Saturday, January 28, 2012

Nasi Goreng Bawang Putih



Kalau nak buat nasi goreng tapi tak kecukupan bahan-bahan, jangan risau.  Kita masih boleh buat nasi goreng yang sedap.

1 mangkuk nasi sejuk - dari 1 cawan beras yg dimasak nasi biasa
6 ulas bawang putih - ditumbuk
1" halia - ditumbuk
3 ulas bawang putih - dicincang 
1 biji cili merah - dihiris
1 tangkai daun bawang - dihiris
garam secukup rasa

Bahan-bahan tambahan yang boleh digunakan ikut suka :
1/4 cawan ikan bilis goreng
3-4 helai daun limau purut
2 biji telur

1.  Panaskan minyak dan gorengkan bawang putih cincang hingga kekuningan.  Toskan dan ketepikan.

2.  Bekas minyak menggoreng bawang tadi di goreng pula bahan tumbuk dan cili merah hingga naik bau.

3.  Pecahkan telur ke dalamnya dan dibiarkan seketika.  Lepas itu gaulkan telur itu bersatu dengan bawang dan cili itu.

4.  Kemudian masukkan nasi sejuk.  Gaul rata sehingga nasi tidak berketul-ketul.  

5.  Akhir sekali masuk garam dan daun limau purut.  Gaulkan dan biarkan seketika.  Tutup api.

6.  Masa menghidang, taburkan bawang putih goreng, ikan bilis goreng dan daun bawang.


Friday, January 27, 2012

Ikan Talang Masin Kukus

Selalunya ikan masin digoreng aje...baunya satu rumah. 
Tambah-tambah lagi kalau ikan pekasam....kena fikir banyak kali sebelum goreng.  Kalau duduk kat apartment takut ada jiran yang boleh "koma" bila terhidu bau nya. 

Aku tahu hal ikan masin kukus ni dari blog cikgu amie
Ya sungguh memudahkan kerja aku. 
Hari ni aku guna ikan talang masin yang dibeli di pulau pangkor
hari tu.

1.  Potong-potongkan ikan talang tu.
2.  Basuh bersih.
3.  Letak dalam pinggan tahan panas.
4.  Letakkan pinggan tu atas nasi yang hampir kering. 
     Ni kena buat masa tengah masak nasi. 
     Kalau tidak, kena kukus macam biasa lah.
5.  Sekejap aje proses ni.  Ikan tu akan nampak putih
     dan isinya sungguh lembut.

Masa nak makan, perahkan dengan limau kasturi dan
potongkan cili padi.



Asam Rebus Batang Keladi


Nostalgia lagi.....Asam Rebus Batang Keladi...



2 kg batang keladi 
2 batang serai
2 sb asam jawa
500 ml air untuk kuah
4-5 helai daun ketumbar jawa
garam secukup rasa

Bahan kisar :
1/3 cawan cili kisar
2 biji cili merah
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
10 gm kunyit hidup
1 st serbuk belacan

1.  Batang keladi dibuang kulit luarnya dan potong pendek dalam 2".  Rebuskan batang keladi itu hingga lembut dan toskan.  Serai dititik.  Asam jawa dibancuh dengan 1/2 cawan air.  Daun ketumbar jawa dipotong-potong.



2.  Masukkan bahan kisar, batang keladi, serai, air asam jawa dan air ke dalam periuk.  Masakkan hingga mendidih.


3.  Akhir sekali masuk daun ketumbar jawa dan garam.  Kacau-kacaukan dan tutup api.  Selain daun ketumbar jawa, boleh aje digunakan daun limau purut, daun kesum atau bunga kantan.

daun ketumbar jawa

Masakan ni sedap dimakan dengan ikan masin dan kuahnya bila di hirup begitu aje....aduhhhh sedapnya.  Aku makan dengan ikan talang masin yang dikukus. 




guna daun kesom






Apam Serabai


Dah lebih 10 tahun gaklah aku tak makan apam serabai ni.  Dulu-dulu aku selalu tolong emak aku buat sendiri apam serabai ni.  Arwah emak aku guna beras yang diboh sendiri.  Dia akan boh beras tu sampai hancur lepas tu mulalah kami semua kena tolong boh bergilir-gilir termasuklah cucu-cucunya.  Punyalah berat nak putar batu boh tu, sib baik tak keluar muscle.



Emak aku selalu buat apam ni masa kami adik-beradik berkumpul 
masa cuti.  Inilah pertama kali aku buat sendiri apam serabai ni dan gunakan tepung beras.  Saje mencuba-cuba.  Kepekatan adunan ni pun aku agak-agak aje, cuba mengingat-ingatkan kembali kepekatan beras yang pernah kami boh dulu.  Alhamdulillah, jadi jugak akhirnya.


















2 cawan tepung beras
3/4 cawan nasi sejuk
2  cawan santan
1 st yeast
2 st gula pasir
1 st garam


1.  Blend semua bahan-bahan sehingga menjadi satu adunan yang pekat.  

2.  Kemudian perapkan sehingga permukaan adunan nampak berbuih-buih.  Aku perap semalaman (ikut cara emak aku).



3.  Sapukan sedikit minyak dalam kuali.  Aku guna kuali yang melengkung sebab emak aku dulu buat macam ni dan apam tu naik cantik aje.  

4.  Ambil satu senduk adunan tadi dan tuangkan dalam kuali yang telah panas tadi dan tutupkan dengan tudung periuk.  Mesti ditutup, kalau tidak apam tu tidak akan menjadi.  Masa ni kita akan lihat permukaan apam tu berlubang-lubang.



5.  Angkat dan buat lagi hingga habis.  Apam ni kena masak sekeping-sekeping.  Jenuhlah kalau banyak adunannya.  Lainlah kalau ada banyak kuali dan banyak dapur.


Apam ni sedap dicicah dengan pengat.  Tak kiralah apa 
pengat pun...yang pasti menyengat.





Pengat Pisang


Dah lama aku tak makan pengat pisang.  Kat tempat tinggal aku ni plak memang selalu dan banyak dijual pisang emas. 



4-5 biji pisang masak
3/4 cawan gula merah
1 biji kelapa parut
2 cawan air
1 sb gula pasir 
1 helai daun pandan
2 sb sagu mata ikan 
secubit garam


1.  Kelapa parut diperah dengan 1 cawan air dijadikan santan pekat dan 1 cawan air lagi dijadikan santan cair.  Sagu mata ikan direndam dalam 10 minit dan toskan.

2.  Masukkan gula merah, santan cair, gula pasir dan daun pandan dalam periuk.  Masak hingga mendidih sambil dikacau sentiasa    supaya santan tidak pecah minyak.

3.  Masukkan sagu mata ikan santan pekat, pisang yang dipotong-potong dan garam. Biar mendidih lagi.  Pengat ini mestilah pekat.  Boleh dimasukkan 2 sb tepung jagung yang telah dibancuh dengan sedikit air untuk menambahkan kepekatan.
  
Sedap dicicahkan dengan apam serabai.





Agar-agar Limau

Musim raya cina ni lah musim buah limau.  Sampai dah tak termakan buah-buah limau ni.  Akhirnya aku buat aje agar-agar limau.  Bahan-bahannya aku hentam aje.  Asal dia boleh beku tapi lembut, oklah tu.


3 biji buah limau 
10 gm serbuk agar-agar
1 liter air
gula secukup rasa manisnya (aku tak sukat, main boh aje)
esen oren
pewarna oren


1.  Buang kulit luar buah limau dan lapisan luar yang putih pada isi 
     limau tu serta biji limau.  Lapisan putih tu kalau tak dibuang, 
     agar-agar akan rasa pahit.  Blend sekejap dan ketepikan.
2.  Masak air, serbuk agar-agar dan gula hingga mendidih.  
     Tutup api.
3.  Masukkan jus limau tadi (tak payah tapis), esen oren 
     dan pewarna oren.
4.  Kacau-kacaukan supaya sebati dan masuk dalam acuan.

Okay lah sebagai pencuci mulut dan penyejuk tekak.  


Monday, January 23, 2012

Cuti-cuti di PD...jumpa tapak kaki Hang Tuah??


Seingat akulah kan, lama betullah aku tak ambil cuti weekend.  Tetiba..Intan call suruh juga aku ambil cuti Sabtu & Ahad.  Diorang ni memang dah tahu jawapan aku.  Mulalah macam-macam digorengnya aku.  Cair juga aku akhirnya dan mulalah mencari staf lain untuk cover aku.  Nasib baik dapat. 

21/01/2012
Sabtu aku masih bekerja dan lepas pukul 1pm terus menuju ke PD dengan ogy.  Sekali lagi nasib baik, jalanraya clear....tak jam.

Bila kami tiba, kak eton tengah busy prepare BBQ malam tu.  Sebelum berbbq, kami sempat mandi-manda di pantai dulu.  Ombak agak kuat, tapi sebab kami memilih di bahagian teluk maka agak selamatlah jugak untuk bebudak tu semua berenang.  Terjerit-jerit memasing bila diri memasing dihempas ombak.




Malamnya kami berbbq.  Macam nak pecah perut dibuatnya.  Terlalu banyak makanan yang kak eton prepare untuk kami semua seramai 25 orang.  Farah pulak buat Sushi..tapi masa menggulung dibantu Sofi...hehehe...sushi ciptaan sendiri...sushi rasa malaysia  iaitu sushi sambal goreng....hahaha..wei...not bad tau rasanya.



22/01/2012
Lebih kurang 4pm, kami bercadang mandi-manda sekali lagi di pantai.  Tapi sebelum tu kami semua bercadang nak ke Rumah Api Tanjung Tuan.  Melintau (bahasa org melaka) kami mencari pintu masuk tak jumpa. Terpaksalah tanya orang.  Tempat ni macam nak tak nak aje diorang expose.  Gate pulak ditutup walaupun sebenarnya dibuka kepada pelawat.

Bayaran masuk RM1.00 seorang.  Group pertama kami tiba seramai 15 orang.  Punyalah excited nak pergi rumah api....daki punya daki pun tak sampai2 jugak...fulamak...aiiii...jauhnya.  Diorang ni patut sediakan buggy.  Bayar mahal sikitpun tak apa.  Kalau tak, hotel yang berdekatan pun boleh buat tied-up dengan pengurusan rumah api untuk kesenangan pelancung.

Masa dok tengah tercungap-cungap mendaki tu, tetiba kami ternampak sign-board tentang lokasi "tapak kaki hang tuah".  Excited lagi....kami semua nak tengok tempat tu.  Masa ni kami berlima aje...yang lain semua dah jauh tertinggal di belakang.


Kami bertujuh pun masuk meredah denai hutan
nak ke tapak kaki hang tuah tu. 
Dah rasa jauh ke dalam hutan...gelap....sunyi...
TAKUT pun ada waktu tu. 
Jumpa pula "Perigi Belanda".
(maknanya Belanda pernah sampai di sini)

Sempatlah  bergambar. 
Belakang mereka tu lah dinding "Perigi Belanda".
Menyeramkan juga tempat ni. 
Masa tu terfikir2 apa ler yang ada kat dalam perigi tu...errrkkkk.

Dah lebih 350m pun tak jumpa2.  Kami dah menurun bukit.  Weiiii...memang takutlah kalau jalan sorang.  Hanya kami bertujuh aje yang ke situ.  Kami dah mula rasa nak patah balik.  Tapi Sofi pulak kata "rugilah, ada 7 perigi".  Entah mana dia tau ada 7 perigi...hanya dia aje yang tau..  Akibat teruja dengar ada 7 perigi, zul pulak kata "alang-alang seluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan".  Ewah..ewah...budak ni.  Aku, Nor dan Ana memang dah penat giler.  Dalam pada kata nak patah balik tu, kami teruskan juga.  Kami terpaksa menurun bukit menapak jauh ke dalam hutan.  Hampir 1 jam lah jugak kami kat dalam hutan tu.  Berani-berani takut aje.  Tetiba kami tiba di tepi pantai yang cukup cantik pandangan dan lokasinya.  Sampai di situ, kami dah mati akal sebab tak ada sebarang penanda pun tentang tapak kaki hang tuah.  Semasa terpinga-pinga di situlah kami terserempak dengan sekumpulan manusia berpakaian serba-hitam.  Ada orang dewasa dan kanak-kanak.  Ada beberapa orang yang sedang mandi bunga di sebuah perigi tua di situ.  Mereka seperti tidak suka dengan kedatangan kami.  Aku dan Sofi bertanya pada mereka di manakah tapak kaki hang tuah.  Mereka mengatakan tidak tahu.  Kami semua tertanya-tanya juga kumpulan apakah ini.  Janganlah kami dipengapakan di sini.  Nak kata dorang macam kumpulan ajaran sesat pun boleh jugak.

Kecewa yang amat sangatlah kami sebab kami memang teramat-amat penat mencari lokasinya tapi bila sampai di kawasan mati ini, tak dapat apa-apa pulak.  Tapi kami sempatlah bergambar dengan tergesa-gesa sebab pemandangan sekitar laut di situ memang cantik.  Kemudian kami cepat-cepat beredar sebab hari pun dah semakin gelap.




Masa mendaki balik ni lah, segala peluh jantan semua dah keluar.  Memang ADVENTURE lah kalau dirancang tapi memang cari penyakitlah pada kami yang tak sangka akan jadi macam ni.  Kalau nak buat jungle-trekking memang sesuai sesangat ar.

Bila sampai di simpang kami masuk tadi, kami berkira2 nak balik aje tapi Sofi dan Zul ajak juga teruskan ke Rumah Api.  Maka mendakilah lagi kami...

Sampai-sampai....yang lain-lain semua dah menunggu di kaki tangga Rumah Api.  MEMANG HAMPEH betullah tempat ni.  Tak dibenarkan masuk pun.  Macam-macam cerita menarik kami dengar sebelum-sebelum ni tentang Rumah Api ni tapi bila dah sampai kami hanya boleh keliling luar pagar Rumah Api aje.  Akhirnya aku dengan Sofi aje yang mendaki tangga pulak ke puncak sebab nak tengok sangat.  Memang cantiklah dapat tengok laut yang luas terbentang. 





Di atas puncak aku terdengar ada beberapa orang mat salleh yang merungut sebab tak berbaloi hanya dapat tengok ini aje dengan kepenatan yang terpaksa dirasai.  Aku setuju sesangat dengan mat salleh tu.  Patutnya penjual tiket tu perlu diberi KURSUS supaya memberi penerangan sedikit kepada pengunjung sebelum membeli tiket. So, takdelah orang macam Abang Din dan Kak Eton tu mendaki sikit aje dah tak
larat dan terpaksa turun balik.
Semasa di kaki kaki rumah api ni lah penjual air kelapa tu kata bekas tapak kaki hang tuah tu berada di atas batu betul2 sebelah perigi lama yang kumpulan baju hitam tu mandi bunga.  Bengang betullah...bila kita tanya dorang tadi, dia boleh kata dia tak tahu.  Dia orang tu tak nak kami menganggu upacara mereka ler tu.


Lepas tu kami semua turun bukit dan dah senja jugaklah budak-budak ni semua pi berenang di pantai.  Sebab masing-masing dah berpeluh dan badan dah melekit-lekit.




Bila tiba di rumah semua dah lepak.  Rehat sekejap.  Pukul 12malam si Nor ngan Zul ajak pulak bebudak ni pi karaoke sampai 2 pagi.  Aku tak pergi sebab dah penat. 

23/01/2012
Kami berkemas-kemas nak balik.




Aku dan Ogy nak balik KL terus sebab aku kerja petang ni.  Yang lain-lain balik Melaka dulu sebelum balik KL.  Sebelum balik kami ramai-ramai pi lunch kat satu kedai kat Teluk Kemang ni (kedai makan biasa-biasa aje).
Lauk yang kami order :
Ikan siakap 3 rasa
Kailan ikan masin (piring sederhana)
Tom Yam Campur (mangkuk sederhana)
Sotong goreng tepung (itupun sotong dahlah kecil pas tu dicampur dgn udang kecil2 pulak)
Nasi putih (25 pinggan)
Telur Dadar
Air Sirap.

Semua 5 set  
Adalah tambah 2 piring kecil ayam masak kicap (tapi dicampur daging...ada ke macam ni) dan
1 mangkuk kecil Sup Sayur. 
1 gelas teh o tanpa gula
Nak tahu berapa tauke tu caj???????
RM633.00.....
Mak aii. 
Macamlah kami ni tak pernah makan di restoran...dan aku pun dah selalu organize event tapi yang ni memang aku rasa mahal.

Sebelum-sebelum ni pun kami makan seramai ni pun lebih kurang RM3++ aje (kat tempat lain le).  2-3 kali tauke tu kira balik.  Tauke tu pun macam nampak serba-salah.  Dah harga dia macam tu ....  Apa boleh buat? Apa nak bising-bising, bayar aje lah.  Makanan semua dah langsai dan perut pun dah kenyang.


Friday, January 20, 2012

Kerepek Arrowhead / Ngaku



Bila tahun baru cina menjelang aje,
maka adalah buah arrowhead berlambak-lambak dijual.
Dulu memanglah tertanya-tanya buah apalah ni.
Sayur ke buah.


Orang Cina pulak macam berebut-rebut memilih
dan membeli buah ni.
Akhirnya kawan cina aku beritahu buah ni boleh
dibuat keropok yang sedap.

Sekarang ni ada orang Indonesia yang kata buah ni boleh
digoreng dijadikan sayur.
Dan boleh juga dibuat kuah masak lemak.
Interesting je bunyinya.
Tapi hari aku buat keropok dulu.



Selepas dibersihkan kulit luar buah itu, ia perlu disagat nipis.
Aku diberitahu supaya disagat terus ke dalam kuali 
tapi aku rasa macam payah aje.
Maka, aku sagat semua dulu sambil direndam dalam air,
toskan dan barulah digoreng dalam minyak yang banyak.

Menyagat buah ni macam agak susah sikit.
Aku terpaksa gunakan pengupas kulit buah.



Dan masa buah tu dah tinggal kecil sikit, aku terpaksa pulak gunakan pisau dan dihiris nipis tapi memang susahlah. 

Sakit tangan dibuatnya.
Kalau hirisan tu tebal, ia takkan rangup.
Dan aku rasa, yang tinggal kecil tu baiklah dibuat sayur aje. 



Thursday, January 19, 2012

Ayam Masak Padang




1 ekor ayam
1 biji kelapa 
2 cawan air
5-6 helai daun limau purut
1 helai daun kunyit
1/2 biji bawang besar - hiris
2 keping asam keping
2 batang serai
1 cawan minyak masak
garam secukup rasa


Bahan kisar :
2 biji bawang besar
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 sb cili boh
4 biji buah keras
1" lengkuas
1" halia
1" kunyit hidup

1.  Kelapa diperah dengan 2 cawan air.  Ketepikan.  Ayam digaram-kunyit dan digoreng separuh masak dan ketepikan.


2.  Minyak lebihan goreng ayam tadi ditumis bahan kisar hingga garing.

3.  Masuk serai dan tumiskan hingga naik minyak.

4.  Masuk pula ayam, santan, asam keping dan garam.

5.  Bila mendidih, masuk daun limau, daun kunyit dan bawang besar hiris tadi.  Masak sekejap dan tutup api.





Nasi Limau Purut



2 cawan beras basmathi
2" (10 gm) halia
3 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
2 batang serai - dititik
5-6 helai daun limau purut
1 cawan santan
2 cawan air
3 sb minyak untuk menumis
garam secukup rasa
sedikit pewarna hijau

1.  Bawang putih dan bawang merah dihiris.  Halia diketuk. 


2.  Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah dan halia hingga naik bau.

3.  Lepas itu masuk serai dan daun limau purut.  Kacau sebentar.


4.  Kemudian masuk beras.  Kacau beras sikit-sikit perlahan-lahan supaya beras tidak patah-patah.

5.  Akhir sekali masuk santan, air dan garam.  Tutup periuk nasi dan biarkan nasi masak. Leraikan nasi sedikit supaya tidak berkerak di bahagian bawahnya.


6.  Kemudian barulah dititikkan pewarna hijau.