Satu lagi versi sambal goreng yang arwah mak aku selalu buat dulu. Berderai dan rangup. Sambal ni kalau tak nak letak ikan bilis pun sedap.
1 cawan cili kisar
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2" belacan
1/2 cawan ikan bilis
1 1/2 cawan minyak masak
1 st gula pasir
garam secukup rasa
Bawang merah, bawang putih dan belacan ditumbuk kasar dan digaulkan dengan cili kisar. Tak dicampurkan pun boleh juga. Disebabkan aku ni selalu simpan cili kisar untuk kemudahan aku, tu yang kena tumbuk bawang berasingan. Bawang tu tak perlu ditumbuk sampai lumat sebab kepingan bawang itu akan membuat sambal itu rangup.
Panaskan minyak. Masakan ni memang memerlukan minyak yang banyak supaya cili mudah garing berderai. Bila minyak dah panas, masukkan campuran cili tadi dan digoreng.
Kalau nak goreng bawang dulu pun boleh. Goreng sampai naik bau, baru dimasukkan cili kisar bersama belacan. Tambah minyak jika perlu.
Gunakan api sederhana bagi mengelakkan sambal cepat hangit sebelum garing berderai. Bila dah hampir garing, masukkan ikan bilis, gula dan garam. Goreng lagi sambil dikacau-kacau selalu. Ikan bilis jangan dimasukkan terlalu awal kerana ia akan cepat garing dan rasanya tak sedap.
Bila dah garing, tuangkan sambal tu dengan minyaknya sekali dalam penapis besi dan toskan minyaknya.
No comments:
Post a Comment