Sunday, March 25, 2018

Cincuan Ikan Goreng



2 ekor ikan
1 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
1 st belacan
1 sb asam jawa
2 cawan air
garam secukup rasa

1.  Ikan digaram-kunyit dan digoreng hingga garing.  Ketepikan.

2.  Bawang besar, bawang putih dan cili merah dihiris.  Bawang besar dan bawang putih digaulkan dengan belacan.  Asam jawa dibancuh dengan air.

3.  Bekas minyak menggoreng ikan tadi ditinggalkan sedikit dan ditumiskan bawang besar dan bawang putih yang telah digaul dengan belacan tadi.  Tumis hingga bawang layu dan naik bau.


4.  Masukkan air asam jawa dan masak lagi hingga mendidih.

5.  Akhir sekali masukkan ikan goreng, cili merah dan garam.  Bila mendidih tutup api.




Friday, March 23, 2018

Ikan Rebus




5 ekor ikan kembong
1 sb garam kasar
1 sb asam jawa
air separas ikan


Masukkan semua bahan dalam periuk dan biarkan mendidih.  Jangan lama sangat nanti hancur pulak isi ikan itu.

Lepas itu toskan ikan tu dan biarkan ikan itu sejuk.  Kemudian barulah boleh digunakan untuk memasak apa saja yang disukai.  Jika ada lebih boleh disimpan dalam peti ais untuk digunakan bila perlu.


Ikan rebus ni boleh dimasak kuah, sambal ataupun digoreng.






Sunday, March 18, 2018

Minyak Bawang Putih Goreng




1 labu bawang putih
1/2 cawan minyak

1.  Bawang putih dikupas kulit.  Basuh dan toskan airnya.

2.  Cincang halus bawang putih.  



3.  Panaskan minyak dan masukkan bawang putih cincang.  Goreng hingga garing kekuningan dan toskan.  



4.  Biarkan bawang putih goreng dan minyak bekas menggorengnya sejuk bagi mengekalkan kerangupan bawang putih itu.  Kemudian satukan minyak dan bawang putih.  Simpan dalam botol.

5.  Minyak bawang putih goreng ini boleh digunakan dimakan bersama sup, sayur, mee dan apa saja.





Goreng Pisang Raja



1 sisir pisang raja

Bahan untuk beter :
1 cawan tepung beras cap gajah satu
1 sb tepung gandum
1 sb tepung jagung/tepung sagu
2 sb tepung rangup Adabi
1 st serbuk kunyit
1 sb air kapur sirih
1/2 cawan air
3 sb bijan
garam secukup rasa


1.  Campurkan semua bahan dan digaul hingga sebati.


2.  Pisang dibelah dua dan dimasukkan ke dalam adunan itu.  


3.  Panaskan minyak dan gorengkan pisang bersalut tepung itu hingga garing kekuningan.  Toskan.


4.  Boleh dimakan begitu sahaja atau dicicah dengan sambal kicap.


  

Wednesday, March 14, 2018

Pisang Muda Tumis Darat



6 biji pisang muda
1 biji kelapa
2 cawan air
1 biji bawang besar
1/4 cawan ikan bilis
2 sb rempah kari
1/4 st serbuk kunyit
2 sb minyak untuk menumis
garam secukup rasa

Bahan tumis darat :
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sb halba campur

1.  Pisang muda dikupas kulit dan dipotong serong.  Rendamkan dalam air garam supaya tidak terlalu lebam.  Rebus pisang hingga empuk dan toskan.  Kelapa diperah dengan 2 cawan air diambil santan.

Bawang besar dihiris.  Bawang merah dan bawang putih juga dihiris.  Rempah kari dibancuh dengan sedikit air.

2.  Panaskan 1 sb minyak dan goreng ikan bilis sekejap, jangan sampai terlalu garing.  


3.  Lepas itu masukkan bawang besar.  Tumis lagi hingga bawang layu.  Masukkan santan, bancuhan serbuk kari dan serbuk kunyit.  Bila mendidih masuk garam.  


4.  Dalam kuali lain, panaskan 1 sb minyak dan tumis bahan tumis darat hingga naik bau.  Masukkan bahan tumisan itu bersama minyaknya ke dalam kuah tadi.  Didihkan sekejap dan tutup api.



Friday, March 2, 2018

Terung Berlada




2 biji terung
5 biji cili merah
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
2 sb udang kering
garam secukup rasa

1.  Terung dibelah dua, dikelar tengahnya dan dipanggang hingga lembut.

2.  Cili merah, bawang merah dan bawang putih ditumbuk atau dikisar kasar.

3.  Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk/kisar itu hingga naik bau.  Jangan terlalu garing.

4.  Letak terung dalam pinggan dan letakkan cili tumis itu atas terung.




Ubi Kayu Goreng Kari




600 gm ubi kayu
1 sb serbuk kari
2 tangkai daun kari
sedikit garam

1.  Ubi kayu dipotong kecil.

2.  Lepas itu gaulkan dengan serbuk kari dan garam.  



3.  Panaskan minyak dan goreng ubi kayu bersama daun kari hingga garing.  Toskan.




Thursday, March 1, 2018

Kailan Masak Sos Tiram




400 gm kailan bunga
1 biji cili merah - dihiris
1/2 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 sb minyak untuk menumis
2 sb sos tiram
1/4 cawan air
secubit gula pasir
garam secukup rasa



1.  Panaskan minyak.  Tumis bawang putih, bawang besar dan cili merah hingga kekuningan.


2.  Masuk sos tiram, air dan sayur kailan.  Masak dengan api besar.



3.  Akhir sekali masuk garam dan gula.  Aku pernah diberitahu oleh seorang kawan berbangsa cina sekiranya masakan menggunakan sos tiram, masukkan sedikit gula pasir bagi mendapatkan rasa masakan yang lebih enak.  Masuk sikit aje supaya tak terasa manis.  Ia hanya untuk seimbangkan rasa.







Butterscotch Sauce




4 sb butter
1 cawan brown sugar
3/4 cawan whipping cream
1 sb esen vanila

1.  Masukkan butter ke dalam non-stick frying pan.  Masak atas api perlahan.  

2. Bila butter dah hampir cair, masukkan brown sugar.   Kacau hingga sebati.  Jika terlalu panas, padam api sekejap.  Tak mahu gula itu menjadi hangus.



3.  Kemudian cepat-cepat masukkan whipping cream.  Kalau tak ada whipping cream boleh gunakan susu cair.  Setelah masukkan whipping cream atau susu cair, masak semula.  Gunakan api yang kuat hingga sos itu mendidih sambil dikacau.

4.  Bila telah mendidih dan berbusa, tutup api dan masukkan esen vanila.  Kacau hingga sebati.  Sejukkan.