Thursday, May 14, 2015

Sambal Sardin



1 tin sardin
3 sb cili kisar
1 biji bawang besar -dihiris
1 biji cili merah - dihiris
1/4 cawan air asam jawa (guna 1sb asam jawa)
3 sb minyak masak untuk menumis
garam secukup rasa

Bahan tumbuk :
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1" belacan

Membuat sambal sardin ni ada 2 cara.  Ikan sardin itu (ikan sahaja ye) digoreng dahulu ataupun tidak, ikut kesukaan masing-masing. Kalau nak goreng, asingkan ikan sardin dan sosnya.  Ikan sardin tu dibilas sedikit dengan air, toskan dan digoreng.  Masa menggoreng tu lah korang tanggung sendirilah meletup-meletap ikan (percikkan minyak) tu dalam kuali.  Riuh-rendah.  Aku tak sanggup bab ni.  



Bila dah macam garing sikit tu, keluarkan. Bila dah digoreng, ikan tu akan kenyal sikit macam ikan goreng biasa.  Tapi kalau suka ikan yang lembut tak payahlah digoreng.   

Kemudian tumiskan bahan kisar hingga naik bau.  Masukkan cili kisar pula dan goreng hingga hampir garing.  

Masukkan ikan sardin bersama sosnya, air asam jawa, bawang besar dan garam.  Aku lebih gemar pecahkan sedikit ikan sardin tu. Masaklah hingga pecah minyak dan masukkan cili hiris tadi. 





Wednesday, May 13, 2015

Sotong Masak Lemak Lada Hitam



5-10 ekor sotong
1 biji kelapa
3 cawan air
2 batang serai - dititik

Bahan tumbuk :
5 biji cili padi hijau
2 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
2 sb udang kering
2" kunyit hidup
1 st lada hitam

1.  Kelapa diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat.  Kemudian diperah lagi dengan 2 cawan air dijadikan santan cair.


2.  Masukkan santan perahan cair dan bahan tumbuk ke dalam periuk.  Biarkan mendidih.  Bila mendidih, kuah tu macam cair sikit.

3.  Masukkan pula sotong, santan pekat dan garam.  Kacau selalu sampai mendidih supaya jangan sampai pecah minyak.  Kuah seharusnya pekat barulah terasa lemaknya.








Jemput-Jemput Tofu Lembut




1 pack tofu lembut
1/2 cawan tepung beras
1/4 cawan tepung gandum
3 biji cili padi - dipotong kecil
1 biji bawang besar - dihiris
1 pokok daun bawang - dihiris
1/4 cawan ikan bilis
1 cawan minyak untuk menggoreng
garam secukup rasa

1.  Tekan-tekankan tofu dengan belakang senduk hingga hancur halus. 




2.  Kemudian satukan semua bahan-bahan.  Gaulkan hingga sebati macam adunan jemput-jemput.  Tak perlu masuk air.


3.  Ambil satu sudu adunan dan bulatkan menggunakan satu lagi sudu.  Masukkan dalam minyak panas dan goreng hingga garing.

4.  Cicahkan dengan sambal kicap atau cili sos.