Sunday, August 31, 2014

Ikan Badami


Asal masakan ni menggunakan daging tapi musim raya hari tu sana-sini dihidangkan dengan daging dan ayam, so aku gantikan ikan.  Lagipun aku lebih suka makan ikan.  


Serius cakap....lauk ni memang sedap.  


1 ekor ikan bawal
3 sb yogurt/sour cream
1 st serbuk kunyit
1 helai daun pandan
4 kuntum bunga cengkih
5 kuntum buah pelaga
2" kulit kayu manis
150 gm bawang besar - dihiris
150 gm tomato - dibuang empulurnya dan didadu
2 ulas bawang putih - ditumbuk
20 gm halia - diketuk
1 sb serbuk jintan putih
1 biji cili merah - dibelah 2
10 biji cili padi - diketuk
2 cawan air
3 pokok daun ketumbar - dihiris
20 helai daun pudina 
1/4 cawan badam kisar
garam secukup rasa

1.  Ikan bawal dibersihkan dan dilumur dengan yogurt ataupun sour cream, garam dan kunyit.  Biarkan sekejap lalu digoreng hingga garing dan ketepikan.  Kalau guna ayam atau daging tak perlu digoreng, cukup sekadar diperap dalam 30 minit.


2.  Dengan menggunakan bekas minyak menggoreng ikan tadi, kalau banyak keluarkan sikit minyak tu. Tumiskan daun pandan, bunga cengkih, buah pelaga dan kayu manis.


3.  Bila dah naik bau, masukkan bawang besar, bawang putih, tomato dan halia.  Tumis sampai bawang nampak layu.  Lepas tu masukkan serbuk jintan putih, cili merah, cili padi, daun pudina dan separuh daripada daun ketumbar dan air.


4.  Bila mendidih, masukkan badam kisar.  Kalau terlalu kering, masukkan sedikit lagi air.  Masak lagi hingga pecah minyak.  Akhir sekali masukkan garam dan bila dah masak, masukkan lagi sebahagian daun ketumbar tadi.



5.  Akhir sekali, masukkan ikan goreng tadi dan digaul rata atau tuangkan ke atas ikan.  Kalau guna ayam atau daging, masukkan ia setelah tumis bawang.



Saturday, August 30, 2014

Pineapple Upside Down Cake




250 gm mentega
190 gm gula castor
250 gm tepung naik sendiri
5 biji telur
1 st esen vanila
gegelang nenas dalam tin
4 sb sirap nenas
gula perang secukupnya

1.  Lengser loyang 7" dengan mentega dan taburkan sedikit tepung gandum atau boleh saja dialas dengan baking paper.  Sementara itu toskan kepingan nenas tu biar kering sedikit.  

2.  Pukul mentega dengan gula hingga kembang.



3.  Masuk telur sebiji-sebiji sambil di pukul hingga sebati.

4.  Lepas tu masukkan esen vanila dengan sirap nenas.  Gaul lagi hingga sebati.

5.  Akhir sekali masuk tepung naik sendiri.  Kalau tak ada tepung naik sendiri, gunakan aje tepung gandum dan dicampurkan dengan 1 sb baking powder...lepas tu ayak 3 kali.  Lepas masuk tepung, gaulkan hingga rata dan sebati.

6.  Tabur gula perang dalam loyang kek.  Kuantitinya ikut suka asalkan boleh nampaklah sedikit keperangan warnanya di permukaan kek...tapi kalau banyak sangat, nanti terasa manislah pulak kek tu.  Kalau tekak memang suka manis....letaklah banyak-banyak....terpulang ek.



7.  Lepas tu susunkan kepingan nenas yang telah ditos itu.  Kalau suka, boleh gak dihiaskan dengan ceri merah dan hijau tapi aku tak berapa suka ceri...manis giler.

8.  Kemudian tuangkan adunan kek atas lapisan nenas itu.  Yang sebenarnya aku ada masukkan kepingan badam hiris yang telah disangai dalam adunan kek itu.  Saje suka-suka.

9.  Bakar kek pada suhu 350F/170C selama 50-60 minit.  Bila kek dah sejuk baru dikeluarkan dari acuan.







Sambal Kelapa Daun Pudina




1 cawan kelapa parut
20 helai daun pudina
5 ulas bawang merah
2 biji cili merah
1 sb udang kering
2 biji limau kasturi
garam dan gula secukup rasa

1.  Kelapa disangai cukup kekuningan sedikit.  Jangan terlalu kering.  Kalau guna mentah takut pulak cepat basi.



2.  Cili merah tu boleh aje digantikan dengan 4-5 tangkai cili kering atau lebih kurang 1 sb cili kisar.  Bergantung kepada tahap kepedasan yang diinginkan.  Pakai cili padi pun ok gak.  

3.  Bawang merah, cili merah dan udang kering disangai sekejap.


4.  Lepas tu campurkan kelapa, daun pudina, bawang merah, cili merah, udang kering dan dikisar kering ataupun ditumbuk.  Boleh ditumbuk berasingan setiap bahan, kemudian digaul sebati. 

5.  Akhir sekali perahkan jus limau kasturi dan masukkan garam dan gula.  Gaul hingga sebati.



Sedap dimakan bersama dengan ikan goreng atau ayam goreng.



Nasi Daun Ketumbar


Sebelum masak nasi ni, fikir banyak kali.  Sedap ke?  Bau daun ketumbar kan kuat?  Banyak pulak kuantitinya untuk 2 cawan beras.  Tapi beranikan hati aje...lagipun saje nak menambahkan koleksi resipi nasi dalam senarai.  

Bila siap....hurmmm...not bad.  Boleh buat lagi.


2 cawan beras basmathi
2 cawan air rebusan ayam atau 1 kiub pati ayam
1 cawan air
2 keping dada ayam
2 sb planta
1 cawan minyak untuk menggoreng ayam
4 ulas bawang merah
3 pokok daun ketumbar
garam secukup rasa


1.  Rendam beras dalam 20 minit.  Kemudian toskan.  2 pokok daun ketumbar dikisar bersama 1 cawan air.  1 pokok daun ketumbar lagi dihiris.  Bawang merah juga dihiris.


2.  Ayam dipotong kecil, digaram-kunyit dan digoreng hingga garing.  Ketepikan.

3.  Panaskan planta bersama 2 sb bekas minyak menggoreng ayam tadi.

4.  Tumis bawang merah hingga kekuningan dan masukkan beras. Digoreng seketika dan masukkan air rebusan ayam atau kiub ayam, air kisaran daun ketumbar dan garam.

5.  Tutup periuk dan biarkan nasi masak.  Masukkan ayam goreng tadi bersama daun ketumbar yang dihiris tadi.  Gaulkan perlahan-lahan supaya nasi tak patah-patah.  Boleh dikacau menggunakan garfu atau senduk kayu bercabang.





Tuesday, August 26, 2014

Oreo Brownies



160 gm butter
200 gm semi-sweet chocolate - potong kecil
2 biji telur
120 gm gula perang
3 tbs tepung gandum
1 tbs serbuk koko
10 keping biskut oreo - patah 4

1.  Sediakan acuan 8x8x3".  Sapu butter dan alas dengan kertas baking. 


2.  Cairkan butter dan campurkan chocolate.  Kacau hingga chocolate larut.  Tutup api.


3.  Pukul telur bersama gula perang hingga kembang.  Lepas itu masukkan campuran butter tadi.  Pukul lagi hingga sebati.



4.  Kemudian masukkan tepung dan serbuk koko.  Pukul lagi hingga sebati.  


5.  Akhir sekali baru dimasukkan biskut oreo.  Gaulkan perlahan.  


6.  Tuangkan adunan ke dalam loyang.  Bakar pada suhu 350F/180C selama 30-35 minit.  


7.  Potong-potongkan brownies itu semasa masih panas lagi dan biarkan sejuk barulah dikeluarkan dari acuan.  



Monday, August 25, 2014

Majlis Perkahwinan di Oakleaf Club (Lobby)

Terima kasih pada Kak Hasmah kerana memilih Oakleaf Club sebagai venue perkahwinan Nazahiah.












Nasi Beringin




2 cawan beras basmathi
1 cawan santan cair
2 cawan air
1 helai daun pandan 
1 sb saffron (kalau ada) rendam dalam air panas
sedikit badam hiris - disangai sekejap
garam secukup rasa

Bahan tumis : 
1/2 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
2 batang serai - dititik
3" halia - dititik
1/4 st garam masala
1" kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
1 sb minyak sapi
1 sb minyak masak

1.  Panaskan minyak sapi dan minyak masak. Tumiskan kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih hingga naik bau.


garam masala


2.  Masukkan bawang besar dan bawang putih.  Bila bawang mula layu, masuk garam masala dan serai. Biar seketika dan masukkan beras.  Goreng sekejap dalam 2-3 minit.

3.  Kemudian masuk santan, air, saffron bersama air rendamannya (kalau ada), garam dan halia.  Tutup periuk dan biarkan nasi masak seperti biasa.  Jangan dikacau selalu, nanti nasi akan patah-patah.



Masa menghidang, taburkan dengan badam.
Masa masak nasi tu, kalau nak masuk air ros lagi menambahkan keharumannya.  Masukkan dalam 1st untuk sukatan ini.  


Cucur Jagung



2 batang jagung 
2 cawan tepung gandum
1/2 biji bawang besar
10 ekor udang 
1 biji telur
2 tangkai cili kering/cili merah
1 1/3 cawan air
500 ml minyak untuk menggoreng
secubit serbuk kunyit
garam secukup rasa


1.  Jagung dileraikan dari batangnya.  Lurutkan aje dengan pisau.

2.  Bawang besar dihiris.  Udang dibuang kulit dan dibelah dua.  Cili kering/cili merah dihiris halus.


3.  Campurkan tepung, bawang besar dan air.  Gaul rata.  Masuk telur dan gaul lagi hingga sebati.


4.  Kemudian masuk jagung, udang dan cili.  Gaul lagi hingga rata.  Akhir sekali masuk serbuk kunyit dan garam.  Adunan jangan terlalu cair dan jangan terlalu pekat.


5.  Panaskan minyak dan masukkan sesudu demi sesudu ke dalam minyak panas itu.  Adunan itu biarkan ia agak leper supaya cantik dan sedap garingnya.    Gorenglah hingga kekuningan dan garing.  Toskan.