Semasa tiba di Vietnam, hari dah beransur petang. Kami semua singgah di sebuah masjid untuk jamak. Dibahagian wanitanya terdapat beberapa orang wanita yang menguruskan bahagian wanita di situ. Kami disambut dengan mesra. Yang aku admire ialah telekung-telekung yang disediakan bersih-bersih belaka. Bukanlah nak merendahkan negara sendiri tapi ini sememangnya kenyataan. Kalau dilihat telekung-telekung yang disediakan di masjid-masjid di negara kita kebanyakkannya ada yang telah koyak, kuning-kuning dibahagian muka dan bertahi-lalat.
Urusniaga menggunakan 3 jenis matawang di vietnam ini iaitu Dong, US Dollar dan Ringgit Malaysia. Kalau kita bayar guna ringgit mereka akan kembalikan baki dalam Dong. Mereka yang menjaja ni memang pantas bab-bab mengira currency ni.
Pengguna jalanraya di sini ramai menggunakan motosikal. Sekali lalu mak oi, sampai naik takut nak melintas jalan. Penunggang motosikal ni dia jalan ikut suka dia aje. Suka-suka nak ke kiri, suka-suka nak ke kanan. Pemandu kereta pulak yang takut kat mereka. Dahlah tu, topi keledar dia sebijik macam topi mainan kanak-kanak kalau kat Malaysia lah. Harga topi keledar yang paling murah adalah USD2.
Esoknya kami dibawa ke Hard Rock Cafe Ho Chi Minh City sebelum ke Chu Chi Tunnel. Aku memang suka sangat bab-bab melawat tempat-tempat bersejarah macam ni.
Kerja-kerja mengorek terowong dilakukan pada waktu malam sahaja. Bagi mengelakkan musuh mengetahui terowong yang mereka bina, mereka membuang tanah-tanah yang dikorek ke dalam sungai. Jadi pihak musuh memang tidak mengetahui terdapatnya terowong bawah tanah. Sebahagian tanah-tanah yang dikorek itu dijadikan seperti busut anai-anai dan dibuat sedikit lubang sebagai lubang udara untuk terowong.
Gambar tengah tu adalah salah satu pintu terowong yang aku masuk. Yang aku junjung tu adalah penutup terowong tu yang ditutupkan dengan daun-daun kering. Nak dijadikan cerita...masa aku nak keluar tu aku tak boleh naikkan badan aku ke atas. Kecohlah sekejap dan sampai balik kisah aku dan sorang lagi member jadi bahan ketawa semua guest....nasib baik boleh keluar lepas berhempas-pulas ditarik keluar oleh 2 orang insan yang "gagah-perkasa".
Apabila pihak musuh menggunakan anjing pengesan, orang-orang Vietnam ini mengambil baju-baju pihak musuh, dikoyak-koyakkan dan dilekatkan di pokok-pokok. So, anjing pengesan itu akan berpatah balik dan tidak dapat mengesan pergerakan mereka.
Manakala bagi mengelakkan pihak musuh mengesan pergerakkan mereka melalui tapak kaki, mereka telah merekabentuk kasut yang muncung kasut itu berlawanan arah.
Ini pula adalah kawah kesan letupan bom. Memang luas dan dalam.
Ulat gonggok kat situ besar-besar.
Kemudian di satu port, kita dibenarkan menembak. Tapi kena bayar untuk peluru. Kalau nak merasa menembak, apa salahnya. Berdentum-dentum bunyi tembakan.
Ini pula demonstrasi membuat 'rice paper'. Sesenduk bancuhan tepung beras ditebar nipis di atas kuali leper yang distim dan dibiarkan masak sambil ditutup. Kemudian dijemur di atas jaringan buluh itu dipanas terik matahari hingga kering. Semasa zaman perang vietnam, mereka memakan sayur-sayuran mentah yang dibalut dengan rice paper ini selain ubi kayu. Mungkin juga ini adalah kaedah mereka menjimatkan beras.
Lepas penat meronda keliling, pengunjung dijamu dengan ubi kayu bakar dan teh o vietnam.
Lepas tu kami dibawa menaiki bot menyeberangi Sungai Mekong yang sungguh besar. Tiba di satu pulau (aku tak tahu apa ntah nama pulau tu), kami dibawa ke gerai membuat dan menjual gula-gula kelapa. Terdapat juga banyak gerai-gerai menjual souvenir terutama sekali beg-beg yang dibuat dari kulit lembu. Cantik2 dan agak murah.
Kemudian kami dijamu dengan buah-buahan seperti nenas, buah naga, nangka dan mangga serta teh o vietnam. Sambil itu kami dihiburkan dengan persembahan lagu vietnam. Tak faham pun lagu tu. Habis je menyanyi, ada gadis akan datang ke meja kita membawa bakul kecil. Apalagi masukkan tip lah.
Kemudian kami dibawa ke satu port lagi dijamu dengan teh manisan lebah. Adalah sikit titbits seperti halwa halia, kerepek pisang bersira gula dan kacang bipang. Di situ mereka ada letak seekor ular sawa yang cukup besar. Kalau berani nak rasa ular sawa membelit badan kita, bolehlah mencuba. Mula-mula aku ingat pun nak cuba juga tapi bila aku tengok ular tu ada terkena air kat sangkar dia dan aku pulak pakai baju putih, so tak jadilah nak mencuba.
Berjalan dalam pulau ni macam berjalan dalam kampung filem dulu-dulu aje. Persekitaran memang cantik. Memang dijaga untuk pelancungan.
Lepas tu , kami dibawa menaiki sampan untuk ke restoran untuk makan tengahari. Sungainya taklah besar. Muat untuk 2-way laluan perahu. Kiri-kanan dikelilingi dengan pohon nipah. Pendayung-pendayung sampan terdiri dari berbagai peringkat umur, lelaki dan perempuan, ada yang boleh digelar nenek. Mereka ini orang susah. Naik sampan ni kita diminta bagi sikit duit pada pendayung. Kalau nak bagi lebih pun boleh jugak. Tak salahkan bersedekah.
Kami makan tengahari di Halal Mekong Restaurant....On the way balik kami naik bot semula dan dalam perjalanan kami dijamu dengan air kelapa muda....sedap dan segar.
Tang makan kat Vietnam ni...mereka banyak gunakan sayur. Daun selasih dan tauge banyak digunakan. Hidangan yang biasa juga adalah telur dadar yang diletak banyak daun bawang/daun kucai. Makanan mereka simple tapi sedap. Patutlah perempuan-perempuan mereka kurus-kurus belaka mungkin disebabkan banyak makan tauge kot hahahaha.
Kat vietnam ni susah jugaklah nak cari makanan halal. Jangan nak main boh aje. Nampak aje macam halal. Makanan halal selalunya mahal. So, lebih baiklah ikut tour, semua diuruskan oleh tour. Kat sini jugak banyak jual kopi musang. Kalau ada yang kisah tu, minta ajelah moca coffee. Tapi kopi vietnam memang sedap.
Semasa kami makan malam di Restoran Banana Leaf, kami terserempak seorang India sedang membuat roti canai. Katanya berasal dari Kuala Selangor.
Selain kain dan pakaian jangan lupa beli biji bunga teratai, gajus panggang dan kopi vietnam sebagai buah tangan. Tapi jangan terkejut ketiga-tiga barang ini memang mahal. 1/2 kg kacang biji teratai dan kopi vietnam pun dah mencecah USD10 setiap satu barang.
Yang kuning tu biji teratai dan yang coklat tu gajus panggang. Buang kulitnya sebelum makan. Kopi vietnam tu dibagi sekali dengan bekas membancuh kopinya.
Masa membeli-belah, tak hengat dunia...bukanlah banyak pun sebenarnya. Cukup untuk barang-barang sendiri aje. Tapi masa pack-pack nak balik baru teringat "Ya Allah, beratnya 2 beg aku yang dah penuh. Macamana nak angkat beg ni. Apartment aku tak ada lift". Tu lah lain kali tak boleh bawa beg yang terlalu besar supaya senang nak angkat.
Satu lagi yang very important, jangan lupa bawa air mineral sebab tandas mereka tak berapa selesa dan tidak menyediakan air. Kalau makan kat restoran-restoran halal tu, lepaskan hajat puas-puas. Sebab itu kalau ikut tour lebih senang.
Ikutlah SMZ Holidays (promote sikit). Kami semua berpuas hati dengan layanan mereka. Makan cukup sampai aku rasa berat aku dah bertambah. Terima kasih pada Elydar, good service. Tour guide di Vietnam, Mr Hoong (agaknya lah ejaannya tu), juga bagus.
Wow! N3 yg menarik skali. Kak fila suka baca ni dan teringat kenangan semasa di vietnam. Ada trip lg bulan sept ni. 13-16 sept/rm 1390. berminat, bgtau akak.
ReplyDelete