Saturday, December 26, 2020

Ikan Kerapu Goreng & Kerabu Mangga




Bahan A :
1 ekor ikan kerapu
2 sb serbuk kunyit 
1 st garam

Bahan B :
1 biji mangga muda
1 biji tomato
1 biji cili padi 
2 ulas bawang merah
1 helai daun limau purut
2 biji limau kasturi
garam dan gula secukup rasa

1.  Ikan kerapu digaram-kunyit dan digoreng hingga garing.  Letak dalam pinggan dan ketepikan.

2.  Mangga dihiris memanjang.  Tomato dibuang empulurnya dan dihiris.  Cili padi, bawang merah dan daun limau purut juga dihiris.

3.  Campurkan mangga, tomato, cili padi, daun limau purut, gula dan garam.  Perahkan jus limau dan gaul rata.

4.  Letakkan kerabu mangga itu dalam pinggan ikan goreng tadi.






Friday, December 25, 2020

Biskut M&M

 

250 gm planta
150 gm brown sugar
2 biji kuning telur
250 gm tepung gandum
100 gm tepung jagung
1/2 st serbuk penaik
1 st esen vanila
50 gm badam cincang
1 cawan coklat m&m (paket coklat)

1.  Pukul planta dan brown sugar hingga kembang.
2.  Masuk kuning telur dan esen vanila.  Pukul lagi.
3.  Masuk pula tepung gandum, tepung jagung dan serbuk penaik yang telah diayak bersama.  Gaulkan hingga doh yang agak lembut.  
4.  Akhir sekali masukkan badam dan lebih kurang 1/2 cawan coklat m&m.  Gaul rata.
5.  Ambil 1 scoop adunan dan susun atas dulang pembakar.  Hiaskan dengan coklat m&m di atasnya.  Bakar biskut pada suhu 150C hingga kekuningan.  Keluarkan biskut dari oven tapi biarkan ia sejuk sekejap di atas dulang pembakar supaya biskut menjadi keras.




Tuesday, December 22, 2020

Butter Chicken

 
Masakan ini asalnya dari India.  Selain Butter Chicken, ia juga dipanggil Murg Makhani.


Bahan A :
500 gm ayam
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1/2 cawan yogurt
1 sb jus lemon
1/2 st garam masala
sedikit garam

Bahan B :
3 biji tomato
40 gm badam/gajus
3 sb butter
6 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih
2" kulit kayu manis
4 ulas bawang putih
1" halia
3 biji cili padi
1 sb serbuk cili
1 st serbuk kunyit
1 st halba
1 st garam masala
100 ml cooking cream atau santan pekat
250 ml air
1 pokok daun ketumbar
garam secukup rasa

1.  Ayam dipotong kecil.  Boleh gunakan isi ayam sahaja ataupun yang bertulang.  Gaulkan bersama semua bahan A dan biarkan lebih kurang 1/2 jam.

2.  Panaskan butter hingga cair.  Masukkan ayam tadi dan goreng hingga kekuningan.  Ketepikan.

3.  Tomato dan badam/gajus dikisar.  Bawang putih, halia dan cili padi ditumbuk.

4.  Bekas minyak menggoreng ayam tadi ditumis buah pelaga, bunga cengkih dan kulit kayu manis hingga naik bau.

5.  Masuk bahan tumbuk bersama serbuk cili, serbuk kunyit, halba dan garam masala.  Tumis hingga nampak garing sedikit.

6.  Masukkan pula bahan kisar tadi dan tumis lagi hingga mendidih.

7.  Akhir sekali masukkan cooking cream atau santan pekat dan air.  Bila mendidih masukkan ayam, daun ketumbar dan garam.  Biarkan mendidih lagi.  Jika terlalu pekat, tambah sedikit air.

Masakan ini semesti pekat supaya sesuai dicicah dengan roti canai.  Akan tetapi masakan ini mudah menjadi lebih pekat jika sejuk, maka perlu dipanaskan semula sambil ditambah air.  Sedap juga dimakan dengan nasi.







Tuesday, December 15, 2020

Jeruk Betik



1 biji (600gm) betik mengkal
1/2 cawan cuka
1/2 cawan gula pasir
air masak yang telah disejukkan
1 st garam
beberapa biji asam boi

1.  Betik dipotong empat, dibuang kulit dan bijinya.  Lepas itu  potongkan betik itu lebih kurang 2" tebal.  

2.  Kemudian potong nipis pada setiap potongan betik itu tapi pastikan potongan itu tidak putus.  Kalau dah terputus tu biar ajelah.  Masih boleh dibuat jeruk.  Cuci bersih betik itu dan toskan.


3.  Masukkan betik-betik itu ke dalam balang.  Tuang cuka dan air masak separuh dari paras betik itu.  

4.  Masukkan gula serta asam boi.  Kalau nak rasa pedas, letaklah 3 biji cili padi.  Tutup kedap balang itu dan simpan dalam peti ais 2-3 hari sebelum boleh dimakan.






Thursday, December 10, 2020

Kerepek Betik

 

500 gm betik muda
1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1 sb ketumbar biji
2 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
air garam secukupnya
minyak untuk menggoreng secukupnya

Sebaiknya gunakan betik yang betul-betul muda.  Yakni masih putih melepak isinya.  Tapi disebabkan orang bagi betik yang masih mengkal dan keras lagi isinya, kita pun hentam sajalah.  


1.  Mula-mula betik muda tu dicucuk-cucuk permukaan luarnya dengan hujung pisau bagi mengeluarkan getahnya.

2.  Lepas tu buang kulit hijau dan bijinya juga.  Sagatkan betik itu halus memanjang.  

3.  Rendam sekejap dalam air garam dan dibilas beberapa kali bagi menghilangkan rasa pahit dan getahnya.  Toskan hingga kering.

4.  Tumbuk ketumbar biji, bawang putih dan bawang merah.  

5.  Campurkan bahan tumbuk, tepung beras, tepung gandum dan garam ke dalam betik yang disagat itu.  Gaul hingga rata.  Jika tepung terlalu basah, boleh tambah tepung lagi.  

6.  Kemudian lerai-leraikan betik itu supaya tidak melekat semasa menggoreng.

7.  Panaskan minyak yang banyak dan gorengkan betik itu hingga garing kekuningan.  Toskan dan simpan dalam bekas kedap udara.





Saturday, December 5, 2020

Garlic Sausage Bread





Bahan A :
2 cawan tepung gandum
2 sb butter
1/2 cawan susu suam
1 biji telur
3 sb gula pasir
1/2 sb yeast
1/2 st garam
6 batang sausage lada hitam

Bahan B :
2 sb butter
2 ulas bawang putih
sedikit daun parsley cincang

1.  Rebus sausage hingga masak dan toskan.  
2.  Tepung gandum, yeast, gula pasir dan garam digaul rata.
3.  Masuk butter dan digaul sedikit.  Kemudian masuk telur dan digaul lagi.
4.  Akhir sekali masuk suam sedikit demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh yang lembut.
5.  Sapukan minyak dalam mangkuk doh dan tutupkan doh itu dengan wrapping plastik atau kain lembab.  Biarkan doh mengembang.
6.  Bahagi doh kepada 10 bahagian dan gulungkan doh itu memanjang dan lilitkan pada sausage tadi.  Susun dalam dulang pembakar yang telah dialas dengan baking paper.
7.  Campurkan bahan B dan sapu atas roti tadi.
8.  Bakar roti pada suhu 160C hingga kekuningan.  Setelah roti dikeluarkan dari oven, sapukan lagi butter tadi di atas roti itu semasa roti masih panas.








Thursday, December 3, 2020

Sos Mayonis Pedas



2 cawan mayonis
1/2 cawan cili sos
1 st jus lemon
1 sb rempah cajun
1 sb serbuk paprika
garam secukup rasa

Campurkan semua bahan dan gaul hingga sebati.  


Boleh dimakan dengan ayam goreng, kebab atau lain-lain.




Coleslaw

 

Bahan A :
400 gm kobis hijau
1 batang carrot

Bahan B :
1/4 cawan buttermilk
1/4 cawan susu segar
1/2 cawan mayonis
1/2 cawan gula pasir
1 sb bawang besar cincang
sedikit serbuk lada hitam

1.  Kobis dihiris nipis dan dicincang halus.  Carrot dipotong halus.

2.  Satukan bahan B dan digaul hingga sebati.  Tuangkan ke atas kobis dan carrot tadi.  Gaul rata dan simpan dulu dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.






Wednesday, December 2, 2020

Ayam Kung Pao



Bahan A :
400 gm isi ayam
1sb cuka
1 sb kicap cair
2 st baking powder
1 st tepung jagung

Bahan B :
1/2 cawan stock ayam
5 sb kicap cair
2 st kicap pekat
2 sb cuka
2 st sos ikan
2 sb gula
1 st tepung jagung

Bahan C :
4 sb minyak
5 ulas bawang putih - dihiris
1/2 halia - dipotong halus
3 tangkai cili kering - dipotong 2"
1/2 biji capsicum hijau - didadu besar
1/2 biji capsicum merah - didadu besar
1 sb lada szechuan - disangai dan tumbuk kasar
1 tangkai daun bawang - dipotong 2"
1/4 cawan gajus - disangai
2-3 titik minyak bijan
garam secukup rasa (jika perlu)

1.  Isi ayam dipotong kecil.  Campurkan cuka, kicap cair, baking soda dan tepung jagung hingga sebati.  Gaulkan pada ayam dan perap 10 minit.

2.  Panaskan minyak dan goreng ayam hingga kekuningan.  Ketepikan.


2.  Satukan bahan B dan gaul hingga sebati.  Ketepikan.

3.  Bekas minyak goreng ayam tadi ditumis bawang putih, cili kering dan halia hingga naik bau.  

4.  Masuk bahan B,  capsicum dan masak hingga berbuih.  Waktu yang sama capsicum juga akan jadi lembut.


5.  Akhir sekali masuk lada szechuan, daun bawang, gajus, minyak bijan dan ayam.  Balik-balikkan dan tutup api.  Masakan ini agak kering.






Tuesday, December 1, 2020

Kebab Ayam



Bahan A :
200 gm isi ayam
1 biji bawang besar
1 biji capsicum merah
1 biji capsicum hijau
1 batang carrot

Bahan B :
2 cawan plain greek yogurt
3 sb olive oil
3 st paprika
2 st serbuk jintan putih
1/2 st serbuk kulit kayu manis
2 sb jus lemon 
1 st serbuk lada hitam
5 ulas bawang putih
garam secukup rasa

Bahan C :
Lidi buluh secukupnya
Sos pilihan

1.  Rendam lidi buluh itu dalam air sejuk kira-kira 1 jam supaya lidi itu tidak mudah terbakar.

2.  Daging ayam dipotong kiub.  Bawang besar dipotong 4 dan dileraikan (lebih sedap guna bawang unggu).  Capsicum didadu besar.  Carrot dipotong dalam 1/2" tebal.

3.  Satukan bahan B hingga sebati.  Tuang atas ayam dan gaul rata.  Perapkan ayam dalam 1/2 jam atau boleh juga disimpan semalaman.

4.  Cucukkan ayam berselang-seli dengan Bahan B tadi hingga habis.

5.  Susun kebab itu atas tempat pemanggang.  Kalau ada lebihan sos bahan B itu boleh dituang atas kebab itu.  Boleh dipanggang atas api dapur atau dalam oven.





Wednesday, November 11, 2020

Ayam Goreng Kunyit



Bahan A:
1/2 ekor ayam
1 sb serbuk kunyit
1 st serbuk lada sulah
sedikit garam

Bahan B :
1 biji bawang besar - dihiris
3" carrot - dipotong halus memanjang
10 biji cili padi - dibelah dua
1 biji cili merah - dihiris
100 gm asparagus

1.  Ayam dipotong kecil.  Gaulkan ayam dengan serbuk kunyit, serbuk lada sulah dan garam.

2.  Panaskan minyak dan goreng ayam hingga garing.  Toskan.


3.  Bekas minyak menggoreng ayam tadi dimasukkan semua bahan B.  Tumis sekejap dengan api besar sedikit dan masuk ayam.  Gaul-gaulkan dan angkat.







Sunday, November 8, 2020

Biskut Marble Shortbread



Bahan A :
300 gm butter
100 gm gula ising
400 gm tepung gandum
30 gm susu tepung
65 gm nestum
50 gm serbuk badam

Bahan B :
400 gm dark chocolate
60 gm shortening

Bahan C :
60 gm white chocolate
20 gm shortening

1.  Tepung gandum, susu tepung, nestum dan serbuk badam digaul.  

2.  Pukul butter dan gula ising sekejap asal bersatu sahaja.  Jangan dipukul terlalu lama.

3.  Masukkan campuran tepung tadi ke dalam butter dan digaul hingga jadi doh.

4.  Alaskan acuan dengan baking paper dan tekan-tekankan adunan tadi ke dalamnya biar rata.  Cucuk-cucukkan dengan garfu dan bakar pada suhu 160C hingga kekuningan.  Keluarkan dari oven dan biarkan saja ia sejuk dalam loyang itu. 

5.  Cairkan dark chocolate dengan shortening dengan kaedah double-boil.  Cairkan juga white chocolate bersama shortening dalam bekas lain.  

6.  Tuangkan dark chocolate cair itu atas biskut tadi.  Masukkan pula white chocolate cair tadi dalam piping bag dan lorekkan ikut suka atas chocolate tadi.  Sejukkan biskut dalam petisejuk hingga keras.  Keluarkan biskut dari petisejuk dan biarkan seketika agar lapisan coklat lembut sedikit.  Potong-potongkan dengan pisau tajam dengan cara tekankan pisau itu di atas biskut.  

Jika terus dipotong sejurus keluar dari petisejuk, biskut akan pecah apabila dipotong.  Selain dipotong dengan pisau tajam, anda boleh gunakan cutter yang didatangkan berserta dengan loyang.  Dengan cutter itu, potongan biskut akan lebih cantik.






Monday, November 2, 2020

Pencuk Nenas


1 biji nenas
200 gm cili merah
2 sb belacan bakar
garam dan gula secukup rasa

1.  Nenas dikupas, dibuang bahagian tengahnya dan dicincang.  Teknik mencincang tu kena pandai.  Kalau tak pandai, boleh aje dihiris dan dipotong kecil.

2.  Cili merah dan belacan digoreng sekejap tanpa minyak atau hingga cili layu.  Kalau nak skip kaedah ni pun boleh tapi aku ni dah terbiasa kalau masakan tak perlu masak macam ni memang cili tu digoreng dulu.  Kemudian dikisar kasar.

3.  Campurkan cili kisar dalam nenas bersama gula dan garam.  Gaul rata dan boleh dihidangkan.