Sunday, July 28, 2013

Sandwich untuk diet


Hari ni nak bagi perut kita ada ruang-ruang untuk bernafas.  Tak lah asyik sesak memanjang.  Jadi malam ni kita makan ni aje.


Roti jagung
Butter / Marjerin
Salad
Tomato
Cheese slice

Mula-mula sapu butter/marjerin kat roti.  Lepas tu letak salad, cheese, tomato dan tutup dengan roti sekeping lagi.







Tak Ada Idea Nak Gubah Bunga? Meh tengok sini.





Saturday, July 27, 2013

Cocoa Sesame Biscuits




1/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan serbuk koko
3/4 cawan rolled oats
1/2 cawan bijan putih
2/4 cawan gula castor
120 gm unsalted butter
2 sb gula pasir
1 sb air panas
1 st soda bikarbonat

1.  Ayak tepung dan serbuk koko di dalam mangkuk besar.



2.  Masukkan oats, bijan dan gula castor.  Gaul hingga sebati.

3.  Masukkan 2 sb gula pasir ke dalam periuk kecil dan dijadikan gula hangus.  Masak dengan menggunakan api kecil.  Kemudian masukkan butter dan dikacau-kacau sehingga butter itu larut. Tutup api.  Sementara itu larutkan soda bikarbonat ke dalam air panas lalu dicampurkan ke dalam larutan butter tadi perlahan-lahan.



4. Kemudian tuangkan larutan butter itu ke dalam campuran tepung tadi dan digaul hingga sebati.  Jika adunan terlalu berderai, gaulkan dengan sedikit lagi butter (tak perlu dicairkan).  Tutup adunan dengan kain lembab ataupun dengan wrapping plastic.  



5.  Ambil sedikit adunan itu, bulat-bulatkan dan dileperkan sedikit. Susun di dalam loyang biskut yang telah dialas dengan kertas baking.  Jangan susun terlalu rapat kerana biskut ini akan mengembang macam buat coklat chip.  Bakar pada suhu 160C selama 15 minit.  



Bila biskut masak, biarkan biskut sejuk seketika di dalam loyang. Pada masa ini biskut masih lagi lembut dan tujuan membiarkan ia seketika adalah bagi biskut itu mengeras dengan sendirinya.  


Sebaiknya alihkan biskut di atas wire rack atau boleh juga diterbalikkan biskut itu kerana bahagian bawahnya sedikit berwap. Bila diterbalikkan, ia akan kering sendiri.   




Acar Ayam Panggang



200 gm isi ayam
1 sb cili kisar
40 gm halia 
200 gm carrot 
200 gm timun 
1 sb biji sawi
5 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih 
1 biji cili merah 
1 biji cili hijau 
3 sb sos tomato
1 biji lemon - ambil jusnya atau 2 sb cuka
2 sb minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Bahan tumbuk :
1 biji bawang besar
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih

1.  Halia, carrot dan timun dipotong halus memanjang.  Timun tu dibuang empulurnya dulu.  Kemudian rendamkan carrot dan timun tu dalam air kapur lebih kurang 1/2 jam supaya ia tetap rangup masa masak.  Lepas itu toskan.


2.  Bawang merah dan bawang putih dibuang kulitnya saja.  Biarkan sebiji-sebiji.  Cili merah dan cili hijau dipotong halus memanjang.

3.  Isi ayam digaul dengan garam, kunyit dan lada hitam lalu dipanggang atas api dapur.   Lepas itu carik-carikkan ayam itu.

4.  Panaskan minyak dan tumis halia dan biji sawi sekejap.  Lepas itu masukkan bahan tumbuk dan cili kisar.  Masak hingga pecah minyak.

5.  Masuk sos tomato, bawang merah, bawang putih, ayam, cili merah, cili hijau, carrot dan timun.  Tumis lagi.


6.  Bila bawang dah nampak layu, masukkan gula, garam, jus limau atau cuka. Jika terlalu kering, tambah sedikit air.  Balik-balikkan dan angkat.




Rainbow Cookies



1/2 cawan butter
1/2 cawan shortening
2 sb cream cheese
2/3 cawan gula castor
1/2 st garam
1 biji telur
1/2 st esen vanila
2 cawan tepung gandum
                                                    
1.  Satukan butter, shortening dan cream cheese dan dipukul hingga kembang.

2.  Masuk gula dan garam.  Pukul lagi.

3.  Masuk pula telur, esen vanila dan tepung.  Boleh tambah tepung jika adunan terlalu lembik.  Gaul dan uli hingga menjadi doh yang lembut dan sejukkan dalam petisejuk selama 30 minit.



4.  Keluarkan doh dan dibahagi kepada 6 bahagian.  Aku timbangkan doh itu 50gm, 90gm, 125gm, 145gm, 170gm dan 200gm.  

5.  Warnakan setiap bahagian dan sejukkan dalam peti sejuk selama 2 jam.

6.  Selepas dikeluarkan dari peti sejuk, roll kan memanjang doh yang paling kecil berukuran 8" panjang.  Ketepikan.  

7.  Kemudian diambil pula doh yang 90gm lalu dicanai di atas kertas baking ataupun plastik dengan panjang 8" dan lebarnya cukup untuk menyaluti doh yang pertama tadi.  

Selepas dicanai doh kedua itu, letakkan roll/doh pertama tadi di atasnya dan diroll kan sehingga menyaluti keliling roll pertama.  Di bahagian kiri dan kanan dibiarkan terbuka.



8.  Ambil doh 125gm dan dicanai dan dibuat seperti tadi .  Buat sehingga habis kesemua doh.  Semasa canai itu ukuran panjangnya tetap pada 8" tetapi lebarnya yang semakin besar.

9.  Setelah selesai, potong roll itu kepada 2 atau 3 sebelum disejukkan semula ke dalam peti sejuk supaya ia sedikit mengeras agar mudah dipotong.  

Tujuan roll itu dipotong kepada 2 atau 3 bahagian adalah supaya ia tidak menjadi lembut kembali sebelum selesai memotongnya. 



10.  Selepas roll itu menjadi keras, ia kemudiannya dipotong-potongkan setebal 1cm.  Susunkan biskut itu di atas dulang pembakar yang telah dialas dengan kertas baking.  Bakar biskut pada suhu 160C selama 5-8 minit.  Keluarkan dan potong biskut.  Lepas itu bakar semula hingga masak.  






Friday, July 26, 2013

Roti Boyan



Lagi resipi yang aku skodeng kat blog ayu.  Bila lihat aje tajuk resipi tu aku jadi teringat kat arwah emak aku yang sesekali dulu ada jugak dia buat kuih ni.  Waktu tu aku tak tahu apa nama kuih ni tapi kami sebut roti canai inti kentang.  Arwah emak aku buat sebesar pinggan lepas tu dipotong 4 atau 8.  

Bila terjumpa kat blog ayu ni, teringin pulak nak membuatnya sendiri.  Nostalgia sungguh.  Bila dah berumur ni memang banyak nostalgia pun.  Aku adjust sukatannya.

Bahan untuk roti :
3 cawan tepung gandum
3/4 cawan air suam
2 sb minyak masak
1 sb minyak sapi
1/2 st gula pasir
secubit baking powder
garam secukup rasa

1.  Satukan air suam, minyak masak, minyak sapi, baking powder, gula dan garam.  Masuk tepung sedikit demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh yang lembut.  

Kemudian canaikan doh itu macam buat karipap dan terapkan dengan acuan bulat.  Saiz apa pun boleh; ikut suka.  Bilangannya kena genap sebab kena ada 2 keping untuk sebiji roti.  Lepas itu, letak inti di tengahnya dan tutupkan di atasnya dengan sekeping lagi doh.  Akhir sekali, kelimkan disekelilingnya macam kita kelim karipap.  Lepas itu tekan perlahan di bahagian tengahnya supaya leper sedikit dan inti kentang penuh sehingga ke tepi roti.


2.  Panaskan 1-2 sb minyak sapi dalam kuali.  Nak campur minyak masak pun boleh.  Bila minyak dah panas, gorenglah roti itu sehingga kuning di kedua-dua belah.

Aku buat 2 versi.  1 versi kecil dan 1 lagi versi besar gaya arwah emak aku.  Sedapnya, untuk peminat kentang macam aku ni.


Bahan untuk Inti :
300 gm kentang - rebus dan lecek
1 biji telur - dipukul sedikit
1 biji bawang besar - didadu kecil
1 tangkai daun sup/daun bawang
sedikit serbuk lada sulah
garam secukup rasa

Gaulkan semua bahan inti sehingga sebati.  Lebih sedap jika diletak daun sup/daun bawang dan bawang besar banyak-banyak. Wangi baunya. 



Tart Pastry Cream Cheese




300 gm planta
250 gm cream cheese
600 gm tepung gandum
1 sb esen vanila
1 sb gula castor
garam
jem nenas

Cara membuat jem nenas :
2-3 biji nenas masak (nenas madu)
250 gm gula pasir

Nenas dibersihkan dan diparut.  Tapi untuk yang aku buat ni, nenas tu aku cincang sampai hancur. Kemudian dimasak dengan gula hingga pekat.  Sejukkan.




Bila guna acuan macam ni, dapat letak jem nenas banyak-banyak.

Cara membuat tart :
1.  Pukul mentega dan cream cheese sehingga kembang.

2.  Masuk gula, garam dan esen vanila.  Pukul lagi hingga sebati.

3.  Masuk tepung sedikit demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh yang lembut.  

4.  Canai doh setebal 1/4 cm.  Terap doh dengan acuan bentuk bulat yang muat ke dalam loyang tart.  Letakkan doh yang telah diterap itu ke dalam acuan tart dan cucukkan perlahan dibahagian dalamnya dengan garfu.  Kemudian masukkan jem nenas dan hiaslah sedikit diatas tart itu dengan doh tadi.  Bakar pada suhu 160C selama 15-20 minit atau hingga kuning.




Monday, July 22, 2013

Kari Daging Berkerisek




1/2 kg daging lembu
4 sb rempah kari daging 
1 biji kelapa
3 cawan air
2 biji kentang - dibelah 4
3 tangkai daun kari
1 sb cili kisar (kalau nak pedas)
1 sb asam jawa + 1/4 cawan air
3 sb kerisek
2" kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
1" halia - diketuk
1" lengkuas - diketuk
garam secukup rasa

Bahan tumbuk :
7 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 sb belacan

1.  Daging dipotong ikut suka dan direbus hingga empuk.  Kelapa diperah dengan air diambil santan.  Asam jawa diramas dengan 1/4 cawan air.



2.  Panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan bahan tumbuk hingga naik bau. 

3.  Kemudian masuk rempah kari, cili kisar (jika hendak), halia, lengkuas dan daun kari.  Tumis hingga naik bau.  



4.  Bila rempah hampir garing, masukkan kentang, daging bersama air rebusan daging, santan dan air asam jawa.  


5.  Bila kari mula mendidih, masukkan kerisek dan garam.  Jika hendakkan kari yang agak pekat, masaklah lama sedikit.




Pulut Cempedak



10 ulas cempedak
1 cawan beras pulut
1/2 cawan santan cair
1 1/2 cawan santan pekat
garam secukup rasa
2 helai daun pandan

1.  Beras pulut direndam sekurang-kurangnya 4 jam atau semalaman.  


2.  Panaskan air di dalam kukusan sehingga benar-benar mendidih.  Beras pulut yang telah direndam itu ditoskan airnya dan ratakan dalam loyang bersama santan cair.  Santan itu mestilah separas dengan pulut itu.  


Tabur garam dan masukkan daun pandan.  Kukus pulut itu hingga masak sambil digaul-gaul.   Kalau nak masak seperti nasi pun boleh juga.  Bila dah masak, ketepikan.

3.  Santan pekat tadi dimasak dengan sedikit garam dan daun pandan hingga agak pekat. Kacau-kacau selalu supaya tidak pecah minyak.  Kemudian masukkan buah cempedak ke dalam santan itu dan biarkan ia masak dalam 3 minit.  Angkat.

4.  Selain dihidangkan pulut bersama cempedak yang telah dimasak bersama santan sekali ataupun dimakan bersama santan dan cempedak mentah.



Friday, July 19, 2013

Bubur Rampai




1 kotak santan MS
1 tin jagung berkrim
1 tin buah-buah campuran
1/2 cawan gula pasir
secubit garam
3 helai daun pandan

Campurkan semua bahan dan masak hingga mendidih 
sambil dikacau-kacau.  Sukatan gula itu ikut tahan kemanisan yang dikehendaki.








Tuesday, July 16, 2013

Roti Pita Berinti Kebab Ayam




4 keping roti pita
200 gm isi ayam 
1 sb minyak zaitun
1 st serbuk kunyit
1 sb serbuk lada hitam kasar
1 biji bawang besar - dihiris
2 sb cili sos
2 sb tomato sos
1 cawan kobis hiris
1/2 batang timun - dihiris memanjang
1 st lada sulah
2 sb planta
3 sb mayonis
garam

1.  Lumur isi ayam dengan minyak zaitun, garam, serbuk kunyit dan serbuk lada hitam kasar.  Perap 2 jam.  Kemudian dipanggang hingga keperangan dan dihiris kecil-kecil.




2.  Panaskan planta.  Tumis bawang besar hingga layu.  Masukkan ayam dan digoreng hingga garing.  Kemudian masukkan cili sos, tomato sos, kobis, timun, lada sulah dan garam.  Gaul dan masakkan hingga sebati.




3.  Roti pita dipotong 2.  



4.  Sapukan mayonis dan cili sos di bahagian dalam roti pita.  Lepas itu selitkan daun salad ke dalamnya.  Akhir sekali masukkan inti kebab yang dimasak tadi secukupnya ke dalam roti pita.   




Sunday, July 14, 2013

Kentang Berinti Daging



2 biji kentang besar
1 cawan daging cincang
1/2 biji bawang besar - didadu halus
1 ulas bawang putih - dicincang
1 sb minyak zaitun
1 st serbuk lada hitam 
4 sb keju parut
3 biji cili padi - dihiris halus
sedikit oregano
garam secukup rasa

1. Kentang dibasuh bersih dan dikukus hingga empuk.  Kemudian dibelah dua dan dikeluarkan isi kentang itu.  Balutkan bahagian luar kentang itu dengan aluminium foil.  Susun atas dulang pembakar.  Ketepikan.



2.  Panaskan minyak zaitun dan tumis bawang putih serta bawang besar sehingga naik bau.



3.  Masuk cili padi, lada hitam, daging cincang dan garam. Biarkan sehingga daging masak dan masukkan isi kentang yang telah dilecek.  Masak lagi dalam 10 minit.



4.  Masukkan inti daging tadi dalam kelongsong kentang tadi.  Taburkan serbuk oregano, keju parut dan sedikit cili merah.  Bakar dalam oven selama 10 minit - 15 minit.  


Sedap dimakan dengan sos.




Saturday, July 13, 2013

Salad untuk Nasi Arzkhaltta




1 batang timun 
1 batang carrot 
1 biji bawang besar 
1 biji tomato 
1/2 biji kobis biasa/unggu 
1 biji lemon - ambil jus
1 sb minyak zaitun
garam dan gula secukup rasa

Timun, carrot dan tomato dihiris nipis menyerong.  Bawang besar dibelah dua dan dihiris nipis.  Kobis juga dihiris.  

Satukan semua bahan dan gaul rata.