Wednesday, January 6, 2016

Mee Sup Wantan



Untuk buat mee sup wantan ini, kita perlukan :
1)  Isi Wantan
2)  Sup Wantan
3)  Minyak bawang putih
4)  Sawi rebus
5)  Cili kicap
6)  Mee wantan

1)  Bahan untuk isi wantan :
1 paket kulit wantan
200 gm isi ayam
5 ekor udang - dicincang kasar
1 st sos tiram
1 sb minyak bawang putih 
1-2 titik minyak bijan
1/4 st serbuk lada sulah
1 pokok daun bawang - dihiris
garam secukup rasa

1.  Udang itu dicincang kasar.  Satukan semua bahan inti wantan kecuali udang dan kisar hingga hancur.  Kemudian digaulkan  bahan kisar itu bersama udang cincang tadi.

2.  Ambil satu sudu teh isi wantan itu, diletak ditengah kulit wantan.  Sapukan keliling kulit wantan itu dengan sedikit air dan dibungkus ikut kreativiti masing-masing.  

3.  Didihkan air dalam periuk dan masukkan wantan-wantan itu.  Biarkan mendidih sekali lagi dan toskan wantan itu.  Jangan direbus terlalu lama, nanti kembang pulak wantan itu.


Kalau ada lebihan dari wantan yang belum direbus itu boleh disimpan dalam peti ais atau boleh digoreng dan dicicah dengan cili sos atau yang sewaktu dengannya.

2)  Cara membuat sup :
500 ml air rebusan ayam
6 ekor udang
2 keping fish cake - dipotong nipis
1 sb minyak bawang putih
2 hiris halia
1/4 st lada sulah
1 pokok daun bawang - dihiris
garam secukup rasa

1.  Masukkan air rebusan ayam, udang, fish cake, minyak bawang putih, hirisan halia dan serbuk lada sulah ke dalam periuk.  Masak hingga mendidih.  Kemudian masukkan wantan, daun bawang dan garam.


3)  Cara membuat minyak bawang putih :
1 labu bawang putih
1/2 cawan minyak 

1.  Bawang putih dicincang.  
2.  Panaskan minyak dan goreng bawang putih hingga kekuningan.  
3.  Toskan bawang putih goreng itu.  Biarkan minyak dan bawang putih goreng itu sejuk dan campurkan semula.


4)  Sawi rebus :
4 pokok sawi bok choy
1 liter air
1 st minyak masak
sedikit garam 

1.  Jika sawi itu kecil-kecil, cukup dibelah dua sawi itu dan dibasuh bersih kotoran-kotoran yang berada di celah-celah sawi itu.  Jika tidak, potong aje sawi itu sehelai-sehelai.
2.  Didihkan air dan celurkan sawi itu bersama garam dan sedikit minyak masak.  Lepas itu toskan sawi itu.


5)  Cili kicap :
10 biji cili padi hijau - dihiris
3 sb kicap cair
1 biji limau nipis - ambil jus

1.  Campurkan cili padi, kicap cair dan jus limau. 

6)  Mee wantan :
2 keping mee wantan
1 sb kicap cair
1 st kicap pekat
2 sb minyak bawang putih
1 st minyak bijan

1.  Didihkan air dan rebus mee hingga lembut.  Toskan.
2.  Masukkan mee dalam kuali bersama kicap cair, kicap pekat, minyak bawang putih dan minyak bijan.
3.  Masak sekejap atas api sambil digaul rata.  


Cara menghidang :
1.  Letak mee dalam mangkuk.
2.  Letak sawi dan tuangkan sup wantan.
3.  Akhir sekali masuk sedikit minyak bawang putih bersama bawang putihnya dan cili kicap.




Saturday, January 2, 2016

Pad Thai





Kalau tengok pada rupa Pad Thai ni macam sama seangkatan dengan kway teow goreng kat Malaysia ni.  Tapi yang ni ada keistimewaan tersendiri.  Tak menyesallah kalau mencuba.  

Sebelum memasak pad thai ni, kena sediakan sosnya dahulu. 




Bahan untuk sos pad thai :
3/4 cawan palm sugar thai / gula melaka
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan fish sauce
1/2 cawan air asam jawa

1.  Masukkan palm sugar, gula pasir dan air asam jawa ke dalam periuk.  Masak hingga gula larut dan berbuih.

2.  Masuk fish sauce dan masak hingga pekat dan tidak berbuih lagi.




Bahan untuk membuat pad thai :
100 gm pad thai/kway teow kering yang halus
150 gm tauge
10 ekor udang
2 ulas bawang merah - dihiris
1 ulas bawang putih - dicincang halus
2 sb udang kering - tak payah tumbuk
1 sb cili flake
2 sb sos phad thai
2 biji telur
1 keping tauhu - digoreng dan didadu
2 sb kacang tanah goreng - ditumbuk kasar
1/2 cawan daun kucai yang telah dipotong 2"
1/4 cawan minyak masak
1 pokok daun sup - dihiris
1/4 cawan air


1.  Mula-mula rendamkan pad thai dalam 10-15 minit.  Toskan.

2.  Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih hingga naik bau.  Masukkan udang, udang kering, tauhu dan kacang tanah. Tumis lagi hingga wangi.

3.  Masuk pad thai, sos pad thai dan air bagi melembutkannya sedikit. Gaul-gaulkan.  Lepas itu tolak ke tepi sedikit pad thai itu dan pecahkan telur.  Biarkan seketika dan barulah digaulkan bersama pad thai itu.




4.  Kemudian masukkan cili flake, daun kucai dan tauge.  Gaul-gaulkan sekejap tapi jangan sampai tauge itu lembik.  Tutup api dan taburkan kacang tanah, daun kucai dan perahkan jus limau. 







Friday, January 1, 2016

Usaha Malaikat Meminta Tanah Dari Bumi Untuk Penciptaan Manusia





Pada suatu ketika, Allah swt menitahkan kepada malaikat Jibril supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanahnya untuk mencipta Adam.  Akan tetapi apabila beliau sampai ke bumi, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam kerana bumi khuatir Adam akan menjadi maksiat kepada Allah. Lalu Jibril kembali ke hadrat Allah memberitahu bahawa ia tidak dapat berbuat apa-apa apabila mendengar sumpah bumi.

Setelah itu, Allah memerintah malaikat Mikail.  Jawapan bumi masih sama lalu Allah memerintahkan malaikat Israfil dan jawapan bumi masih tidak berganjak.

Masing-masing kembali dengan jawapan yang hampa.  Akhirnya, Allah menyuruh malaikat Izrail turun ke bumi.  Kata Allah :
"Hai Izrail! Engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan, jangan engkau mundur.  Katakan bahawa kerjamu atas perintah dan atas namaKU".

Apabila Izrail turun ke bumi dan menyampaikan perintah Allah kepada bumi, maka akhirnya bumi mengizinkan tanahnya diambil. Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, kembalilah ia ke hadrat Allah.

Lalu Allah berfirman : "Ya Izrail, pertama engkau yang KU tugaskan mengambil tanah, dan kemudian di belakang hari kelak akan KU tugaskan engkau mencabut roh manusia'.

Maka khuatirlah Izrail kerana bimbang akan dibenci oleh umat manusia.  Lalu Allah berfirman lagi, "Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu.  Aku yang mengaturnya, dan Aku jadikan kematian mereka itu bersebab antaranya terbunuh, terbakar, sakit dan sebagainya".

Jenis Tanah Yang Digunakan :

1.  Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Muqaddis
2.  Tanah Bukit Tursina
3.  Tanah Iraq
4.  Tanah Aden
5.  Tanah Al-Kautsar
6.  Tanah tempat bakal berdirinya Baitullah
7.  Tanah Paris
8.  Tanah Khurasan
9.  Tanah Babylon
10.  Tanah India
11.  Tanah Syurga
12.  Tanah Tha'if


Menurut Ibnu Abbas :

1.  Kepala Adam dari tanah Baitul Muqaddis kerana di situlah berada otak manusia dan di situlah tempatnya akal.

2.  Telinganya dari tanah Bukit Thursina kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.

3.  Dahinya dari tanah Iraq kerana di situ tempat sujud kepada Allah.

4.  Mukanya dari tanah Aden kerana di situ tempat berhias dan tempat kecantikan.

5.  Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar, tempat menarik perhatian.

6.  Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat memanis-manis.

7.  Tangan kanannya dari tanah Kaabah untuk mencari nafkah dan kerjasama sesama manusia.

8.  Tangan kirinya dari tanah Paris tempat beristinjak.

9.  Perutnya dari tanah Babylon.  Di situlah tempat seks (berahi) dan tipudaya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.

10.  Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.

11.  Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan berjalan.

12.  Hatinya dari tanah syurga Firdaus kerana di situlah iman, keyakinan, ilmu, kemahuan dan sebagainya.

13.  Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap syahadah, bersyukur dan berdoa kepada Tuhan.


Proses Kejadiannya

1.  Ketika Allah jadikan Adam, tanah itu dicampur dengan air tawar, air masin, air hanyir, angin dan api.  Kemudian Allah resapkan Nur kebenaran dalam diri Adam dengan berbagai macam 'sifat'.

2.  Lalu tubuh Adam itu digenggam dengan genggaman 'Jabarut' kemudian diletakkan di dalam 'Alam Malakut'.

3.  Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan tubuh Adam adalah tanah pilihan.  Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah dan wangi-wangian dari sifat Nur sifat Allah dan dirasmikan dengan air hujan 'Barul Uluhiyah'.

4.  Kemudian tubuh itu dibenamkan di dalam air 'Kudral-Izzah Nya' iaitu sifat 'Jalan dan Jammal'.  Lalu terciptalah tubuh Adam yang sempurna.

5.  Demikian pula roh, ketika diperintah masuk ke dalam tubuh Adam, ia merasa malas dan enggan.  Lalu ia berputar-putar mengelilingi patung Adam yang terlantar.  Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail memaksa roh itu masuk.  Akhirnya mahu tidak mahu roh itupun masuk dan menyerah kepada Izrail.

Menurut riwayat ketika Adam masih berada di syurga, sangat baik sekali kulitnya.  Tidak seperti warna kulit manusia.  Kerana Adam telah diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya.   Sebagai peringatan, yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia.  Oleh itu, meskipun orang kulitnya hitam tetapi warna kukunya adalah sama iaitu putih kemerah-merahan.

Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang.  Tujuh buah liang di kepala dan dua buah liang di bawah badannya.

Tujuh buah liang letaknya adalah di :

1.  Kepala :  dua liang mata, dua liang telinga, dua liang hidung dan sebuah liang mulut.
2.  Di bawah :  sebuah liang kemaluan dan liang dubur.

Dijadikan pula lima buah liang pancaindera :

1.  Mata alat penglihatan
2.  Hidung alat penciuman
3.  Telinga alat pendengaran
4.  Mulut alat merasa manis, masin dan sebagainya
5.  Anggota tubuh lainnya seperti kulit, telapak tangan untuk merasa halus, kasar dan sebagainya.


Setelah Roh masuk ke dalam tubuh Adam :

Lalu roh itu masuk perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun.  Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail untuk memasukkan roh ke dalam tubuh Adam.

Setelah roh meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusunlah urat-urat sarafnya dengan sempurna.  Kemudian terjadilah matanya dan seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik ke kiri, ke kanan dan ke bawah dimana pada masa itu bahagian badannya masih merupakan tanah keras.

Dilihatnya kiri dan kanan para malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia.  Ketika itu dia telah dapat mendengar para malaikat mengucapkan tasbih dengan suara yang merdu dan mengasyikkan.

Kemudian ketika roh sampai ke hidungnya lalu ia bersin serta mulutnya terbuka.  Ketika itulah Allah ajarkan padanya ucapan Alhamdulillah.  Itulah ucapan Adam pertama kalinya ke hadrat Allah.  

Lalu Allah berkata :

'Yarhamukallah' yang membawa erti 'Semoga engkau diberi rahmat Allah'.  

Oleh kerana itu jika orang bersin, menjadi sunat mengucap 'Alhamdulillah' dan orang yang mendengarnya sunat pula mengucapkan 'Yarhamukallah'.

Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun.  Padahal sebahagian bawah badannya masih tanah dan keras.  Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar).  Sebagaimana firman Allah swt bermaksud :

'Dan adalah manusia itu suka tergesa-gesa' (Al-Israq :II)

Maka ketika roh itu sampai di bahagian perutnya, maka terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Maka seketika itu terasalah lapar.  Kemudian terus roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang.  Urat-urat berkulit dengan sempurna, yang mana kulit itu kian lama kian cantik dan halus.

Begitulah proses kejadian-kejadian tubuh Adam.  Setelah kejadian Adam sempurna sebagai manusia, maka dialah merupakan makhluk manusia yang pertama.  Wajahnya cukup cantik.  Semua malaikat berasa kagum melihat Adam yang begitu menawan. Kemudian Adam diarak oleh malaikat-malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni dari langit pertama hinggalah ke langit tujuh sebelum dibawa ke syurga tempat mula-mula Adam dijadikan.