Thursday, August 2, 2018
Tazkirah untuk kita semua
Kata ulamak, apabila Allah tidak menghendaki kita lagi :
1) Allah akan sibukkan kita dengan urusan dunia.
2) Allah akan sibukkan kita dengan urusan anak-anak.
3) Allah akan sibukkan kita dengan urusan perniagaan dan pekerjaan.
4) Allah akan sibukkan kita dengan harta.
5) Allah akan sibukkan kita dengan mencari pengaruh pangkat dan kuasa.
Yakni kita akan sentiasa sibuk dengan urusan dunia dan hiburan dunia. Kawan-kawan sekeliling kita juga adalah yang seangkatan dengan kita yang akan membuat kita terus leka dan taksub dengan keduniaan, riak, takbur, sentiasa ingin dipuji serta popular dan sebagainya sehingga kita tidak ada masa untuk DIA. Tidak ada masa untuk tunduk sujud kepadaNYA. Tidak ada masa mencari keredhaanNYA. Sehingga kita lupa rezeki kita datang dariNYA.
Maka apabila muncul seseorang yang cuba menyedarkan kita dari kelekaan kita itu, hargailah dia. Allah mengutuskan dia untuk menyedarkan kita. Beristighfarlah sebanyak mungkin.
Alangkah ruginya kerana kesemua nikmat dunia itu akan kita tinggalkan. Tahukah kamu jika kamu bertanya kepada orang-orang yang telah pergi terlebih dahulu menemui Allah swt dan jika mereka diberi peluang untuk hidup sekali lagi sudah semestinya mereka memilih tidak lagi bertarung bermati-matian untuk merebut kebahagiaan dunia. Jika boleh, mereka ingin berpesan kepada semua yang hidup lagi ini agar tidak mencari kebahagiaan dunia semata-mata.
Tujuan kita diciptakan adalah untuk menyembah Allah dan beribadat kepada Allah swt.
a) Kita mungkin teruja apabila melihat orang lain lebih dari kita dari segi gaji, pangkat, harta, kereta mewah dan rumah besar.
Kita sepatutnya teruja mencontohi orang lain yang mana ilmu amalan dan ketaatannya kepada Allah swt. Kita patut teruja dan mengikut orang lain yang bangun disepertiga malam untuk solat tahajjud.
b) Kita mungkin cemburu melihat orang lain bertukar kereta baru tapi kita sepatutnya cemburu melihat orang lain boleh khatam Quran sebulan 2 kali.
Petanda-petanda ini menunjukkan dunia akhir zaman apabila duit, pangkat dan harta mengatasi segalanya.
Kita patut bermuhasabah mengenai bekalan ke satu perjalanan yang jauh yang tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya.
Sesungguhnya mati itu benar, alam kubur itu benar, pertanyaan mungkar nakir itu benar, mahsyar Allah itu benar, syurga dan neraka itu benar.
Labels:
Info Agama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment