Sunday, December 29, 2019

Nasi Goreng USA


Dulu aku selalu fikir Nasi Goreng USA tu macam ala-ala nasi goreng mat saleh.  Tapi tak pernah rasa nak cuba order.  
Rupanya dah lebih setengah abad hidup ni baru aku tahu maksud USA itu adalah Udang, Sotong Dan Ayam yang digunakan sebagai bahan utama resipinya.  

Penyediaannya terdiri dari nasi goreng dan jugak lauknya.  Sayur dalam nasi goreng tu selalunya kobis dan carrot atau ikut suka masing-masing.



A :  Bahan untuk nasi goreng
600 gm nasi sejuk
3 sb cili kisar
2 ulas bawang putih - dihiris
1/2 biji bawang besar - dihiris
10 biji kacang pea - dipotong serong
4" carrot - dipotong halus memanjang
100 gm kobis - dihiris
1 pokok daun ketumbar - dihiris
2 biji cili padi - dihiris
3 sb minyak untuk menumis
sedikit bawang goreng
garam secukup rasa

1.  Panaskan minyak.  Tumis bawang putih dan bawang besar hingga naik bau.  Masuk cili kisar dan tumis lagi hingga garing.

2.  Kemudian masukkan kacang pea dan kobis.  Biar seketika.

3.  Lepas itu masukkan nasi sejuk.  Gaul rata dan masuk garam.  Tutup api dan masuk dalam pinggan.  Taburkan daun ketumbar, cili padi dan bawang goreng.









B : Lepas itu kita sediakan lauknya pula.
10 ekor udang
2 ekor sotong
100 gm isi ayam
2 ulas bawang putih
1/2 biji bawang besar
2 sb cili kisar
1/4 cawan air rebusan ayam/daging
1 sb sos tomato
1 sb sos tiram
1 sb kicap masin
2 helai daun limau purut
1 sb minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

1.  Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang besar hingga naik bau.

2.  Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.  Masuk ayam.  Bila ayam dah masak masukkan sotong dan udang.  Sotong dan udang tak perlu dimasak terlalu lama macam ayam.

3.  Lepas itu masukkan sos tomato, sos tiram, kicap pekat, air rebusan ayam/daging, garam dan gula.  Masak hingga pekat sedikit.  Tutup api dan masuk daun limau purut.

Hidangkan lauk ini bersama nasi goreng tadi.





Saturday, December 28, 2019

Pisang Kipas Crispy


Aku dapat resipi ini dari Sobat Dapur.  Aku tertarik dengan pisang yang berbentuk kipas itu dan ditambah lagi kelihatan sungguh crunchy. 


1 sisir pisang abu
1 liter minyak untuk menggoreng

Adunan kremes :
200 gm tepung beras
1 sb tepung sagu
600 ml air
65 ml santan
1 biji telur
1 st esen vanila
garam secukup rasa

Adunan saduran :
200 gm tepung beras
1 sb tepung sagu
250 ml air
garam secukup rasa

1.  Pisang boleh digunakan abu, pisang nangka tapi pisangnya jangan yang terlalu masak.  Pisang dibelah 4 tapi jangan sampai putus.  Biar ia terbentuk seperti kipas.  Kalau yang mahir tu bolehlah dibelah pisang itu sekeping-sekeping dan dicantum seperti kipas semasa menggoreng.



2.  Adunan kremes dicampurkan dan diadun hingga sebati.  Adunan saduran juga dicampurkan dan diadun hingga sebati.  Kesemuanya ada 2 jenis adunan untuk buat pisang crispy ini.



3.  Panaskan minyak.  Celupkan pisang ke dalam adunan saduran dan masukkan ke dalam minyak panas.  


Masukkan pisang itu dari tepi kuali supaya ia melorot sendiri ke bahagian tengah supaya bentuk kipasnya cantik.  Masukkan pisang secukupnya dalam kuali.


4.  Kemudian diambil sesenduk adunan kremes dan dituangkan ke dalam kuali dalam jarak yang agak tinggi dari paras kuali.  Adunan kremes itu akan berserakkan di dalam minyak panas dan akan melekat pada pisang yang digoreng itu.


Seterusnya gorenglah pisang itu hingga kekuningan.  Toskan dan boleh dihidangkan begitu sahaja atau dicicah dengan sambal kicap.





Sandwich Coleslaw




100 gm kobis unggu
4" carrot
4" timun
1/2 biji bawang besar
1 sb kismis
3 sb mayonis
3 sb planta
garam secukup rasa

1.  Kobis unggu disagat halus.  Carrot, timun dan bawang besar didadu kecil.

2.  Satukan semua bahan dan gaul rata.  Sejukkan sekejap dalam peti ais.


3.  Sapukan planta atas roti dan letakkan coleslaw tadi di atasnya.  Tutupkan dengan sekeping lagi roti yang telah disapu planta.  Buat hingga habis.  Potong dua dan boleh dihidangkan.






Coleslaw Kobis Unggu




100 gm kobis unggu
4" carrot
1 biji tomato
4" timun
1 sb kismis
3 sb mayonis
garam secukup rasa

1.  Kobis unggu disagat halus.  Texture kobis unggu ni lebih keras dan rangup dari kobis biasa.  Sebab tu kena sagat senipis yang boleh.  Carrot, tomato dan timun didadu kecil.


2.  Satukan semua bahan dan digaul rata.  Simpan dalam peti ais sekejap supaya sejuk.  Ia sedap dimakan semasa sejuk.






Thursday, December 26, 2019

Sandwich Telur Dadar Sayur

6 keping roti gardenia
2-3 biji telur
50 gm kobis
50 gm carrot
1/2 biji bawang besar
1 biji cili padi
2 sb minyak untuk menggoreng
garam secukup rasa

1.  Kobis dihiris.  Carrot dipotong halus memanjang.  Bawang besar dan cili padi dihiris.



2.  Satukan telur, kobis, carrot, bawang besar, cili padi dan garam.  Pukul sekejap.


3.  Panaskan minyak dan tuangkan telur itu sedikit.  Boleh dibuat beberapa keping.  Gorengkan telur itu hingga kedua-dua belah garing.  Angkat.



4.  Sapukan planta di permukaan roti.  Masak dalam kuali leper hingga kuning.  Lepas itu terbalikkan roti itu dan masak sekejap. 


5.  Letakkan telur tadi atas roti dan kapitkan dengan sekeping lagi roti.  Hidangkan.






Wednesday, December 18, 2019

Sambal Tumis Ikan Masin



2 cawan cili kisar
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sb belacan
2 sb asam jawa
1 cawan air
1/2 biji bawang besar
1 sb gula melaka
200 gm isi ikan kurau masin
1 cawan minyak 

1.  Isi ikan kurau masin dipotong-potong.  Basuh, toskan dan goreng hingga garing.  Ketepikan.


2.  Bawang merah, bawang putih dan belacan ditumbuk kasar.    Asam jawa diramas dengan sedikit air.  Bawang besar dihiris.


3.  Dengan menggunakan bekas minyak menggoreng ikan masin tadi, tumiskan bahan tumbuk hingga kekuningan.

4.  Kemudian masukkan cili kisar.  Tumis hingga pecah minyak.  

5.  Lepas itu masukkan air asam jawa, gula melaka, bawang besar dan air.  Bila mendidih, masukkan ikan masin yang digoreng tadi.  Masakan ini tidaklah terlalu pekat dan tak terlalu cair.



Nasi Tumis



2 cawan beras basmathi
3 cawan air
2 helai daun pandan
3" kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
7 biji buah pelaga
3 ulas bawang merah - dihiris
1 ulas bawang putih - dihiris
sehiris halia
2 sb minyak untuk menumis

1.  Beras basmathi direndam dalam 20 minit.  Basuh dan toskan.

2.  Panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis, bunga cengkih dan buah pelaga hingga naik bau.  

3.  Masuk pula bawang merah, bawang putih dan halia.  Tumis hingga kekuningan.

4.  Kemudian masuk beras dan daun pandan.  Goreng sekejap beras itu dan masukkan air serta garam.  Masak nasi hingga masak.  Masa menghidang, taburkan bawang goreng.

Nasi tumis ni sedap dimakan bersama sambal tumis, ikan masin dan ulam timun.  




Saturday, November 30, 2019

Jangan Lupa Uruskan 3 Perkara Wajib Ini Selepas Selesai Urusan Jual Beli Rumah Sub-Sale

copy-paste : salkukhairi

Selepas selesai urusan jual beli sesebuah rumah subsale, ramai pembeli, khususnya pembeli yang baru kali pertama beli rumah, kadang-kadang terlupa dan terlepas pandang untuk membuat PERTUKARAN NAMA PADA 3 PERKARA berikut:

1⃣ BIL UTILITI

Ramai pembeli yang lupa untuk membuat pertukaran nama pada rekod bil utiliti seperti bil elektrik, air dan indah water.

Sepatutnya, selepas selesai urusan jual beli, pembeli perlu pergi ke pejabat pembekal perkhidmatan utiliti seperti TNB, SBA dan IWK untuk membuat pertukaran rekod akaun perkhidmatan utiliti untuk rumah yang anda baru beli. Ini kerana dalam rekod pejabat pembekal utiliti, ianya masih lagi atas nama pemilik asal.

Ada dua cara anda boleh lakukan untuk membuat pertukaran rekod akaun tersebut:

▪ Anda buka akaun baru untuk bil utiliti tersebut di mana anda perlu membuat bayaran deposit pembukaan akaun baru. Jumlah deposit yang perlu dijelaskan adalah mengikut jenis rumah. Selepas akaun baru dibuka, pemilik asal perlu membuat pembatalan akaun lama dan sebelum itu sekiranya terdapat tunggakan bil utiliti, pemilik asal hendaklah terlebih dahulu menjelaskan segala bayaran tunggakan tersebut. Selepas itu deposit untuk akaun asal tersebut akan dikembalikan kepada pemilik asal oleh syarikat pembekal perkhidmatan utiliti.

▪ Anda boleh memohon untuk kekalkan akaun lama bil utiliti tersebut, tetapi hanya buat pertukaran pada nama pemilik sahaja. Cuma dalam kes sedemikian, anda perlu refund bayaran deposit pembukaan akaun bil utiliti tersebut terus kepada pemilik asal kerana deposit pembukaan akaun tidak akan dikembalikan oleh syarikat pembekal perkhidmatan memandangkan akaun tersebut masih aktif.

2⃣ CUKAI PINTU

Ramai yang terlepas pandang untuk buat permohonan pertukaran rekod cukai pintu.

Sebagai pemilik baru anda perlu pergi ke Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran untuk membuat pertukaran nama dalam rekod cukai pintu.

Apa yang patut anda lakukan adalah anda perlu mengisi borang yang disediakan dan sertakan dokumen-dokumen seperti salinan kad pengenalan, salinan SNP, salinan geran yang telah dipindahmilikkan kepada nama anda dan salinan bil cukai pintu terkini dan anda perlu membuat bayaran caj perkhidmatan yang sepatutnya.

Kemudian barulah nama anda akan dimasukkan sebagai pemilik baru dalam rekod cukai pintu.

3⃣ BIL MAINTENANCE DAN SERVIS CAJ (SEKIRANYA RUMAH STRATA)

Perkara ini pun ramai pembeli yang terlepas pandang. Pembeli perlu memaklumkan kan kepada bahagian maintenance /JMB akan pemilik baru unit tersebut. Ini untuk membolehkan pihak pengurusan bangunan update rekod pemilik baru unit tersebut dan bil maintanecne dan servis caj akan diserahkan kepada pemilik baru.

‼ Cuma masih ramai yang keliru tentang siapakah sebenarnya yang perlu bertanggungjawab membuat segala urusan pertukaran tersebut. Adakah penjual, pembeli atau peguam?

📌 Tanggungjawab tersebut sebenarnya terletak kepada PEMBELI. Walau bagaimanapun ada sesetengah peguam menawarkan perkhidmatan tersebut bersekali dengan urusan jual beli. Namun, perkara tersebut bukanlah satu kewajipan kepada peguam.

📌 Jadi lebih baik anda sahkan dengan peguam anda sama ada mereka yang akan uruskan urusan pertukaran nama tersebut atau anda perlu lakukannya sendiri.

📌 Sekiranya peguam yang lakukan , biasanya mereka akan kenakan yuran guaman kepada anda untuk perkhidmatan tersebut. Jadi jika anda ingin jimat kos guaman, adalah disarankan anda lakukan sendiri urusan pertukaran tersebut, kerana ianya bukanlah sesuatu yang sukarpun untuk dilakukan. Cuma perlukan sedikit masa untuk menguruskannya.

📌 Jika tidak, ianya akan memberi kesan kepada pemilik asal di mana segala bil perkhidmatan di atas akan diserahkan kepada pemilik asal dan masih atas nama pemilik asal. Kesannya, sekiranya ada tunggakan bil, pemilik asal yang akan dituntut oleh pihak-pihak di atas.

📌 Jadi penting juga bagi pemilik asal untuk follow up dan sahkan dengan pembeli selepas urusan jual beli selesai sama anda pertukaran nama tersebut telah dibuat atau sebaliknya. Jangan bila sudah dapat wang jualan rumah, anda lepas tangan sepenuhnya. Apa-apa jadi kelak, anda juga yang akan dipertanggungjawabkan.

Moga tulisan ini dapat memberi peringatan kepada anda untuk menyelesaikan urusan pertukaran nama tersebut dengan segera sebaik sahaja urusan jual beli selesai.

Terima kasih,

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Pengerusi
Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (GEMPHAR)

Sunday, November 10, 2019

Ikan Keli Masak Lemak Ubi Cekur




2 ekor ikan keli
1 biji kelapa
2 1/2 cawan air
4 helai daun cekur
1 keping asam-keping
garam secukup rasa


Bahan kisar :
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
10 biji cili padi
3" kunyit hidup
2 batang serai
1 ketul kecil ubi cekur 

1.  Ikan keli yang telah disiang itu di lumurkan dengan tepung beras.  Biarkan dalam 30 minit dan bersihkan hingga hilang semua lendir-lendir.  Ulang lagi jika masih ada lendirnya.  Selain tepung beras boleh gunakan asam jawa.

Lumurkan ikan keli dengan garam dan serbuk kunyit.  Ikan keli itu boleh dibakar atau digoreng garing.

2.  Kelapa diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat dan diperah lagi dengan 1 1/2 cawan air dijadikan santan cair.  Daun cekur dihiris.  Kalau tak de daun cekur boleh guna daun kunyit.

3.  Ubi cekur yang diguna dalam bahan kisar itu pastikan guna sedikit aje sebab baunya terlalu kuat melainkan jika ada yang suka pada baunya.  Ubi cekur ni mudah didapati di pasar tani.



4.  Masukkan bahan kisar dan santan cair dalam periuk.  Biarkan mendidih sambil dikacau selalu.  



5.  Lepas itu masukkan santan pekat dan garam.  Akhir sekali masukkan ikan, asam-keping dan daun cekur.  Biarkan seketika dan tutup api.





Friday, November 8, 2019

Kerepek Kulit Popia Seaweed Tabur Bijan




9 keping kulit popia
9 keping seaweed
1/4 cawan bijan
1 biji telur
1 liter minyak untuk menggoreng
sedikit serbuk lada sulah

1.  Telur dipukul sedikit dengan serbuk lada sulah.

2.  Ambil sekeping kulit popia.  Sapukan telur dipermukaannya dan diletakkan sekeping seaweed di atasnya.  



3.  Sapukan lagi telur di atas lapisan seaweed itu dan tabur bijan di atasnya.  Biarkan ia seketika.



4.  Kemudian guntingkan kulit popia itu empat segi.  Biarkan dalam 10-25 minit.  Buatlah kepingan seterusnya hingga habis.  

5.  Panaskan minyak dan gorengkan kerepek itu hingga garing.  Goreng sekejap sahaja dan toskan.  





Thursday, November 7, 2019

Kerepek Kulit Popia Bunga Cempaka




1 paket kulit popia
1 paket seaweed
1 biji telur
1 liter minyak untuk menggoreng
sedikit serbuk lada sulah

1.  Kulit popia dipotong dua.  Seaweed dipotong panjang 1/2" lebar.   Telur dipukul dengan sedikit serbuk lada sulah.



2.  Ambil sekeping kulit popia dan disapukan di satu bahagian tepinya dengan telur yang dipukul tadi.

3.  Lepas itu letakkan sekeping seaweed yang dipotong tadi di atas sapuan telur tadi.   Sapukan sekali lagi telur itu di atas seaweed itu.



4.  Kemudian lipat dua kulit popia itu dan biar ia melekat di atas seaweed itu.  

5.  Guntingkan di bahagian lipatan kulit popia itu tapi jangan sampai putus.  Gulungkan berhati-hati kulit popia itu dan pastikan hujungnya melekat supaya ia tidak terbuka semasa menggoreng.



6.  Panaskan minyak dan gorengkan kerepek itu hingga kekuningan.  Gorengkan sekejap aje dan toskan.