Saturday, November 30, 2019

Jangan Lupa Uruskan 3 Perkara Wajib Ini Selepas Selesai Urusan Jual Beli Rumah Sub-Sale

copy-paste : salkukhairi

Selepas selesai urusan jual beli sesebuah rumah subsale, ramai pembeli, khususnya pembeli yang baru kali pertama beli rumah, kadang-kadang terlupa dan terlepas pandang untuk membuat PERTUKARAN NAMA PADA 3 PERKARA berikut:

1⃣ BIL UTILITI

Ramai pembeli yang lupa untuk membuat pertukaran nama pada rekod bil utiliti seperti bil elektrik, air dan indah water.

Sepatutnya, selepas selesai urusan jual beli, pembeli perlu pergi ke pejabat pembekal perkhidmatan utiliti seperti TNB, SBA dan IWK untuk membuat pertukaran rekod akaun perkhidmatan utiliti untuk rumah yang anda baru beli. Ini kerana dalam rekod pejabat pembekal utiliti, ianya masih lagi atas nama pemilik asal.

Ada dua cara anda boleh lakukan untuk membuat pertukaran rekod akaun tersebut:

▪ Anda buka akaun baru untuk bil utiliti tersebut di mana anda perlu membuat bayaran deposit pembukaan akaun baru. Jumlah deposit yang perlu dijelaskan adalah mengikut jenis rumah. Selepas akaun baru dibuka, pemilik asal perlu membuat pembatalan akaun lama dan sebelum itu sekiranya terdapat tunggakan bil utiliti, pemilik asal hendaklah terlebih dahulu menjelaskan segala bayaran tunggakan tersebut. Selepas itu deposit untuk akaun asal tersebut akan dikembalikan kepada pemilik asal oleh syarikat pembekal perkhidmatan utiliti.

▪ Anda boleh memohon untuk kekalkan akaun lama bil utiliti tersebut, tetapi hanya buat pertukaran pada nama pemilik sahaja. Cuma dalam kes sedemikian, anda perlu refund bayaran deposit pembukaan akaun bil utiliti tersebut terus kepada pemilik asal kerana deposit pembukaan akaun tidak akan dikembalikan oleh syarikat pembekal perkhidmatan memandangkan akaun tersebut masih aktif.

2⃣ CUKAI PINTU

Ramai yang terlepas pandang untuk buat permohonan pertukaran rekod cukai pintu.

Sebagai pemilik baru anda perlu pergi ke Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran untuk membuat pertukaran nama dalam rekod cukai pintu.

Apa yang patut anda lakukan adalah anda perlu mengisi borang yang disediakan dan sertakan dokumen-dokumen seperti salinan kad pengenalan, salinan SNP, salinan geran yang telah dipindahmilikkan kepada nama anda dan salinan bil cukai pintu terkini dan anda perlu membuat bayaran caj perkhidmatan yang sepatutnya.

Kemudian barulah nama anda akan dimasukkan sebagai pemilik baru dalam rekod cukai pintu.

3⃣ BIL MAINTENANCE DAN SERVIS CAJ (SEKIRANYA RUMAH STRATA)

Perkara ini pun ramai pembeli yang terlepas pandang. Pembeli perlu memaklumkan kan kepada bahagian maintenance /JMB akan pemilik baru unit tersebut. Ini untuk membolehkan pihak pengurusan bangunan update rekod pemilik baru unit tersebut dan bil maintanecne dan servis caj akan diserahkan kepada pemilik baru.

‼ Cuma masih ramai yang keliru tentang siapakah sebenarnya yang perlu bertanggungjawab membuat segala urusan pertukaran tersebut. Adakah penjual, pembeli atau peguam?

📌 Tanggungjawab tersebut sebenarnya terletak kepada PEMBELI. Walau bagaimanapun ada sesetengah peguam menawarkan perkhidmatan tersebut bersekali dengan urusan jual beli. Namun, perkara tersebut bukanlah satu kewajipan kepada peguam.

📌 Jadi lebih baik anda sahkan dengan peguam anda sama ada mereka yang akan uruskan urusan pertukaran nama tersebut atau anda perlu lakukannya sendiri.

📌 Sekiranya peguam yang lakukan , biasanya mereka akan kenakan yuran guaman kepada anda untuk perkhidmatan tersebut. Jadi jika anda ingin jimat kos guaman, adalah disarankan anda lakukan sendiri urusan pertukaran tersebut, kerana ianya bukanlah sesuatu yang sukarpun untuk dilakukan. Cuma perlukan sedikit masa untuk menguruskannya.

📌 Jika tidak, ianya akan memberi kesan kepada pemilik asal di mana segala bil perkhidmatan di atas akan diserahkan kepada pemilik asal dan masih atas nama pemilik asal. Kesannya, sekiranya ada tunggakan bil, pemilik asal yang akan dituntut oleh pihak-pihak di atas.

📌 Jadi penting juga bagi pemilik asal untuk follow up dan sahkan dengan pembeli selepas urusan jual beli selesai sama anda pertukaran nama tersebut telah dibuat atau sebaliknya. Jangan bila sudah dapat wang jualan rumah, anda lepas tangan sepenuhnya. Apa-apa jadi kelak, anda juga yang akan dipertanggungjawabkan.

Moga tulisan ini dapat memberi peringatan kepada anda untuk menyelesaikan urusan pertukaran nama tersebut dengan segera sebaik sahaja urusan jual beli selesai.

Terima kasih,

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Pengerusi
Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (GEMPHAR)

Sunday, November 10, 2019

Ikan Keli Masak Lemak Ubi Cekur




2 ekor ikan keli
1 biji kelapa
2 1/2 cawan air
4 helai daun cekur
1 keping asam-keping
garam secukup rasa


Bahan kisar :
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
10 biji cili padi
3" kunyit hidup
2 batang serai
1 ketul kecil ubi cekur 

1.  Ikan keli yang telah disiang itu di lumurkan dengan tepung beras.  Biarkan dalam 30 minit dan bersihkan hingga hilang semua lendir-lendir.  Ulang lagi jika masih ada lendirnya.  Selain tepung beras boleh gunakan asam jawa.

Lumurkan ikan keli dengan garam dan serbuk kunyit.  Ikan keli itu boleh dibakar atau digoreng garing.

2.  Kelapa diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat dan diperah lagi dengan 1 1/2 cawan air dijadikan santan cair.  Daun cekur dihiris.  Kalau tak de daun cekur boleh guna daun kunyit.

3.  Ubi cekur yang diguna dalam bahan kisar itu pastikan guna sedikit aje sebab baunya terlalu kuat melainkan jika ada yang suka pada baunya.  Ubi cekur ni mudah didapati di pasar tani.



4.  Masukkan bahan kisar dan santan cair dalam periuk.  Biarkan mendidih sambil dikacau selalu.  



5.  Lepas itu masukkan santan pekat dan garam.  Akhir sekali masukkan ikan, asam-keping dan daun cekur.  Biarkan seketika dan tutup api.





Friday, November 8, 2019

Kerepek Kulit Popia Seaweed Tabur Bijan




9 keping kulit popia
9 keping seaweed
1/4 cawan bijan
1 biji telur
1 liter minyak untuk menggoreng
sedikit serbuk lada sulah

1.  Telur dipukul sedikit dengan serbuk lada sulah.

2.  Ambil sekeping kulit popia.  Sapukan telur dipermukaannya dan diletakkan sekeping seaweed di atasnya.  



3.  Sapukan lagi telur di atas lapisan seaweed itu dan tabur bijan di atasnya.  Biarkan ia seketika.



4.  Kemudian guntingkan kulit popia itu empat segi.  Biarkan dalam 10-25 minit.  Buatlah kepingan seterusnya hingga habis.  

5.  Panaskan minyak dan gorengkan kerepek itu hingga garing.  Goreng sekejap sahaja dan toskan.  





Thursday, November 7, 2019

Kerepek Kulit Popia Bunga Cempaka




1 paket kulit popia
1 paket seaweed
1 biji telur
1 liter minyak untuk menggoreng
sedikit serbuk lada sulah

1.  Kulit popia dipotong dua.  Seaweed dipotong panjang 1/2" lebar.   Telur dipukul dengan sedikit serbuk lada sulah.



2.  Ambil sekeping kulit popia dan disapukan di satu bahagian tepinya dengan telur yang dipukul tadi.

3.  Lepas itu letakkan sekeping seaweed yang dipotong tadi di atas sapuan telur tadi.   Sapukan sekali lagi telur itu di atas seaweed itu.



4.  Kemudian lipat dua kulit popia itu dan biar ia melekat di atas seaweed itu.  

5.  Guntingkan di bahagian lipatan kulit popia itu tapi jangan sampai putus.  Gulungkan berhati-hati kulit popia itu dan pastikan hujungnya melekat supaya ia tidak terbuka semasa menggoreng.



6.  Panaskan minyak dan gorengkan kerepek itu hingga kekuningan.  Gorengkan sekejap aje dan toskan.