Sunday, February 2, 2020

Trip Awan Nano I-yerweng Betong Thailand


Aku dah dua kali ke Betong Thailand beberapa tahun dulu tapi tak pernah pulak dengar pasal Awan Nano I-yerweng ni.  



Terjadinya trip Awan Nano ni adalah gara-gara kawan adik aku post gambar awan nano tu.  Jadi kami pun plan trip ke sana.  Plan awal patutnya pada hujung bulan December yang lalu tapi disebabkan kami semua tak dapat cuti jadi tukar pada hujung bulan Jan 2020.

Kami ambil keputusan untuk naik kenderaan sendiri.  Kalau naik kenderaan sendiri, pastikan :
1.  Passport korang sume masih valid.
2.  Geran asal kereta.  Tuan punya kereta mesti ada sekali.  Kalau guna kereta orang lain,  bawa sekali surat kelulusan dari pemilik kereta.

Kereta aku pulak ada baki 2000 km lagi untuk diservis.  Jadi orang bengkel kata kalau setakat ke Betong masih boleh pakai lagi, balik nanti baru servis.  Tapi aku standby juga minyak hitam dalam kereta.  

Lepas subuh dalam 6.30 pagi kami bertolak dari Hulu Langat ke bandar ambil 2 orang kawan lagi.  Lepas itu kami terus bertolak ke utara.  Kami singgah sarapan di RnR Rawang.  Kemudian singgah makan tengahari di Ikan Bakar Tasik Raban, Lenggong, Perak. 




Kami sampai pukul 11.00 pagi.  Banyak lagi makanan belum dihidangkan. Kami tunggu dalam setengah jam.  Meriah aturan lauk-pauknya.  Ikan bakar dengan sos pencicahnya yang sedap.




Bila dah kenyang,  kami teruskan perjalanan melalui Gerik.  Cantik pemandangan hutan gunung-ganang di sekeliling.

Untuk ke Betong kami melalui Pengkalan Hulu.  Dulu aku lalu ikut pekan Baling tapi kali ni terus masuk jalan Pengkalan Hulu.  Sunyi-sepi jalannya.  Tak banyak kereta.  Sebelum terus ke Betong, kami masuk simpang kiri ke pekan Pengkalan Hulu isi penuh petrol di Petronas.  Perjalanan diteruskan ke Betong.  

Kami tiba Imigresen Malaysia.  Hanya hulurkan passport di pos imigresen dari dalam kereta sahaja.  Hanya buka tingkap kasi tunjuk muka korang takut tak sama macam dalam pasport..hahahha.



Jalan ke depan sikit jumpalah Kedai Bebas Cukai belah kiri.  Kami tak turunlah.  Dulu aku pernah singgah dan kami semua tak minat nak singgah pun.  Depan sikit belah kanan ada kedai-kedai kecil, kami beli insuran di sana.    



Pasal insuran ni memang kena beli tau bagi melindungi kereta Thailand dan kos perubatan rakyat Thailand jika berlaku kemalangan.  Itu memang telah ditetapkan oleh kerajaan Thailand.  Ia bukan cover untuk kita orang Malaysia ye.  Oleh itu berhati-hati semasa memandu di negara orang.  Kena beralah dengan mereka, bagi laluan pada mereka dahulu dan ikut undang-undang jalanraya.  Ada baiknya sebelum pergi korang cek dulu dengan syarikat insuran korang kat Malaysia kalau nak bawa kereta ke luar negara bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Lepas tu parking kereta depan Imigresen Thailand.  Di luar bangunan Imigresen ada kaunter yang simple aje.  Kat situ kami bagi passport masing-masing dan dia akan bagi balik passport dengan kad putih.  Dorang dah siap isikan.  Masa dorang tanya untuk apa masuk Betong, kami kata nak tengok awan nano...hahahaha.

Yang driver pulak kena pegi kat kaunter satu lagi untuk serahkan geran, insuran dan dia akan bagi balik bersama borang putih surat kebenaran membawa masuk kenderaan.  Lepas tu kami masuk dalam bangunan imigresen Thailand tu dan beratur untuk cop passport pulak.  Jangan lupa masukkan RM2 dalam passport tu .  Itulah final process untuk masuk ke Thailand.  

Nasib kami baik waktu itu masuk Thailand hari Selasa hari bekerja di Malaysia.  Jadi tak ramai orang dan bas pelancung pun tak ada.  Kalau tidak, memang masaklah kena beratur panjang.

Alhamdulillah...proses kemasukan semua selesai dan perjalanan diteruskan ke pekan Betong.  Kami terus cari hotel yang telah dibook awal.  Kami menginap di Butterfly Princess Hotel.  Tak jauh sangat dari pintu masuk imigresen.  



Puas hati dengan hotel ni.  Baik bilik maupun bathroom semua bersih.  Staf pun bagus.  Depan hotel banyak kedai makan halal.  Lepas rehat kejap kami keluar ronda-ronda.  Kami cari money-changer dan beli sim-card.  Berpusing-pusing cari kedai jual sim-card.  Macam banyak kedai tutup.   Money-changer dia bukan macam kat Malaysia tau.  Kena tanya-tanya kat orang sana sebab kedai money-changer ada kat kedai runcit atau kedai borong.



Lepas tu cari makan.  Kami jumpa satu lorong jual street food.  Kami oder Phad-thai, Roti Sangkaya, Ayam Goreng dan Teh-Ais yang sedap sangat.  Tokey kedai pun memang ramah-tamah.  


                              Phad Thai yang sangat sedap




                      Roti Sangkaya.  Rotinya sangatlah gebu.

Satu lagi kami perasan bangunan di Betong ni banyak lukisan mural.  Cantik-cantik.





Lepas balik semula ke hotel hari masih awal.  Kami ronda-ronda pula kedai-kedai dekat hotel.  Kami ke kedai souvenir yang top kat Betong ni.  Adalah dalam 200 meter dari hotel kami menginap.  Mereka masih terima RM selain Bhat.  Kedai ni pun ada jual sim-card rupanya.  


Kalau nak rehatkan kereta setelah perjalanan jauh dari Malaysia, boleh sewa motor atau Tut-tut untuk tour.



Pukul 8 malam kami keluar semula dan pergi ke Mongkolit Tunnel.  Tengok pintu gerbangnya pun dah teruja.  Penuh warna-warni.  Nak masuk ke dalam tu kena menapak.  Meriah dengan makanan yang pelbagai.  Pandai-pandailah pilih yang halal.











Esok pagi kena bangun 3.30 pagi.  Pukul 4 pagi dah kena bertolak ke Iyer-weng tengok awan nano.  Perjalanan lebih kurang 1 jam.  Jalan sunyi-sepi dan gelap.  Al-maklumlah pukul 4 pagi.  Kena sampai awal di sana takut skywalk jadi penuh.  Kena tengok sign-board betul-betul.  Simpang masuk ke Iyer-weng tu di belah kanan lorong masuk ke kampung.  Sepanjang jalan kampung tu ladang getah dan jalan dah mula mendaki bukit.  

Nanti sampai satu port, ada banyak motor dah menunggu untuk bawa kita ke atas sky-walk.  Bayar RM3.  Laju giler budak-budak tu bawak motor.  Sebelum naik tu bolehlah beli makanan ringan yang ada jual kat situ, boleh makan kat atas.  Tak ada bayaran dikenakan di sini.



Jenuhlah jugak nak menunggu  cuaca terang sikit supaya boleh nampak awan nano tu dan matahari terbit.  Sky-walk tu bertingkat-tingkat.  Kami terus mendaki tangga naik tingkat atas sekali.  Semua berdiri.  Kalau duduk, banyak makan ruang untuk orang lain.  Udara kat atas ni agak sejuk, so pakai baju tebal sikit.

Masa kami datang ni, mereka sedang menambah sky-walk yang masih lagi dalam pembinaan.  





Haaa...puas hati dapat tengok awan nano dan matahari naik kemerahan di ufuk.  Sungguh indah ciptaan Allah swt. 

Masa turun kami pilih untuk jalan kaki.  Hebat member yang pakai sunglass tu.  Stamina mantap. 




Dari I-yerweng kami hendak pergi ke Betong Hot Spring, Betong Winter Flower Garden dan Piyamit Tunnel.  Ia adalah sejalan dan jarak perjalanan memang terlalu jauh.  So, kitorang pilih pergi yang jauh dulu iaitu Piyamit Tunnel.  




Hambik kau....jungle trekking tadi tak hilang penat lagi dah kena mendaki lagi ke Piyamit Tunnel.  Fee masuk 60 Baht seorang.  Memang jauh ke dalam hutan.  Iyalah kan...komunis kan tinggal dalam hutan.  Orang yang bawa berjalan di dalam tunnel itu adalah bekas komunis Malaya.  Dia join komunis masa umur dia 19 tahun lagi.  









Selesai tour Piyamit Tunnel, kami ke Flower Garden.  Kat sini pun kena menapak jugak.  Cuaca panas terik.  Aku nasihatkan korang bawaklah payung kalau ada.  Kami tak naik sampai atas bukit pun.  Dah tak larat.  Perut pun dah mula lapar.  



Cantik bunga-bunga kat sini.  Ada bunga tulip, lily, orkid dan banyak lagi.  Fee masuk 60 Baht seorang.  Kami tak teroka semua di sini sebab rasa dah penat dan cuaca pun panas.




Akhir sekali Betong Hot Spring tapi kami skip sebab aku cakap tak ada apa yang menarik kat situ.  Dulu aku pernah pergi dan aku rasa boring kat situ.  Masa lalu kat jalanraya pun aku tengok macam sama je.  So, sebab yang lain-lain pun dah penat dan lapau maka kami terus cari kedai untuk makan tengahari.  Lepas itu balik hotel dan rehat.  

Petang kami keluar semula meronda sambil makan-makan.  Korang jangan berangan Betong ni macam Hadyai.  Betong ni pekan kecil aje.  Tak banyak street food.




Kami meninjau jugak di Betong Plaza.  T-shirt banyak dijual di sini selain magnet dan beg.  



Malamnya setelah seharian kepenatan 'jungle trekking', kami pergi massage.  Tempat tu sebelah hotel kami aje.  Yang lain urut kaki aje, aku urut bahu dan belakang sahaja.  End-up aku urut satu badan...hahaha.  Terpaksalah yang lain menunggu aku.  Tq geng.



Esoknya kami check-out awal, sarapan dan pergi Pasar Betong.  Belilah sedikit buah tangan untuk dibawa balik.




Masa nak balik ni senang aje proses kat Imigresen Thailand.  Hulur passport, scan jari dah ok.  Masa kat Imigresen Malaysia yang dorang akan buka bonet kereta dan semua bag dibuka.

Inilah batu sempadan antara Malaysia dan Thailand.  Suatu ketika dulu Betong ini adalah sebahagian dari Tanah Melayu.  Perjanjian Bangkok telah memisahkan Betong dari Tanah Melayu.



Otw balik aku nak ikut pekan Baling nanti terus masuk Gerik.  Masa kat Baling tu kami bercadang nak pergi Lembah Bujang.  Memang jauh tapi kami teruskan juga.  Kalau tak pergi, tak tau. 






Pusat Arkeologi Lembah Bujang ni adalah tapak tamadun Hindu terawal di Tanah Melayu.  Abad ke-4 hingga abad ke-11 merupakan zaman kegemilangan Lembah Bujang.  Lembah Bujang telah muncul sebagai sebuah pusat perdagangan terpenting diantara Laut Mediterranean dan China.  Lembah Bujang pernah berada di bawah naungan kerajaan Srivijaya.  Kerajaan Kedah Tua dikatakan bermula dengan pembukaan petempatan di Lembah Bujang (sumber artikel : Perbadanan Perpustakaan Kedah)





Di sini pun kena mendaki jugak.  Jadi trip kali ni memang banyak mendaki bukit aje.  





Maka selesai sudah trip kali ini.  Gerak balik KL dan rasakan semula kesibukkan jalanraya KL.  Perjalanan ni mencecah 2000 km juga lebih kurang.  Alhamdulillah.


3 comments:

  1. Terima kasih sharing. Ni boarder dah buka, ingat nak gi tengok awan nano juga.

    ReplyDelete
  2. sama-sama. pergilah, rasanya sekarang tempat tu dah di upgrade. lagi cantik dan selesa.

    ReplyDelete
  3. Hai. Boleh pakai roaming ke kat betong? Atau kena beli simkad thailand?

    ReplyDelete