainya.

    2.  Daging qurban dibahagi kepada 3 bahagian iaitu :
         a)  1/3 daging disedekahkan dalam keadaan mentah.
         b)  1/3 daging dimasak dan dibuat jamuan.
         c)  1/3 daging dimakan oleh orang yang berqurban.

         Walaubagaimanapun, yang lebih afdhal hendaklah disedekahkan kesemuanya kecuali memakannya
         beberapa suap untuk mengambil keberkatan.

Membahagi tiga ini hukumnya sunnah dan bukan merupakan kewajipan.  Qatadah bin Nu'man meriwayatkan Rasulullah bersabda "Dulu aku melarang kamu memakan daging qurban selama 3 hari untuk memudahkan orang yang datang dari jauh, tetapi aku telah menghalalkannya untuk kamu.  Sekarang makanlah, janganlah dijual daging qurban dan hadyu, makanlah, sedekahkanlah dan ambillah manfaat dari kulitnya dan janganlah menjualnya, apabila kamu mengharapkan dagingnya maka makanlah sesuka hatimu.  (H. R. Ahmad)


Bagi qurban sunat pula, orang yang berqurban boleh samada bersedekah dengan kulit binatang tersebut atau menggunakan sendiri.  Tetapi bersedekah adalah lebih afdhal.

Bagi qurban yang wajib pula, kulit binatang itu wajib disedekahkan.

Qurban juga tidak harus dibawa keluar dari negeri asalnya sebagaimana yang ditetapkan dalam masalah membawa keluar zakat.


No comments:

Post a Comment