Tuesday, May 29, 2012

Agar-agar Epal




10 gm agar-agar tali

5 cawan air
1/2 cawan gula pasir
2 biji epal hijau
sedikit kismis

1.  1 biji epal dibuang kulit, dipotong kecil dan di masak dengan sedikit air hingga lembut.  Kemudian dilecek dan ketepikan.




2.  Satu lagi buah epal dihiris halus.  Rendam dalam air ais atau air garam supaya warnanya tak lebam sementara menunggu untuk digunakan.




3.  Masak agar-agar, gula pasir dan air hingga agar-agar larut.  Sukatan gula boleh ditambah ikut kemanisan yang dikehendaki.




4.  Bila mendidih, masuk epal yang dilecek dan didadu tadi.  Kacau-kacau sekejap.  Masa ni akan naik aroma epal tu.





5.  Tuang adunan agar-agar tu dalam acuan.  Bila agar-agar mula mengeras, tabur hirisan epal.  Tabur epal dan kismis itu perlahan-lahan supaya tidak tenggelam.  Sejukkan dalam peti ais.





Sunday, May 27, 2012

Cendol


Cendol buatan tangan sendiri.  Tak sama lah rupanya macam yang dibuat di kilang.  Tapi aku memang suka dengan cendol yang aku buat ni, lembut cendolnya....ini memang cite benar bukan nak puji diri sendiri.



1 cawan tepung beras 
1 sb tepung ubi
4 cawan air pandan
1 sb air kapur
pewarna hijau
1/4 st garam

1.  Masak semua bahan hingga kental dan berkilat.  Sediakan bekas berisi air sejuk.






2.  Untuk membuat cendol ni kita perlu satu acuan yang berlubang.  Boleh digunakan acuan muruku atau penapis yang mempunyai lubang sederhana besar.    




3.  Tekankan adunan yang dimasak tadi pada acuan atau penapis ke dalam air sejuk tadi.  Lenyekkan/tekankan adunan tepung tu sikit-sikit dengan belakang sudu.



5.  Simpan cendol tu dalam peti sejuk dengan airnya sekali.



Untuk membuat minuman cendol pula, kita perlukan :

A)   Santan untuk cendol
1 biji kelapa parut putih sahaja
1 liter air
sedikit garam

B)   Air Gula 
100 gm gula melaka
100 gm gula merah
3/4 cawan air
sedikit gula pasir
1 helai daun pandan

1.  Kelapa parut diperah dengan air untuk diambil santannya.  Campurkan cendol ke dalam santan itu.



2.  Gula melaka, gula merah, gula pasir, air dan daun pandan dimasak hingga gula larut dan pekat.  Manisnya ikut suka.  Tapiskan.



3.  Masukkan cendol serta santan dalam mangkuk.  Tuangkan air gula tadi.  Masukkan kacang merah atau ais kiub/kisar jika ada.





Friday, May 25, 2012

Kerepek Daun Sadri





Kadang-kadang tu makan kuih ni boleh lenguh rahang mulut nak mengunyahnya disebabkan kejadiannya yang keras-keras alias rangup semacam especially yang versi manis tu.  

Silap sukatan ke atau memang kejadiannya begitu, tak tau lah aku.  
Walaupun agak keras tapi memang tak sedar boleh habis sepiring bila mengunyah sambil tengok tv.  

Yang kat bawah ni adalah bahan-bahan yang aku gunakan.  Dan cara mengguntingnya pun aku ubah sikit.  Sepatutnya kuih ni digunting kecil sikit macam tepung bubur caca tapi kat sini aku saje gunting lebar-lebar sebab nak cepat siap....errkkk....

400 gm tepung gandum
1 sb rempah kari
2 sb ketumbar biji
2 st jintan manis
1 st jintan putih
1 st cili kisar/serbuk cili
1 st lada hitam 
1 1/2 st garam
1 sb planta
300 ml santan 
3 tangkai daun kari - cincang halus
2 pokok daun sadri - cincang halus

1.  Tumbuk ketumbar biji, jintan manis, jintan putih dan lada hitam.



2.  Gaul tepung dan planta.



3.  Masukkan bahan lain kecuali santan yang perlu digaul sedikit-sedikit.  Uli hingga menjadi doh yang lembut.



4.  Ambil sedikit adunan dan canai nipis.  Gunakan sedikit tepung supaya tidak melekat.  Kemudian dipotong memanjang dalam 1" lebar dan digunting pula dalam 1/2" lebar.  Buat hingga habis kemudian digoreng dalam minyak banyak.





Bila masak, kuih tu akan terapung dan goreng lagi hingga kekuningan.  Masa menggoreng tu perlu dikacau-kacau supaya kuih tu rata kuningnya dan  nampak sedikit menggelembung.  






Wednesday, May 23, 2012

Nasi Tomato


Aku ni kurang gemar nasi tomato sebab aku tak berapa suka dengan rasa masam tomato puree tu.  Aku pernah makan kat satu gerai jual nasi tomato dan rasanya tersangatlah sedap.  Aku tanyalah kat orang yang jual tu dia guna tomato puree brand apa (sebab kenal taukenya, bolehlah ditanya).  Dia kata tak guna tomato puree pun, hanya guna buah tomato dan sup tomato.




Jadi hari ni aku saja nak cuba dan dapat pulak cara nak membuatnya dari blog kak jee.  Kak jee pun guna sup tomato brand Kimball.  Alhamdulillah, memang sedap.  Kebetulan ada pulak 2 orang yang tukang makan, diorang pun kata sedap, tak rasa masam.

Bahan A : 3 cawan beras basmathi
4 1/2 cawan air

Bahan B :
3" kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
1/2 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
2" halia - diketuk
2 sb minyak sapi untuk menumis
2 sb minyak untuk menumis
4 sb sup tomato Kimball
2 biji tomato - dikisar
3 sb susu cair / santan
2 helai daun pandan
garam secukup rasa

Bahan C :
2 pokok daun ketumbar - dihiris
1/4 cawan bawang goreng
1/4 cawan kismis
1/4 cawan biji gajus - disangai dulu

1.  Basuh beras dan rendam dalam 20 minit.  Toskan.

2.  Panaskan minyak dalam periuk dan tumis kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang hingga naik bau.



3.  Masukkan bawang yang dihiris tadi dan tumis hingga sedikit kekuningan.  Lepas itu masuk beras dan digoreng sekejap.

4.  Kemudian masukkan buah tomato yang dikisar tadi, sup tomato, susu cair/santan, air, garam dan daun pandan.  Tutup periuk dan biarkan nasi masak.

5.  Leraikan nasi perlahan-lahan supaya nasi tidak hancur.

6.  Akhir sekali taburkan kismis, biji gajus, daun ketumbar dan bawang goreng.

Untuk ulamnya aku buatkan Acar Asal Boleh sebab aku tak plan pun nak buat acar tapi disebabkan ada 3 ketul kecil timun ulam dan satu batang carrot yang tinggal, maka aku pun settlekan aje.



Aku hiris nipis timun dan carrot tu.  1 biji cili merah dihiris halus. 1/2 biji bawang besar dihiris nipis.  Campurkan dengan daun ketumbar hiris, garam, jus limau dan gula.  Gaul rata.




Ayam Masak Bunga Kantan



1/2 ekor ayam
1 st serbuk kunyit
1 biji bawang besar - dihiris bulat
1/2 cawan air
2 tangkai daun ketumbar - dihiris halus
1/4 cawan minyak masak
garam secukup rasa

Bahan kisar :
3 sb cili kisar
1 kuntum bunga kantan
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1" halia
1" lengkuas



1.  Ayam digaram-kunyit dan digoreng separuh masak.  Ketepikan.



2.  Panaskan minyak.  Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.

3.  Masuk air, bawang besar dan garam.  Masak lagi hingga pecah minyak.  Jika terlalu kering, masukkan sedikit lagi air.

4.  Akhir sekali masukkan ayam dan daun ketumbar.  Masak lagi hingga ayam telah betul-betul masak.



Monday, May 21, 2012

Salmon Panggang & Sayur Goreng Kicap



Bahan untuk ikan :
2 keping ikan salmon
2 sb minyak zaitun
sedikit serbuk lada hitam
sedikit garam

1.  Tabur lada hitam dan garam pada ikan.
2.  Panaskan minyak zaitun dan masak ikan hingga kekuningan keseluruhannya.  Di bahagian kulit salmon biar ia garing.  Angkat.

Bahan untuk sayur :
100 gm tauge
100 gm kobis
2" carrot
1/4 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
1 biji cili padi hijau
1 sb kicap

1.  Carrot dipotong halus memanjang.  Kobis, bawang besar dan cili padi dihiris.  Bawang putih dicincang.
2.  Bekas minyak menggoreng ikan tadi ditumis bawang besar dan bawang putih hingga kekuningan.
3.  Masuk carrot dan masak sekejap.  Kemudian masuk tauge, cili padi, kicap dan garam.  Gaul rata.  Hidangkan bersama ikan tadi.




Wednesday, May 16, 2012

Masak Lemak Labu



400gm sayur labu
1 biji kentang 
1 biji kelapa parut
3 cawan air
2 batang serai - dititik
1 helai daun kunyit
garam secukup rasa

Bahan tumbuk :
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 sb lada hitam 
2 sb udang kering

1.  Kelapa diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat dan diperah lagi dengan 2 cawan air dijadikan santan cair.  


2.  Masukkan bahan tumbuk, sayur labu, santan cair dan serai ke dalam periuk.  Masak hingga mendidih sambil dikacau selalu.

3.  Bila mendidih, masukkan santan pekat, daun kunyit dan garam. Masak lagi hingga mendidih sambil dikacau selalu supaya tidak pecah minyak.


Tetamu dari Bukit Antarabangsa

Terima kasih pada Kak Filah, Yong dan Bani 
yang berkunjung ke rumah aku kali ini.  
Aku hanya sempat sediakan Mee Kari dan 
Nasi Putih berlaukkan Labu Masak Lemak dan Sambal Goreng Ikan Bilis.  
Yong pula bawa Puding Mangga.  



Saturday, May 12, 2012

Nasi Goreng Epal


Saje-saje masukkan hirisan epal ke dalam nasi goreng yang aku buat ni.  eh eh sedap pulak rasanya.  Masam-masam manis rasanya. Aku pulak masukkan udang kering lebih sikit....wow...memang sedap sesangat ler pada tekak aku ni.  


400 gm nasi sejuk
1 biji epal hijau
6-7 ekor udang
sedikit daun ketumbar hiris
sedikit bawang goreng
3 sb minyak untuk menumis
garam secukup rasa

Bahan tumbuk :
3 biji cili merah
2 sb udang kering
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih

1.  Epal hijau tu nak dibuang kulit atau tidak pun boleh juga.  Lepas itu dihiris halus memanjang.  Udang dibuang kulit dan dibersihkan. 


2.  Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga garing.

3.  Masuk udang dan tumis lagi hingga udang bertukar warna. 

4.  Kemudian masukkan nasi sejuk dan garam.  Gaulkan hingga sebati.



5.  Akhir sekali masuk epal dan gaul rata.  Taburkan daun ketumbar dan bawang goreng.



Tuesday, May 8, 2012

Kek Epal Hijau




125 gm planta/butter
1/2 cawan gula castor
2 cawan tepung gandum
1 st baking powder
2 biji telur
2 sb susu cair

Puri epal :
3 biji epal hijau
2 sb gula pasir
1/2 cawan kismis
1/4 cawan air

1.  Epal dibuang kulit dan dipotong kecil.  Masukkan epal dan air ke dalam periuk.  Rebus epal hingga empuk.  Kemudian epal itu dilecek hingga hancur.  Masuk gula pasir dan kismis.  Gaul rata dan biar sejuk.



2.  Pukul planta/butter dan gula hingga kembang.



3.  Masuk telur dan dipukul hingga sebati.



4.  Kemudian masuk susu cair dan puri epal sambil digaul hingga sebati.



5.  Akhir sekali masukkan tepung yang telah diayak dengan baking powder dan digaul hingga sebati.

6.  Masukkan adunan ke dalam loyang yang telah disapu planta/butter dan dialas dengan kertas baking.


7.  Bakar kek pada suhu 170C selama 30-35 minit.



Kuantiti epal hijau itu boleh ditambah jika suka kepada rasa masam-masam epal itu.  Testure kek agak lembab-lembab sikit disebabkan kandungan puri epal itu.