Monday, October 31, 2016

Lepat Ubi Kayu



400 gm ubi kayu
2 sb tepung sagu
1/2 biji kelapa
3/4 cawan santan
1 cawan gula merah
1 sb gula pasir
1/4 st garam
daun pisang secukupnya



1.  Ubi kayu dibuang kulitnya dan dibasuh bersih.  Lepas tu parut ubi kayu itu.  Masukkan dalam kain kasa dan perahkan air pahitnya.

2.  Kelapa diperah dengan 1/4 cawan air untuk diambil santan pekat.

3.  Daun pisang dipotong 5"x6".  Di lap dan dilayurkan di atas api supaya daun pisang tidak koyak semasa membungkus kuih.



4.  Kemudian campurkan ubi kayu itu dengan tepung sagu, santan, gula merah, gula pasir dan garam.  Gaul rata.




5.  Ambil 2 sb adunan tadi dan letakkan atas daun pisang.  Bungkus dan dikukus dalam pengukus yang telah dididihkan airnya.





Yang ini kukus dalam bekas kecil aje.  Alas daun pisang di dasar bekas itu dan masukkan adunan ubi.  Tutupkan atasnya dengan potongan daun pisang.  Lepas tu kukus.   

Sunday, October 30, 2016

Ubi Kayu Rebus




Ada 2 jenis ubi rebus ni.  Ada yang suka ubi kayu tu betul-betul lembut macam kapas.  Kenalah direbus dengan air banyak dan lama sikit sampai ia merekah.



400 gm ubi kayu
2 liter air
garam secukup rasa

1.  Kupas kulit ubi kayu dan dibersihkan ubi kayu itu.  

2.  Masukkan ubi kayu, air dan garam dalam periuk.  Rebus hingga ubi kayu menjadi empuk.  Tambah air jika perlu.

3.  Bila ubi kayu dah empuk, toskan.



Yang ini direbus mengkal tapi tetap lembut.  
Ubi kayu rebus ni sedap dimakan dengan kelapa parut yang telah digaul dengan garam dan gula merah/gula melaka.


Ubi kayu rebus dimakan dengan sambal belacan pun sedap.  Ada ikan gelama masin goreng lagi sedap.


Friday, October 28, 2016

Kopi Rempah Jiwa Gelora




Kopi Rempah sejenis minuman yang diadun dengan rempah-rempah semulajadi.  Di proses cara tradisi.  Keharumannya dan keenakkannya yang tiada tara.



Boleh diminum sebagai kopi o ataupun dicampur susu pekat.



Serbuk kopi rempah yang diproses sendiri oleh pemilik restoran KOPI REMPAH di Sarawak.  Seorang anak Penang yang telah bermastautin di Sarawak.





Tart Nutella





300 gm butter
250 gm cream cheese
600 gm tepung gandum
1 sb esen vanila
1 sb gula castor
secubit garam
biji gajus secukupnya
nutella secukupnya

1.  Pukul butter dan cream cheese hingga kembang.

2.  Masuk gula, garam dan esen vanila.  Pukul lagi hingga sebati.

3.  Masuk tepung sedikit demi sedikit hingga menjadi doh yang lembut.

4.  Canai doh 1/4" tebal dan terap dengan acuan bulat bergerigi. Masukkan doh yang diterap itu ke dalam acuan kecil.  Cucukkan di bahagian tengahnya dengan garfu. 

5.  Lepas itu ambil 1 st nutella.  Bulatkan nutella itu dengan mengunakan 2 sudu.  Letakkan nutella itu ke dalam doh tart tadi. Hiaskan dengan biji gajus dan dibakar pada suhu 160C selama 20 minit atau hingga pastry kekuningan.




Thursday, October 27, 2016

Kurma Telur Rebus



4 biji telur
1 biji kelapa parut
2 biji bawang besar - dibelah 4
1 biji tomato - dibelah 4
1 biji kentang - dibelah 4
2 biji cili merah/hijau - dibelah 2 atau 4
3 sb rempah kurma
2 helai daun pandan
3 sb minyak untuk menumis
garam secukup rasa

Bahan tumis :
3" kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
5 ulas bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris

1.  Rebus telur.  Kupas kulit dan goreng telur itu hingga garing di keseluruhan luaran telur itu.  Ketepikan.  

2.  Kelapa diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat. Kemudian diperah lagi dengan 1 1/2 cawan air dijadikan santan cair.  Ketepikan.

3.  Panaskan minyak dan tumis bahan tumis hingga wangi. 

4.  Masuk rempah kurma yang telah dibancuh dengan sedikit air. Tumis lagi hingga garing.  

5.  Masuk pula santan cair dan kentang.  Bila telah mendidih, masukkan santan pekat bersama bawang besar, tomato, cili merah/hijau, daun pandan dan garam.

6.  Masak hingga mendidih sambil dikacau-kacau.  Tutup api dan masukkan telur rebus yang telah digoreng tadi.


  

Wednesday, October 26, 2016

Tenggiri Masak Lemak Dengan Sayur Asin



2 keping ikan tenggiri
1 biji kelapa parut
2 pokok sayur asin - dipotong kecil
2 batang serai - dititik
5 helai daun limau purut
1 st serbuk kunyit

Bahan tumbuk :
7 biji cili padi
2 sb udang kering
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih

1.  Kelapa diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat dan diperah lagi untuk kali kedua dengan 1 1/2 cawan air dijadikan santan cair.

2.  Masukkan bahan tumbuk, ikan, santan cair, serai dan serbuk kunyit ke dalam periuk.  Masak sambil dikacau-kacau.  Bila nampak kuah dah mula nak mendidih, masukkan sayur asin. Masak lagi hingga mendidih.

3.  Kemudian masukkan santan pekat dan garam.  Kacau selalu dan bila kuah dah mula mendidih masuk daun limau dan tutup api.



Friday, October 21, 2016

Cencaru Bakar Sumbat Sambal Kelapa




2 ekor ikan cencaru
1 sb serbuk kunyit
1 st garam
2 sb kelapa parut
1 st minyak untuk menumis

Bahan kisar :
2 biji cili merah
1/2 biji bawang besar
1 kuntum bunga kantan


1.  Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sekejap hingga naik bau.  Kemudian masukkan kelapa dan garam .  Tumis sekejap sahaja supaya kelapa tidak terlalu kering.

2.  Ikan cencaru dibuang isi perut dan dibelah belakangnya.  Lumurkan garam dan kunyit,  

3.  Lepas tu sumbatkan sambal kelapa itu di dalam belakang ikan yang dibelah tadi.

4.  Bakar atau panggang ikan hingga masak.


Sunday, October 16, 2016

Tart Kerang




450 gm tepung gandum
250 gm planta
75 gm gula halus
1 biji telur
1 biji kuning telur untuk sapuan atas biskut
jem nenas secukupnya

1.  Planta dan gula halus dipukul hingga kembang.  

2.  Masuk telur dan pukul lagi hingga sebati.

3.  Akhir sekali masuk tepung gandum dan uli hingga doh yang lembut.

4.  Ambil sedikit doh dan tekankan ke dalam acuan bentuk kerang.  Tekankan sedikit di bahagian tengahnya dan masukkan inti jem nenas.  Tutupkan semula dengan doh itu dan kemaskan doh itu.  Kemudian tekankan biskut itu keluar dari acuan.

5.  Sapu permukaan biskut dengan kuning telur yang telah dipukul sedikit.  

6.  Susunkan biskut atas dulang pembakar yang telah disapu dengan planta dan bakar 160C selama 20 minit atau hingga kekuningan.



Monday, October 10, 2016

Cekodok Gula Merah



2 cawan tepung gandum
1/3 cawan gula merah
secubit garam
1 cawan air suam

1.  Campurkan tepung, gula merah dan garam.  Lagi banyak gula merah yang ada ketulan-ketulan tu lagi sedap.

2.  Masukkan air sedikit demi sedikit sambil diadun menjadi beter yang tidak terlalu cair atau terlalu lembik.   

                     

3.  Panaskan minyak dalam kuali.  Ambil sesudu demi sesudu adunan tadi dan dimasukkan ke dalam minyak panas.  Goreng hingga garing dan toskan.



Sedapnya bila tergigit bahagian yang ada ketulan gula merah



Saturday, October 8, 2016

Kangkung Goreng Bercili



1 ikat sayur kangkung
1 biji carrot (saje letak)
1/2 biji bawang besar 
1 ulas bawang putih 
3 biji cili merah 
1 sb belacan
1 sb air
garam secukup rasa
1 sb minyak untuk menumis

1.  Bawang besar dan bawang putih dihiris nipis.  Cili merah dan belacan ditumbuk.

2.  Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan putih hingga bawang putih kekuningan.

3.  Masuk cili merah yang ditumbuk.  Tumis lagi.

4.  Bila dah hampir garing, masukkan sayur kangkung, carrot dan air supaya mudah sayur empuk.

5.  Akhir sekali masuk garam dan bila sayur dan masak, tutup api.





Nasi Lemak Kukus Serai



2 cawan beras
1 biji kelapa putih (ambil 2 cawan santan)
2" halia - dihiris nipis
2 batang serai - dititik
1 ulas bawang merah - dihiris
4 helai daun pandan
garam secukup rasa

1.  Didihkan air dalam periuk kukusan.

2.  Basuh beras dan masukkan ke dalam periuk kukus nasi atau yang ini aku gunakan penapis kelapa aje.  Letakkan penapis berisi beras itu atas periuk yang telah ada air mendidih dan kukus dalam 30 minit.

3.  Lepas tu gaulkan beras itu dengan santan yang telah dicampur dengan garam.  Santan tu gunakan lebih kurang 3 sb untuk sekali gaul.  Jangan masukkan santan banyak-banyak sebab santan itu akan jatuh ke dalam air kukusan.  Itu yang kena masukkan sedikit demi sedikit berulang-ulang.  Masukkan sekali bawang hiris, halia, serai dan daun pandan.  Gaulkan pada beras itu dan kukus lagi.  

Ulang lagi proses menggaul santan itu sehingga nasi masak keseluruhan.  Gaul perlahan-lahan supaya nasi tak hancur.  Proses memasak ini agak lama, lebih kurang 2 jam.  Jika tidak nasi akan jelantah.



Daun pandan yang dah layu dikeluarkan dan dimasukkan lagi daun pandan baru supaya aromanya lebih wangi.  Itulah yang aku lakukan.

Kukuslah hingga nasi itu masak dan berderai.  Jika hendak nasi tu nampak berkilat, boleh dititik 1-2 titik minyak masak/zaitun masa nasi masih panas lagi dan biarkan seketika dalam periuk kukus bertutup.

Seperti biasa, lauk sampingan untuk nasi lemak adalah 
a)  Sambal ikan bilis
b)  Telur rebus
c)  Kangkung celur
d)  Kacang tanah goreng
e)  Ikan bilis goreng
f)  Timun