Tuesday, December 15, 2015

Bun Inti Kelapa





Ada yang sebut Dinner Rolls...
Ada yang sebut Soft Buns...
Ada yang sebut Roll Buns...
dan macam-macam lagi yang disebut.

tapi Bun nya sama aje dan boleh dimakan bila-bila masa.

Dah banyak resipi yang aku cuba.  Macam-macam bahan yang digunakan.  Namun, resipi dari blog Comfort of Cooking ni lah yang mudah dan sedap.

1 paket yis (10gm)
1/2 cawan air suam
1/4 cawan butter 
1/4 cawan gula pasir
2 biji telur 
1/2 st garam
1 st minyak zaitun
2 1/2 cawan tepung gandum
sedikit butter cair untuk sapuan

1.  Masukkan yis, air suam dan 1st gula pasir (ambil sedikit dari 1/4 cawan tadi) ke dalam mangkuk adunan.  Biarkan seketika sehingga yis mengembang.

2.  Masukkan butter (pada suhu bilik ataupun dicairkan), gula pasir, telur dan garam ke dalam yis tadi.  Adunkan hingga sebati.

3.  Masuk telur sedikit demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekit dan bulatkan.

4.  Letakkan doh itu ke dalam mangkuk yang telah disapu dengan minyak zaitun.  Tutup mangkuk doh dengan plastik dan biarkan ia naik mengembang lebih kurang 1 jam.  Doh ini boleh disimpan di dalam fridge selama 3 hari.

5.  Apabila doh telah naik mengembang, bahagikan doh kepada bebola kecil mengikut saiz yang disukai.  Leperkan sedikit dan letakkan inti kelapa.  Bulat-bulatkan semula.  Susun bebola bun ke dalam baking pan yang telah disapu dengan butter.  Jarakkan dalam 2" antara satu sama lain.  Biarkan bebola itu naik mengembang semula lebih kurang  30 minit.  



6.  Panaskan oven pada suhu 180C dan bakar bun selama 15-20 minit.  Sejurus dikeluarkan dari oven, sapukan permukaan bun dengan butter cair semasa bun masih panas lagi.

Inti Kelapa :
Gula merah, gula pasir dan sedikit air dimasak hingga gula larut.  Air jangan terlalu banyak, cukup sekadar untuk melarutkan gula.
Masukkan kelapa parut dan masak hingga inti kelapa lembab-lembab sikit. 






Sunday, December 6, 2015

Apom Lenggang




1 cawan beras
2 sb nasi sejuk
1/2 cawan kelapa parut
3/4 cawan air
1 st gula pasir
1/4 st yeast
1/2 garam


1.  Beras direndam 4-6 jam.

2.  Masukkan semua bahan ke dalam pengisar dan kisarkan sehingga halus.  Kemudian masukkan adunan itu ke dalam satu bekas yang agak besar kerana adunan akan naik selepas diperap lebih kurang 4-5 jam.




3.  Lepas itu kacaukan adunan.  Ia akan turun semula dan boleh mula dimasak.



4.  Panaskan seketika kuali khas untuk membuat apom yang telah disapu dengan sedikit minyak atau boleh aje gunakan non-stick frying pan.  Ambil sesenduk adunan tadi dan masukkan ke dalam kuali dan lenggangkan kuali itu supaya adunan merata dan nipis. Kalau tebal nanti dah jadi Apam Serabai pulak.  Tutupkan dengan tudung periuk.  Biarkan seketika dalam 2-3 minit.

5.  Buka penutup dan akan kelihatan di bahagian atas apom tadi berlubang-lubang.  Masaklah seketika sehingga dibahagian keliling apom itu renggang dari kuali.  




Hidangkan apom lenggang ini dengan kari, kelapa parut, sambal atau apa saja yang disukai.




Saturday, December 5, 2015

Karipap Pusing Inti Sardin





Doh A :
1 cawan tepung gandum
1/4 cawan air garam

Doh B :
1/4 cawan tepung gandum 
3 sb planta


1.  Uli doh A hingga lembut.  Masa memasukkan air garam itu hendaklah dimasukkan sedikit demi sedikit.  Mula-mula doh itu agak melekit tapi selepas diuli lama sedikit, ia akan jadi doh yang lembut. 

2.  Uli pula doh B sehingga boleh dikepal.  Boleh ditambah planta jika perlu.  Bahagi juga kepada 2 bahagian dan dijadikan 2 bebola.

3.  Ambil sebiji bebola doh A dan dileperkan sedikit.  Letakkan ditengahnya sebiji dari doh B tadi.  Lalu dibulatkan.  Satu bahagian lagi juga dibuat serupa.



4.  Canaikan bebola tadi tapi jangan terlalu nipis.  Kemudian gulungkan dan canai lagi.  Ulang hingga 3x.  
                      

5.  Akhir sekali, gulungkan dan dipotong-potongkan gulungan itu.

6.  Selepas itu canaikan nipis setiap doh yang telah dipotong itu.  Letak inti sardin dan kelim seperti membuat karipap biasa.


Inti Sardin
1 tin sardin
1/2 biji bawang besar - didadu kecil
1 sb cili kisar
1 sb air asam jawa
garam

Tumiskan bawang besar dengan sedikit minyak hingga naik bau. Masuk cili kisar.  Gorengkan sekejap.  Masukkan sardin.  Hancur-hancurkan sardin itu.  Masuk air asam, sedikit sos sardin dan garam.  Masak hingga agak kering.  Sejukkan.